Monday, March 30, 2009

Lebih hina dari lembu?... Umanggg...

KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui pakaian jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, amalan menghisap rokok dikeji serta diharamkan oleh agama dan doktor kerana ia memudaratkan kesihatan.

"Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah).

"Maka, mereka yang melakukan perbuatan (menghisap rokok) itu dianggap lebih hina daripada lembu," katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, ada antara umat Islam yang mencuri-curi menghisap rokok di serambi masjid sambil bersembang sementara menunaikan solat.

Beliau mengingatkan umat Islam supaya menghentikan amalan yang dianggap jijik dan tidak berdisiplin itu. - Bernama

Thursday, March 26, 2009

Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM (Updated)

Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM

( updated pada 10 April 2007 berwarna BOLD )

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Jualan Pelbagai Peringkat atau lebih dikenali sebagai ‘Multi Level Marketing' atau MLM adalah amat popular di Malaysia. Dalam pada masa yang sama, sistem yang sama juga digunakan oleh industri penjualan Saham Amanah Islam dan beberapa produk Takaful.

Statistik tahun 2003 menunjukkan industri MLM Malaysia mencatatkan jualan RM 4 bilion dan lebih dari 3 juta orang Malaysia terlibat dalam urusniaga MLM.
Akibat dari kebanjiran produk dan syarikat yang menggunakan sistem ini dalam mempromosi dan penjualan produk mereka.

MLM kini boleh dianggap sebagai sebuah sistem pemasaran yang diterima ramai. Bagaimanapun, amat jarang dijumpai ilmuan Shariah samada dalam atau luar negara yang ingin atau berminat untuk menghuraikan sistem ini dari aspek Shariah dengan terperinci dan konkrit. Ini mungkin disebabkan kerumitan atau kurangnya minat ilmuan Shariah untuk mendalami proses sistem ini.

Para ‘Ustaz' dan Multi Level Marketing

Saya juga tidak dapat lari dari dibanjiri soalan demi soalan berkenaan hal ini. Pada awalnya, saya cuba untuk mengelak disebabkan terlampau banyak bentuk dan jenis MLM ini hingga menyukarkan sesiapa juga untuk memandu dan menerangkan hukumnya secara jelas. Di tambah pula mengenagkan pengikut dan pengamalnya yang terlalu ramai dan kebanyakkannya pula kelihatan ‘taksub' dan amat yakin akan halalnya kaedah MLM ini.
Tidak kurang juga terdapat para graduan Shariah atau pengajian Islam yang digelar ‘Ustaz' dan Ustazah' yang juga kuat berkempen produk-produk syarikat dengan skim MLM. Lebih hangat dan meriah lagi, kumpulan ini kerap mendakwa ianya halal lalu diselitkan dengan pelbagai dalil Al-Quran dan Hadith yang menggalakkan umat Islam berniaga, kuat ekonomi dan lain-lain. Hakikatnya, dalil-dalil ini bukanlah khusus untuk menyokong MLM dan perniagaan piramid mereka.

Ikhlas saya ingin nyatakan di sini, agak ramai juga orang ramai yang terpengaruh dengan kempenan dari kumpulan ilmuan agama seperti ini, menyebabkan orang ramai menyertainya tanpa berfikir lagi berkenaan halal atau haramnya sesuatu produk itu kerana ia telah diiktiraf oleh seorang ‘ustaz'. Justeru, saya ingin menasihatkan semua rakan-rakan lulusan Shariah dan Pengajian Islam agar lebih berhati-hati memberikan sebarang hukum dan merujuk dengan lebih mendalam sebelum berkempen dan mendakwa halalnya sesuatu produk hanya semata-mata kerana ia mendapat keuntungan besar di dalamnya. Ini kerana agak ramai juga saya dapati orang ramai yang berkiblatkan ustaz tertentu dalam kempen MLM mereka.

Berkatalah Al-Laith bin Sa'ad : « Seandainya orang-orang yang memiliki pemahaman halal dan haram meneliti masalah ini, pastilah mereka tidak akan membolehkannya kerana terdapat di dalamnya unsur perjudian » ( Riwayat Al-Bukhari, no 2346 ). Sayyidina Umar al-Khattab r.a telah mengingatkan:
لا يبع في سوقنا إلا من قد تفقه في الدين
Ertinya : "Jangan seseorang kamu berjual beli di pasar kami, kecuali ia telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya" ( Riwayat Tirmidzi, no 487, hlm 129 ; Albani : Hasan)

Bagi membantu masyarakat yang semakin ‘hangus' dalam industri ini, saya merasakan adalah elok untuk saya berkongsi panduan umum Shariah dalam hal penggunaan MLM ini. Bagaimanapun, saya tidaklah mampu untuk menujukan tulisan ringkas ini kepada mana-mana jenama MLM yang wujud di Malaysia mahupun luar negara. Tulisan ini hanya memberikan sedikit gambaran dan garis panduan yang diletakkan oleh undang-undang

Islam dalam hal MLM ini.

Pengertian MLM

Secara umum ‘Multi Level Marketing' adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak level (tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah ‘Upline' (tingkat atas) dan ‘Downline' (tingakt bawah), orang akan disebut ‘Upline' jika mempunyai ‘Downline'. Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat ‘vertikal' atas bawah mahupun ‘horizontal kiri kanan' ataupun gabungan antara keduanya. (Lihat All About MLM oleh Benny Santoso hal: 28, Hukum Syara MLM oleh Hafidz Abd Rahman, MA)

Bentuk MLM yang Haram atau syubhat

Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya atau keraguannya, iaitu apabila ia menggunakan sistem berikut :

1) Harga tinggi dari biasa : Menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal. Tatkala itu, ia digelar ‘Gabhnun Fahisyh' menurut istilah ulama Fiqh. Hukum jualan secara ‘Ghabnun Fahisy' ini diperbezakan oleh ulama antara harus, makruh dan haram. (Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, klausa no 356, hlm 369). Bagaimana Nabi SAW pernah mengisyaratkannya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang. (Al-Qawaid, Ibn Rusyd, hlm 601)

Bagaimanapun perlu diingat, dalam satu MLM mungkin terdapat 3 atau 4 unsur syubhat dan haram yang akan saya sebutkan. Ini tidaklah bermakna saya mengatakan MLM haram hanya kerana adanya unsur "Harga Lebih Tinggi dari Biasa" , ia cuma salah satu unsur yang perlu disemak dan boleh memburukkan lagi hukum sesuatu MLM sehingga boleh jatuh tahap haram kerana penipuan dalam keadaan tertentu yang lain.

