Saturday, July 07, 2007

Bank Sperma: Apakah Ukuran Sensitiviti Umat Islam?

SN - BANK SPERMA : APAKAH UKURAN SENSITIVITI UMAT ISLAM?
Jul 7, '07 7:40 AM


Apabila isu wujudnya bank sperma di Malaysia didedahkan di dada-dada akhbar baru-baru ini, tidak ramai nampaknya yang mengambil berat walaupun sememangnya terdapat sebahagian yang agak sensitif.

Meskipun tidak wujud sebuah bank khusus yang membekalkan sperma di Malaysia, namun perkhidmatan ini dikatakan ada ditawarkan di beberapa hospital swasta yang tertentu. Mungkin tidak ramai di kalangan masyarakat yang mengetahui akan kewujudan perkhidmatan ini, namun bagi mereka yang telah berkahwin dan tidak mempunyai zuriat, hal ini biasanya berada di dalam pengetahuan mereka.

Bagi sesetengah golongan yang memandang serius akan isu ini, pelbagai respon telah diberikan. Antaranya adalah pihak Kementerian Kesihatan, yang telah sedar bahawa selama ini Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus tentang bank sperma ini. Mereka bercadang untuk membawa isu ini ke Parlimen. Sehubungan itu, tokoh agama dan pertubuhan berasaskan kaum mengalu-alukan cadangan Kementerian Kesihatan menggubal undang-undang berhubung perkhidmatan bank sperma yang ditawarkan hospital swasta negara ini bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat, khususnya umat Islam [BH 26/06/07].