Apa yang ingin saya nyatakan ‘Ghabnun' di sini adalah yang dibuat dalam bentuk penipuan harga kepada orang awam, iaitu harga yang sengaja dinaikkan kerana merangkumkan yuran penyertaan dalam system priamid. Sebagai contoh saya pernah ‘terpaksa' membeli sebuah produk MLM. Oleh kerana tukang jual MLM ini amat sukar beralah, dan saya ingin ia cepat menamatkan kempenanannya dengan adab, lalu saya belilah satu produknya yang termurah, iaitu sebiji bantal yang dikatakan sangat hebat, harganya mencecah RM300 sebiji.

Inilah namanya 'Ghabnun', sedangkan bantal tersebut rupa-rupanya langsung tiada istimewanya setelah digunakan. Maka jelas harganya dinaikkan kerana penyertaan sebagai ahli dan masuk dalam sistem. Tapi saya senyapkan saja keahlian dan langsung tidak bergerak, membeli hanya kerana kasihan dengan si penjual yang dikenali ini sahaja.

Inilah maksud saya mempunyai unsur ‘Ghabnun', mungkin unsur ini tidak cukup kuat untuk menjadikannya haram, tetapi ia salah satu unsur yang memberi kesan kepada aqad, kesan ini apabila ia bergabung dengan unsur-unsur syubhat yang lain, ia boleh menjadi haram.

Sebagai Makluman :

Mazhab Hanafi : terbahagi kepada 3 pandangan, iaitu ada ulamanya yang mengatakan ghabnun harus walaupun Fahisyh, kedua : Haram , ketiga : Haram bila ada usnur penipuan sahaja ( Syarh ad-Dur , AL-Haskafi, 2/82 )

Mazhab Maliki : Juga ulama mereka berbagai pandangan : Pertama : Ghabnun Mustrasil samada Yasir atau fahsiyh : Haram ; Kedua : Ghabnun lebih tinggi 1/3 dari harga pasaran biasa tanpa adalah HARAM. ( Al-Qawaid : Ibn Rusyd , hlm 601 ; AL-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Ibn Juzay, hlm 294)

Mazhab Syafie : Harus hukumnya kecuali pandangan ganjil dari al-Mutawaali yang mengharamkannya . ( Al-Majmu' , 7/500 )

Mahzab Hanbali : Ibn Quddamah berkata : "Ghabn Mustarsil adala apabila si pembeli membeli dengan harga yang terkeluar dari harga pasaran ... teruatamanya apabila didesak ( agar tak pergi semak kedai-kedai lain dulu) dan cuba disegerakan oleh penjual " ( Al-Mughni , 4/78 )

Justeru, perbincangan panjang tentang 'Ghabn' sebenarnya menunjukkan terdapat jenis 'Ghabn' yang disepakati haramnya oleh ulama, ada yang disepakati halalnya, dan terdapat yang diperbezakan pandangan. Justeru apabila saya sebut 'ghabn' sebagai salah satu sebab boleh jadikan MLM haram, maka ini kerana berkemungkinan jenis yang disepakati haram itu berlaku. Justeru, semasa menulis artikel anda perlu faham target saya.

Adakah anda yakin semua jenis 'Ghabn' yang berlaku dalam MLM itu tergolong dari golongan yang harus ?. Jika ye, maka itu pandangan anda , bukan saya. Saya lebih selesa berpandangan ia banyak jenis 'Ghabn' yang berlaku lebih menjurus kepada haram terutamanya apabila hampir semua syarikat-syarikat MLM ini amat mengambil mudah akan hal hukum agama. Jika tidak, pastinya mereka telah mengambil Penasihat Shariah sejak dari awal.



2) Jualan target sebagai syarat komisyen : Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target jualan tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target' tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan "Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda".

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee') sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi'en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato' Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha'ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh bertukar menjadi haram apabila :-

* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian.

* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angina tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas briker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan saya bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.

* Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam isu pemberian komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau "brokerage" (tukang kempen). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas "brokerage" tidak harus mensyaratkan tukang kempen itu untuk membeli untuk diri sendiri sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM. Sesetengahnya pula mensyaratkan ‘broker' atau ‘agen' untuk menjual sendiri sebanyak sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal ‘broker' atau ‘agen' menjadi syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen wakil atau broker yang diterima Islam.

3) Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahanya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia merupakan satu bentu Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun).

Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.

4) Terdapat juga syarikat MLM yang melakukan manipulasi dalam menjual produknya, atau memaksa pembeli untuk menggunakan produknya atau yang dijual adalah barang haram. Maka MLM tersebut jelas keharamannya. Namun tidak semua MLM begini, cuma sebahagianya sahaja.

5) Terdapat juga unsur mirip "shafqatayn fi shafqah", atau bay'atayn fi bay'ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu) yang dilarang oleh Baginda SAW dengan pelbagai lafaz antaranya : "
نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة
Ertinya : "Rasulullah SAW melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu aqad" ( Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami : perawi Ahmad adalah thiqah ; 4/84 )
Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak dapat dipastikan samada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini, boleh dikatakan termasuk dalam kategori hadis : shafqatayn fi shafqah, atau bay'atayn fi bay'ah. Ini kerana, dalam hal ini, orang tersebut telah dikira melakukan transaksi aqad Mu'awadat (kontrak pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjualkan produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu. Maka, praktis seperti ini jelas tergolong sebagaimana hadith di atas.

Ingin saya tekankan juga, hal berkaitan komisyen jualan orang di level keseratus akan diperolehi juga oleh upline di tingkat kedua, padahal mereka tiada sebarang kaitan aqad yang jelas, dan hanya kerana rantaian orang dibawahnya maka ia mendapat untung?. Apa yang diletakkan untuk mendapat untung?.

Sedangkan dalam contoh sebuah syarikat besar, seorang pemegang saham sememang layak dapat untung walaupun goyang kaki kerana ia meletakkan 'modal', sebagaimana yang diketahui , keuntungan boleh didapati dari tiga sebab iaitu 1) Modal 2) Kerja 3) Jaminan 'Dhoman' barangan dari sebarang aib pada barang yang dijual.

Lalu si pemegang modal berhak mendapat untung kerana ia letak modal, si pekerja layak mendapat untung kerana ia bekerja .. jadi apa hak si upline kedua untuk dapat untung jualan si downline ke seratus? Tiada modal, tiada kerja, tiada jaminan atau dhoman barangan yang dijual, kernaa jaminan barangan yang dijual adalah dari syarikat, bukan upline!.

Apa Maksud Sebenar Dua Aqad Dalam Satu ?

Shafqatain di Safqah dan lafaz yang seertinya denganya memang tidak dinafikan mempunyai banyak takrif dan tafsiran menurut kefahaman ulama yang berbeza. Manakala sesiapa yang hanya mendedahkan hanya beberapa kerat dari pandangan tersebut dan kemudian terus memegangnya. Tapi perlu diingat disana terdapat pelabagi tafsiran yang lain pula, dan saya memegang tafsiran yang lain. Maka itu tidak bererti tafsiran pegangan saya adalah salah, dan tafsiran pegangan anda mesti betul. Jika demikian perangainya, maka ini jelas tidak faham konsep ikhtilaf dalam nas.
Sebagai hadiah untuk awam dan pembaca yang mampu faham ini beberapa tafsiran tentang hadith dua aqad dalam satu mengikut beberapa kumpulan ulama silam dan kaitannya dengan MLM:-

· 1) iaitu contoh berkata penjual kepada pembeli : " Aku jual kepadamu baju ini dengan harga RM 10 tunai , atau RM 20 secara tangguh" , maka si pembeli bersetuju TANPA mengspecifickan plan tangguh atau tunai yang dikehendakinya. Ini bentuk yang ditafsirkan oleh Imam Malik, Abu Hanifah, At-Thawri, Ishak Rahawaih, Imam As-Syafie ( Syarh as-Sunah, Al-Baghawi, 8/142 ; ‘Aridathul Ahwazi, 5/240 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, 6/333; Al-Mudawwanah, 9/191 ).

Tiada khilaf di kalangan ahli ilmu, jenis ini adalah HARAM. Bagaimanapun tafsiran ini tidak berapa berkaitan dengan MLM, kerana biasnaya plan harga akan dipilih dengan tepat.

· 2) Iaitu contohnya pembeli : "jualkan kepadaku barangan ini dengan harga RM 10 tunai atau dengan sebuah radio pada tarikh akan datang", kemudian kedua-dua bersetuju tanpa memberikan yang mana satu mereka inginkan. Ini adalah tafsiran Imam Malik pula ( ‘Aridathul Ahwazi, 5/240 ) . Ini juga tiada kaitan dengan MLM.

· 3) Iaitu contohnya berkata seorang lelaki : "Aku jual kebunku ini dengan harga RM 10,000 dengan syarat kamu jualkan rumah kamu pula dengan harga RM 15,000" . Inilah juga tafsiran ulama mazhab Hanafi, Hanbali dan Syafie. ( Al-Mughni , 6/332 ; Al-Um, 3/67 ; ‘Aridatul Ahwazi, 5/239 )

Inilah tafsiran yang saya lihat ada kaitannya dengan kebanyakkan MLM. Iaitu berkata syarikat MLM kepada seorang ahli baru sebagai contoh : "aku jual barang water filter ini dengan harga RM 2000 dengan syarat engkau jadi wakil jualanku dengan komisyen sebanyak 3 % dari harga jualanmu dan aku beri mandate kamu untuk jadi lantik ahli baru dan setiap jualannya kamu akan dapat 1 % dengan syarat kamu ada jualan sendiri sebanyak RM 1000 setiap bulan"

Lihat, dalam contoh saya tu ada berapa jenis aqad muawadah maliah yang bersifat lazim?
a- Jual barang RM 2000 - Aqad jual beli yang bersifat lazim
b- Lantik jadi wakil dengan upah (Wakalah bil Ujr) - aqad wakalah yang bersifat lazim.
c- Beri mandate untuk cari ahli - ini tiada masalah
d- Setiap ahli yang kamu lantik jual kamu layak dapat 1% - Ini ju'alah, juga kelihatan tiada masalah.
e- Kamu hanya layak dapat 1 % ju'alah tadi dengan syarat kamu ada jualan sendiri RM 1000 - Ini ada syubhat sikit syarat seperti ini. Perlu perbincangan dan ijtihad.

Cuma, secara umum kita dapat melihat bergabungnya dua aqad mu'awadat maliah (pertukaran hak milik harta) yang bersifat Lazim. Jika aqad itu ghayru Lazim maka ia diharuskan, tetapi dalam hal ini dua aqad itu adalah "aqad lazim"

· 4) Iaitu seorang penjual menjual dua barangan berlainan harga iaitu kasut dengan harga RM 100 dan handphone dengan harga RM 700, tetapi ia membuatnya terikat, iaitu jika anda beli handphone, maka pembelian kasut juga menjadi wajib. Inilah takrif yang dipegang oleh Al-Qadhi Ibn Al-Arabi al-Maliki ( Al-Qabas Syarah Al-Muwatta', 2/842 ; Al-Muntaqa , 5/36) .

Ini juga mempunyai sedikit kaitan dengan MLM kerana meletakkan syarat satu aqad lain sebagai syarat untuk sesuatu aqad itu boleh ‘concluded'.

· 5) Iaitu contohnya : Berkata penjual : " Aku jual handphone ini dengan RM 100 dengan bayaran ansuran dalam 3 bulan, dengan syarat aku akan belinya semual darimu dengan harga RM 80 tunai" . Ini adalah tafsiran Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim pula. Ia adalah sama dengan takrif Bai Inah. ( Mukhtasar Al-Fatawa Lib Ibn taymiah, hlm 327 ; Tahzib Mukhtasar Sunan Abi Daud, Ibn Qayyim, 5/100 )
Tafsiran ini agak kurang kaitannya dengan MLM.

Demikianlah beberapa takrifan dan tafsiran ulama tentang hadith dua aqad dalam satu. Sebenarnya ada terdapat 3 lagi tafsiran, Cuma cukuplah sebagai info tambahan kepada pembaca. Oleh kerana beberapa yang dilakukan dalam MLM ada terdapat dalam salah satu tafsirannya, maka saya masukkan point dua aqad di dalam satu sebagai isu yang boleh menjadikan MLM samada haram atau batal atau syubhat.


Keputusan Majma Fiqh Sedunia ?

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage' sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai.

Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:

Ø Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.

Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.

Ø Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.

Justeru, saya kira, amat tipis untuk mencari MLM yang tidak tergolong dalam item-item salah yang saya sebutkan di atas, malah saya juga suka menyarankan agar pengamal-pengamal jualan amanah saham dan Takaful secara wakil untuk lebih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam bab MLM. Bagaimanapun, jika anda masih ingin mendakwa halalnya MLM ini, saya sarankan agar pengamal MLM memastikan asas minima Shariah berikut dapat dipatuhi :-

1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru, produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum Shariah, ia tiadalah halal di sisi Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana (modal).

2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.

3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.

4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala' atau ahli yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).

5. Tidak diwajibkan bagi si ahli menjual jumlah tertentu bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya.

6. Setiap ‘upline' atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Shariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah'. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.

7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual dengan lebih hebat.

8. Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.

9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.

Mana MLM alternatif??
"Kalau ustaz pandai sangat, kenapa tak tuliskan sahaja macam mana MLM yang menepati Shariah tu, biar orang boleh guna" Demikian tempelak seorang pemuda tanpa kesabaran melalui sebuah web.

Jawapan saya seperti berikut :-
Pertama : Memang ramai 'suruh', 'arah' dan minta saya sebutkan macam mana MLM yang harus serta realistik.

Inilah masalah orang ramai, tidak berfikir mendalam sebelum meminta. Kita kena faham, tak semua yang perniagaan diasakan ikut cara yang menpeati Shariah itu menarik pada pandangan mata orang ramai dan boleh laku untuk dijual di Malaysia, dan tak semua pula plan dan skim atau produk yang sangat boleh dijual dan menarik itu menepati hukum Shariah. Jadinya bagi menghasilkan satu plan hebat yang menepati Shariah dan boleh jual, perbincangan dua pihak antara Ilmuan Shariah & bisnesman amat perlu dalam hal ini.

Mana mungkin sebuah plan pemasaran MLM terbaik dapat dicadangkan hanya dengan mengemukakan permintaan mudah begitu sahaja kepada saya, ini kerana mungkin saya mempunyai penyelesaian dari sudut teori Shariahnya. Teori ini pula sebahagiannya bersifat fleksible dan tidak sebahagian yang lain, kerana itu perbincangan diperlukan dengan pihak pakar pemasaran demi memastikan samada ia 'viable' untuk diperkenalkan atau tidak. Kerana saya bukanlah pakar dalam bab pemasaran.
Kedua : Saya juga bukanlah seorang jutawan yang membolehkan saya memperkenalkan plan bisnes MLM contoh yang hebat dan menepati Shariah. Mudahnya, selagi tiada bisnesman Muslim yang punyai perhatian kuat tentang halal haram dan berkesudian berbincang dengan orang Shariah, selagi tu tidak akan didapati plan dan skim MLM alternatif yang menepati Shariah.

Untuk maklumat, proses inilah yang amat kerap kami (ilmuan Shariah sedunia, saya dan rakan-rakan ustaz di semua institusi kewangan Islam seluruh dunia) ; iaitu kami duduk berjam-jam dengan pakar pemasaran, peguam untuk mencipta produk kewangan Islam yang halal serta dalam masa yang sama aqad-aqadnya juga halal dan boleh diaplikasikan di sisi undang-undang Malaysia. Kesimpulan saya, jika hanya ada satu pihak sahaja yang bersungguh, ia pasti akan menjadi hasrat yang terbengkalai juga.


Akhirnya, saya tahu bahawa hukum MLM ini masih terbuka untuk perbincangan, malah Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ketika perbincangan dengan beliau mengakui ini isu yang agak baru baginya. Benar, amat sukar ditemui tulisan para ulama Islam dari Timur Tengah berkenaan hal MLM ini, disebabkan MLM belum masuk ke pasaran negara Arab dengan meluas.

Justeru, menjadi tanggungjawab para ilmuan Shariah Asia Tenggara untuk membantu masyarakat untuk mengetahui pandangan Shariah tentang MLM ini. Tulisan ringkas saya hanyalah pandangan awal bagi memberi peringatan bahawa dengan sekadar pandangan, kelihatan begitu banyak keraguan boleh muncul dalam perniagaan MLM ini. Tidak perlulah pembaca merasa marah dan benci dengan tulisan ini. Ini sekadar nasihat bagi mereka yang mengambil berat tentang pendapatan serta memikirkan barzakh dan akhirat mereka yang kekal abadi. Wallahu ‘alam.

Kuala Lumpur, Malaysia (14 Zulhijjah 1427 H = 4 Januari 2007)

Tuesday, March 24, 2009

Dunia itu sementara... Akhirat yg kekal abadi...

Assalamu'alaikum wbt.

Syukur kehadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya dpt acik sekali lagi menaip di bloggers acik yg serba kekurangan ini... Terima kpd mereka yg sudi membaca apa sajer nukilan acik disini... Acik manusia biasa... boleh jadi salah boleh jadi betul... sekiranyer fikiran acik menepati as-sunnah maka terimalah... sekiranyer tidak maka tinggalkan sajer... as simple as that.

Baru² nie acik sempat membaca artikel karangan Ustaz Zaharuddin.net mengenai "Kisah Uptrend & Hai-O" dilaman web beliau... Acik cukup teruja(boleh jugak dikatakan terkejut) dgn penerangan beliau mengenai apa itu MultiLevelMarketing yg biasa acik sebutkan sebagai Membantu Lebih Menjayakan... Menerusi artikel beliau, acik akan memberikan beberapa hujah mengenai apa itu Score A Programme dan seterusnyer menerangkan dari pengalaman acik sendiri yg telah menceburkan diri ke dlm sistem MLM ini menggunakan produk Superb Score A Programme ini.

Walau bagaimanapun, acik tetap berpendapat bahawa produk Score A Programme atau output learning ini sememangnyer superb utk digunakan oleh orang ramai... produk ini juga mmg benar² diperakui boleh membuatkan anak kiter menjadi pandai dan disebabkan itu acik takkan menyentuh segala aspek mengenai produk... memadai acik hanya menyentuh segala aspek mengenai sistem jualan dan sistem pemasaran yg diguna pakai oleh Score A Programme ini dan bukannyer pasal produk...

Sebenarnyer hukum mengenai sistem pemasaran MLM nie byk menimbulkan percanggahan pendapat dikalangan org awam dan org alim... Ada yg kata boleh dan ada yg kata tak boleh menjalankan perniagaan melibatkan MLM. Jadi kalau kiter bepegang pada hukum mengatakan bahawa tak boleh, maka kenalah kiter tinggalkan perkara tersebut... dan inilah yg sedang acik lakukan...

bersambung...

Friday, March 20, 2009

Semangat baru buat semua....

Assalamu'alaikum wbt sahabat sekelian,

Acik sudah faham dan redha... MLM bukanlah bidang yg perlu acik ceburi...


Nabi SAW mengingatkan kita bahawa :
إن لكل أمة فتنة , وفتنة أمتي المال
Ertinya : "Sesungguhnya bagi setiap umat itu cabaran dan ujian, dan ujian bagi umatku adalah harta" ( Riwayat At-Tirmizi, no 2337 ; Ibn Hibban , Al-Hakim : Sohih menurut Al-Hakim dan disepakati Az-Zahabi. Hasan Menurut Tirmidzi)

Al-Qaradawi mengatakan, godaan harta bukan pada mengumpul dan mendapatkannya melalui cara yang halal dan menjaga kewajiban agama, tetapi adalah dalam ke'gila'aan mendapatkannya, mencarinya dan menyimpannya walaupun dari jalan yang haram. Selain itu, ia juga tidak endah untuk membelanjakannya walaupun dengan cara yang haram asalkan berbaloi menurut aqalnya, tiada pertimbangan halal dalam hatinya.

Sebagaimana yang digambarkan oleh Allah, salah satu tanda kehilangan keberkatan dalam perolehan harta adalah :-
أَن كَانَ ذَا مَالٍ وَبَنِينَ , إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا قَالَ أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ
Ertinya : Kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak, lalu apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata: ""(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala.( Al-Qalam : 14-15 )

Inilah sikap kebanyakan hartawan dan jutawan Muslim (yang bukan Muslim sudah tentu bukan fokus kita) di seluruh dunia. Apabila mereka berada di puncak kekayaan, ramai di antara mereka tidak memandang penting kepada unsur keberkatan, halal dan peraturan dan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah, kerap kali mereka anggap perbincangan seperti ini adalah kuno dan ketinggalan zaman.
Allah menegaskan :-
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا
Ertinya : Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" ( Al-Kahfi : 46 )

Menurut Syeikh Ibn Asyur ayat dari surah Kahfi di atas mengingatkan kita betapa perlunya kita menyedari amal soleh dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan dari harta banyak tanpa halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun anda mendapat untung yang banyak ia belum pasti lagi menggembirakan anda di barzakh kerana ia mungkin sesuatu yang haram.

Jika pertimbangan keduniaan menguasai diri, ia adalah suatu tanda dan bukti umat Islam sudah semakin hilang sensitiviti terhadap kebenaran alam barzakh dan akhirat. Sesuatu yang haram dan syubhat amat zalim kepada Allah SWT walaupun amat menarik di sisi mata dan hati manusia.

Allah mengingatkan kita lagi bahawa :
انظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَلَلآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلاً
Ertinya : "Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian (yang lain dalam perolehan harta). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya." ( Al-Isra : 21 )


Wallahu a'lam bisshawab.

p/s: Segala kenyataan acik tentang Score A Programme dimansuhkan dan acik menarik balik segala apa yg acik pertuliskan didalam bloggers acik ini... Mudah-mudahan Allah SWT mengampuni acik dan mereka² yg terjebak dgn MLM ini...

Friday, March 06, 2009

Mahal & Murah Antara Bank Islam & Konvensional : Satu Perbandingan Yang Silap

Mahal & Murah Antara Bank Islam & Konvensional : Satu Perbandingan Yang Silap

( Bahagian yang dikemaskini berwarna hijau pada 4 Sept 07)

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

( Sebahagian dari tulisan ini adalah petikan dari buku Perbankan dan Kewangan Islam saya yang sedang dalam proses percetakan, dijangka akan terbit sekitar bulan Oktober 2007)

Mahal? Kerap kali kita mendengar hiruk pikuk orang Islam membandingkan kadar keuntungan yang diambil oleh bank-bank islam dan kadar riba haram (interest) yang dikenakan oleh perbankan konvensional.

Ikhlas saya katakan ia adalah satu perbandingan yang amat tidak benar dan tidak wajar. Seorang lelaki berkata :

"Saya rasa kepimpinan George Bush ada persamaan dengan Nabi Muhammad dari sudut penguasaan ahlinya"

Apa perasaan anda bila dibandingkan Nabi Muhammad s.a.w, seorang Rasul dan kekasih Allah dengan seorang manusia jahat seperti George Bush ?. Bagi yang sensitif perbandingan itu tidak wajar sama sekali dari sudut spiritual dan fizikal. Bagaimanapun, bagi yang sudah hampir mati spiritualnya, perbandingan itu dilihat wajar dan adil.

Tindakan membandingkan apa yang ditawarkan oleh bank Islam dan bank Konvesional adalah ternyata silap. Iaitu dari sudut :-

1) Spiritual ; kerana membandingkan perkara yang halal dan yang haram.

2) Fizikal ; kerana cuba membandingkan dua benda yang mempunyai bentuk yang berbeza. Sebagai cuba membandingkan kadar keuntungan yang diambil oleh bank Islam dan kadar interest yang dikenakan oleh konvensional.

Selain itu, kadar harga juga berbeza-beza mengikut lokasi rumah yang ingin dibeli, kemampuan pelanggan, peratusan pinjaman / pembiayaan yang dipohon (kadar bagi pinjaman 90 peratus adalah berbeza dari pinjaman 50 peratus dan 70 peratus), tempoh jangka pembiayaan dan banyak lagi. Sebarang perbandingan mestilah mengambil kira semua faktor itu sebelum ia dibuat. Perbandingan yang dibuat secara umum pasti akan menunjukkan kelemahan diri dalam ilmu perbandingan.

Berikut adalah beberapa fakta yang menyebabkan dakwaan pinjaman perumahan bank konvensional lebih murah dari dalam perbankan Islam adalah silap dan tidak tepat sama sekali :-

Pertama: Perbandingan Kiraan Yang Silap

Orang ramai tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, perbankan Islam hanya mengenakan 7.5 peratus (tahun ketiga sehingga 30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu.

Manakala apabila dilihat kepada pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR (Base Lending Rate) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta ditolak dengan 0.25 peratus sebagai contoh.

BLR 1991 - 2006

Gambar : Kadar Kadar Pinjaman Asas (Base Lending Rate) 1991 - 2006

Bagaimana apabila peratusan BLR melambung tinggi seperti 10 peratus seperti yang berlaku ketika krisis ekonomi? Bukankah ketika itu, kadar faedah yang perlu dibayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam praktis bank Islam kerana di awal kontrak lagi menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam memberikan rebate (ibra') apabila pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal. Perlu dingat BLR naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini daripada 6 peratus sehingga 6.75 peratus. Ia juga boleh melonjak lagi mengikut keadaan ekonomi.

Ada pihak yang mendakwa kadar BLR sekiranya naik sekalipun ia tidak akan berpanjangan. Jika anda melihat statistik di atas, kadar BLR melebihi 8 peratus bermula tahun 1995 sehingga 1998. Ini bermakna 36 bulan anda dikehendaki membayar dengan kadar yang amat tinggi. Ia mungkin mampu ditanggung oleh orang yang berada, tetapi tidak bagi orang yang sederhana dan mempunyai gaji yang sekadar cukup makan setiap bulan.

Perlu diingat juga, jika dalam tempoh tersebut anda tidak boleh membayar, anda akan dikenakan penalti yang tinggi oleh Bank Konvensional dan jumlah pinjaman pokok akan bertambah menggunung. Tatkala itu kadar BLR yang telah jatuh semula tidak banyak memberikan manfaat, kerana tiga tahun kadar BLR tinggi itu telah menjadikan pembayaran anda selama ini seperti membuang duit di dalam sungai kerana ia akan menaikkan semula jumlah pinjaman pokok anda. Akan didedahkan selepas ini mengapa ia berlaku.

Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi bagi dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang tidak tepat dan tidak logik untuk diperbandingkan. Cuba lihat bagaimaan perbandingan boleh dibuat terhadap tawaran dua buah bank berikut :-

Pembiayaan Rumah (Bank Islam Malaysia Berhad [1] )


Pinjaman Rumah ( Konvensional )

Public Bank [2]

Tahun Pertama : 2 %


Tahun Pertama : BLR - 2.00% p.a. = ( 4.75 % [3])

Tahun Kedua : 4 %


Tahun Kedua : BLR - 2.00% p.a.

Tahun Ke-3 ke 10 : 7 %


Tahun Ketiga : BLR - 2.00% p.a


Tahun seterusnya : BLR - 1.60% p.a.


Jika anda dapat melihat kedua-dua tawaran di atas, bagaimana mungkin anda boleh mengetahui yang mana satu lebih murah? Memang benar bank Islam menetapkan dari awal harga jualan rumahnya kepada pelanggan kerana ia adalah kewajiban dalam Syariah, kerana itu seseorang menyangka Bank Islam lebih mahal kerana menjual sebuah rumah berharga asal RM130 000 dengan harga RM260 000. Sedangkan, pemberitahuan harga begini memang diperlukan bagi sebuah transaksi Murabahah dan Al-Bai. Sebarang pembelian aset yang tidak diketahui harganya adalah diharamkan di dalam Islam seperti :-

"Saya jual sofa ini kepada anda dengan harga bergantung kepada BLR. Minggu pertama BLR - 4 peratus, minggu kedua BLR - 3 peratus dan lain-lain"

Transaksi jualan aset sebegini adalah disepakati haramnya oleh seluruh ulama silam dan terkini. Tahap haramnya bertambah tinggi apabila sebuah pinjaman dengan riba yang tidak diketahui pula jumlah bayaran semula yang dikenakan tatkala pinjaman dibuat. Ia adalah riba dan gharar.

Yang jelas dalam hal di atas, perbandingan antara harga yang diletakkan oleh Bank Islam dan bank konvensional tidak boleh dibuat lagi kerana jumlah keseluruhan yang perlu anda bayar kepada bank konvensional tidak akan dapat diketahui sehingga tempoh pinjaman anda tamat.

Perbandingan ini menjadi salah kerana Bank konvensional bergantung sepenuhnya kepada kadar BLR yang berubah-ubah. Bagaimana anda boleh membandingkan benda yang tiada dengan yang sudah ada. ? Kecuali jika individu tersebut tidak mempunyai pengetahuan tentang kewangan. Malangnya, kebanyakan umat Islam di Malaysia kelihatan berfikiran jangka pendek, mereka hanya melihat pembayaran di hadapan mata mereka tanpa melihat jauh ke hadapan berbelas tahun lagi. Ini menyebabkan mereka sering terperangkap dalam perbandingan yang silap. [4]

Saya tegaskan sekali lagi, jika anda ingin mengatakan kadar interest bagi Public Bank berhad ( berdasarkan contoh di atas) adalah sama untuk tahun kedua dan ketiga iaitu 4.75 peratus, anda telah tersilap kerana ia belum dapat dipastikan lagi sehingga tahun depan barulah ia akan diketahui kadarnya.

Kadar tetap di Bank Konvensional ?

Sebahagian individu yang tidak memahami konsep kiraan ini juga cuba mendabik dada sambil mendakwa kononnya terdapat bank-bank konvensional yang dapat menawarkan kadar tetap yang jauh lebih rendah dari bank-bank Islam kononnya.

Ia juga sebenarnya perbandingan yang tidak sah dan tidak betul. Sebagai contoh dikatakan CIMB Konvensioanl memberikan fixed rate 5.25 peratus untuk pinjaman perumahan. Bagaimanapun jika anda membuka web CIMB Bank berhad [5], ia tercatat seperti berikut :-

3 years Fixed Rate
1st - 3rd year : 5.25%
Thereafter : BLR - 1.50%

5 years Fixed Rate
1st - 5th year : 5.50%
Thereafter : BLR - 1.50%

Bagaimana mungkin anda membandingkan antara carta kadar Bank Islam Malaysia berhad tadi dengan kadar CIMB ini . Ini kerana kadar fixed yang ditawarkan hanyalah antara 3 dan 5 tahun. Adapun, kadar yang ditawarkan oleh bank Islam mulai tahun ketiga hingga ke atas sehingga ke tahun ke-10 adalah hanya 7.0 peratus.

Demikian juga halnya dengan dakwaan CITIBANK menawarkan kadar tetap begitu rendah iaitu 5.70 %, jauh lebih murah dari Bank-bank Islam. Bagaimanapun, anda sekali lagi tertipu jika mengganggap ia adalah kadar tetap bagi 30 tahun. Cuba anda lihat apa yang dicatatkan di web CITIBANK berikut [6] :-

* Terms and conditions apply. Loan Approval is subject to credit review. 5.70% fixed rate (no BLR) is for the first 3 years. Promotion is applicable for completed residential properties and for a limited time only. Preferred insurance Partner - ING

Jika anda faham, sudah tentu kadar yang ditawarkan oleh bank-bank islam lebih hebat.

Pinjaman riba kadar tetap oleh syarikat Insuran

Tadi individu itu sibuk ingin membandingkan dengan bank, kini mereka cuba pula membandingkan tawaran dua buah syarikat Insuran yang menawarkan pinjaman perumahan dengan kadar tetap serendah 5.99 peratus selama 30 tahun dengan bank Islam ?. Ia juga bukan perbandingan yang betul kerana :-

1) Ia adalah sebuah syarikat insuran. Perbandingan sebuah bank dengan syarikat insuran adalah tidak tepat kerana kedua-dua jenis syarikat (bank dan syarikat insuran) mempunyai perbezaaan yang terlalu banyak dalam hal operasi, kiraan risiko, 'liquidity' dan 'liability'. Ini menyebabkan perbandingan anda tersasar jauh. ia ibarat membandingkan pinjaman bank konvensional dengan pinjaman oleh rakan anda (bukan sebuah bank). Ia adalah dari dua sektor yang berbeza. Sebagaimana juga membandingkan pinjaman PTPTN yang serendah 3 peratus dengan pinjaman pendidikan dan peribadi yang ditawar oleh bank pada kadar 8 peratus.

Malahan membandingkan pinjaman perumahan yang ditawar oleh bank konvensional dengan pinjaman perumahan oleh syarikat insuran juga tidak tepat. Ia kelas dan sektor yang berbeza.

2) Syarikat Insuran itu juga mewajibkan untuk mengambil insuran dengannya. Ini menyebabkan terdapat kos tambahan yang tidak termasuk dalam 5.99 peratus, tetapi termasuk dalam kiraan kontrak insuran pula. Majlis Fiqh Dunia telah memutuskan sebanyak 3 kali bahawa insuran konvensional adalah haram. bermakna sesiapa yng mengambil produk pinjaman perumahan dari syarikat insuran ini, terlibat dengan 'double' riba.

3) Syarikat itu juga mengamalkan kiraan penalti secara 'compounding' yang masih akan membawa isu yang sama, iaitu pokok pinjaman akan bertambah sekiranya terdapat kegagalan pembayaran pinjaman.

4) Syarikat Insuran dan bank-bank konvensional mengenakan 'commitment fee' iaitu yuran khas jika anda ingin menamatkan pinjaman anda dalam tempoh 5 tahun pertama. Ini menyebabkan tidak boleh menukar ke bank lain dalam tempoh tersebut kecuali membayar denda yang dinamakan 'yuran komitmen'.

Di bank-bank Islam, Majlis Syariah dunia tidak membenarkan yuran komitemen ini dilaksanakan. Anda bebas untuk menukar pembiayaan ke bank lain tanpa sebarang denda. Demikian pelaksanaan oleh Hong Leong Islamic bank, RHB Islamic Bank dan Asian Finance Bank, Kuwait Finance house dan beberapa yang lain.

Hasilnya, bank Islam masih tetap lebih hebat kerana halal dan terutamanya terdapat bank Islam yang menawarkan konsep fixed rate yang variable. Ia seperti penjelasan di bawah ini.

Kedua : Kadar Tetap Bank Islam Boleh Berubah Menjadi Murah

Satu fakta yang sering gagal difahami orang awam adalah terdapatnya beberapa buah bank Islam yang menawarkan kadar tetap pada 10 peratus, tetapi bayaran bulanannya anda bukannya 10 peratus, tetapi dilihat kepada Base Financing Rate (BFR) semasa, jika BFR adalah 6.0 peratus, maka pihak Bank Islam akan memberikan diskaun pada bulan tersebut sebanyak 4 peratus. Lihat gambar di bawah dan fahamkan. Bank konvensional tiada kemudahan seperti ini.

Jika kadar BFR meningkat melebihi 10 peratus, bank islam tetap hanya akan mengambil 10 peratus juga, berbanding bank konvensional yang akan menaikkan kadar bayaran selari dengan BLR ke tahap berapa sekalipun. Kaedah ini telah disahkan halal oleh pelbagai Majlis Syariah bank-bank Islam di Malaysia dan Timur Tengah. Ia dinamakan produk Home Financing-i variable, produk sebegini ada ditawarkan oleh Hong Leong Islamic Bank, Maybank Islamic Banking dan beberapa bank Islam yang lain.

Fahamkan ini Sebelum Bising

Gambar : Produk fixed dengan kemudahan variable oleh Bank Islam. EPR : Effective Profit Rate . CPR : Contracted Profit Rate

Justeru jika kadar tetap setinggi 10 peratus dikenakan oleh bank Islam bagi tempoh 30 tahun, ia sebenarnya masih murah dan hebat berbanding bank konvensional yang menggunakan BLR yang tidak tetap sepanjang masa. Ini kerana walaupun tetap, pembayaran bulanannya sentiasa ditawarkan diskaun oleh pihak bank Islam mengikut kadar BLR semasa. Sedangkan jika BLR melepasi tahap 10 peratus, bayaran bulanan yang perlu dibayar kepada bank islam adalah terikat pada kadar 10 peratus sahaja. Ini tidak berlaku di bank konvensional.

Selain itu, anda juga tidak boleh membandingkannya secara umum kerana setiap bank mempunyai kadar yang lebih pelbagai lagi bergantung kepada jumlah peratusan pinjaman. Jika anda hanya meminjam 70 peratus dari harga rumah, kadarnya berbeza dengan 90 peratus. Demikian juga di bank-bank Islam. Sebarang perbandingan mestilah sama di kedua-dua belah pihak.

Isu Rebate

Jika terdapat individu yang mendakwa rebate yang ditawarkan oleh bank islam hanya gimik, ia bererti individu itu sememangnya tidak memahami langsung operasi bank islam dan tidak mempunyai ilmu Syariah.

Di dalam Islam tidak dibenarkan menjual sesuatu barangan dengan dua harga yang berbeza, sebagai contoh :-

"saya jual rumah ini kepada anda dengan harga RM150 000 atau RM 200 000"

Jika bank Islam menjadikan rebate clause ini sebagai obligatory statement atau kewajiban ke atas pelanggan, ia akan menjadi gharar dari sudut Islam dan diharamkan. Disebabkan hal itu, rebate yang ditawarkan oleh Bank Islam tidak boleh memasukkan rebate sebagai bank's obligation (kewajiban bank), ia ditegah oleh Majlis Penasihat Syariah bank-bank seluruh dunia. Ia bukan gimik tetapi adalah bagi menepati hukum Syariah.


Ketiga : Caj Penalti Menindas



Orang ramai juga kelihatan amat tidak faham perbezaan kesan caj penalti yang dikenakan oleh bank konvensional dan bank Islam.



Bank konvensional mengenakan caj penalti jika lewat membayar secara compounding atau terkumpul. Ertinya, sebagai contoh, pinjaman A kepada bank sebanyak RM10 000 dan dikenakan bunga atau interest riba sebanyak 5 peratus. Bermakna A perlu membayar sebanyak RM10 500 kepada bank itu jika anda membayar tepat pada waktunya. Bagaimanapun A tidak akan mampu pasti anda boleh membayar pada masanya secara yakin, kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.



Katalah setelah membayar beberapa lama, baki pinjaman kini hanya RM3 000 sahaja. Tiba-tiba, A mengalami kesusahan lalu gagal membayar pada waktunya. Ketika itu bank konvensional akan mengenakan 3 peratus caj penalti iaitu RM 90 sebulan. Ia sangat mahal berbanding Bank islam yang hanya mengenakan maksimum 1 peratus atau RM 30 sebulan.



Lebih dahsyat dari itu di bank konvensional jumlah pokok yang berbaki RM3 000 itu akan bertambah dicampur RM 90 sebulan bagi kelewatan bulan pertama. Tatkala itu, jumlah pokok menjadi RM3 090. Manakala jumlah pembayaran semula pula akan dikira adalah 5 peratus x (RM3 090 ) dan bukan lagi 5 peratus daripada RM3 000. Justeru ini akan menaikkan lagi hutang A, bayangkan jika anda terlewat beberapa bulan.



Hal seperti ini TIDAK AKAN berlaku di bank islam kerana tiada kadar compounding boleh dikenakan oleh bank islam, di mana jika terdapat kelewatan pembayaran, hanya caj 1 peratus dikenakan dan ia tidak dimasukkan di dalam jumlah pembiayaan, malah ia juga akan disalurkan terus oleh bank Islam kepada faqir miskin.



Ini perlu difahami oleh orang ramai sebelum tergesa-gesa memahami bank konvensional lebih murah. Faktor penalti ini boleh dianggap sebagai antara penyebab kebanyakan peniaga bukan Islam terutamanya dari kaum Tionghua suka memohon pembiayaan dari bank islam. Mereka tahu, adakalanya mereka memang terpaksa tidak membayar bayaran ansuran beberapa ketika disebabkan keperluan tunai untuk memperkembangkan bisnes dan sebab-sebab lain.

Malah apabila dilihat kepada kadar perbiayaan yang dikenakan oleh perbankan Islam bagi produk-produk membiayai perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara seperti ditawarkan oleh bank konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar didedahkan kerana kadar pembiayaan syarikat berubah-ubah bergantung kepada tiga hal terpenting:

a) Kadar mengurus minima (cost of fund) bank Islam itu.

b) Prestasi dan kekuatan organisasi yang memohon pembiayaan.

c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi.

Keadaan ini menyebabkan perbandingan tepat 'apple to apple' adalah tersangat sukar.

Ulama Bank Islam Menipu Jual Agama?

Sebagai akhirnya, jika anda masih mengatakan bank-bank Islam 'menipu', zalim dan semua ustaz dan ulama yang megesahkan adalah menipu, menjual agamanya dan apa-apa yang lain. Ia terpulang kepada anda jika anda rasa benar-benar berilmu tentang Fiqh Muamalat dan kewangan Islam.

Tetapi anda perlu sedar, siapakah individu yang bertanggung jawab mengesahkan tindakan dan operasi perbankan Islam di Malaysia dan seluruh dunia sekarang ini. Mereka adalah Majlis Fiqh Antarabangsa, Majlis Fatwa Eropah, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, Majlis Ulama Indonesia, Majlis Fatwa Brunei, Majlis Fatwa Saudi, para ulama timur tengah dan ramai lagi. Semua mereka tahu apa yang saya katakan di atas.

Jika benar-benar bank Islam di seluruh dunia tipu, sudah tentu kumpulan ulama ini akan bangkit menentang. Tapi itu tiada berlaku, malah semuanya menyokong penuh dan membantu perkembangan bank-bank Islam.

Secara spesifik pula antara ulama pakar kewangan Islam yang bertanggung jawab menyelia operasi bank-bank Islam di Malaysia (dahulu dan sekarang) seperti :-

Sila buka di sini untuk senarai ahli Majlis Syariah BNM

1) Prof. Dato' Dr Haron Din ( ex Majlis Syariah BNM & Suruhanjaya Sekuriti),

2) Prof Adjunt Dr Mohd Daud Bakar ( Pengerusi, Majlis Syariah Bank Negara Malaysia)

3) Prof. Madya Dr. Engku Rabiah ( Majlis Syariah BNM )

4) Dr Aznan Hasan ( Majlis Syariah BNM )

5) Dato' Ismail Kamus ( Ex Majlis Syariah EON Islamic banking )

6) Syeikh Nizam Ya'kubi (Ulama Bahrain, juga kelulusan ekonomi dari USA & keluaran pondok Mekah, antara guru Syeikh Yasin Fadani, Majlis Syariah CIMB Islamic Bank Malaysia)

7) Syeikh Dato Hashim Yahya ( Majlis Syariah BNM & Ex Mufti WP)

8) Dato Harussani Zakaria ( Majlis Syariah Maybank Islamic Banking & Mufti Perak)

9) Prof. Ust Saleh Ahmad ( YDP Persatuan Ulama Malaysia, Majlis Syariah Bank Muamalat Malaysia)

10) Dato' Hasan Ahmad ( Mufti Penang, Majlis Syariah BNM)

11) Prof. Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid ( Majlis Syariah, Public Islamic Banking)

12) Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ( Majlis Syariah Asian Finance Bank Malaysia, ulama besar Syariah di dunia)

dan ramai lagi, termasuklah Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat yang redha dengan bank Islam di Malaysia. Jika tidak, mengapa beliau mengarahkan kerajaan Kelantan menyimpan di bank Islam.

Jika anda katakan bank Islam yang ada di depan mata anda hari ini adalah menipu atas nama 'Islam', zalim serta menindas. Ini bermakna anda juga mengatakan semua nama-nama dan ulama besar yang terlibat telah membiarkan penindasan, kezaliman dan penipuan dilakukan oleh perbankan Islam kepada orang ramai. Benarkah mereka semua pendokong dan pengesah penipuan oleh bank Islam dan menjual agama mereka. Sebenarnya siapa yang menipu?. dan siapa sebenarnya yang JAHIL?

Jika ada ahli parti PAS ingin mengatakan bank Islam yang ada ini adalah ala UMNO, maka Dr Haron Din (Timb Mursyidul 'Am PAS) adalah salah seorang yang mengesahkannya dan beliau merupakan ahli Syariah RHB Islamic Bank banking begitu lama sekali. Jika anda ingin mengatakan bank-bank Islam yang ada ini ala PAS, ia juga tidak benar kerana terlalu ramai ulama yang mempunyai jawatan rasmi kerajaan bersama-sama meluluskannya.

Sebenarnya, bank-bank Islam di dunia dan di Malaysia bukanlah agenda mana-mana politik kepartian, tetapi ia adalah agenda Islam. Malah model perbankan Islam di dunia hari ini adalah sama dalam banyak sudut.

Mereka adalah individu utama yang bertanggung jawab di Malaysia bagi memastikan operasi bank Islam adalah menurut hukum Syariah.

Sebenarnya, individu yang cuba mempertikaikan bank islam ini adalah sebahagian dari gerakan pihak Islam Liberal di Malaysia, mereka sentiasa cuba menjatuhkan kredibiliti ulama di seluruh dunia dengan harapan termasuk Malaysia, perjuangan mereka adalah supaya manusia akan menjadi lebih bebas seperti beruk di hutan tanpa ikatan dari hukum itu dan ini. Malangnya kerana ketidakfahaman umat Islam, penyokong-penyokongnya lahir bukan sekadar dari orang awam, tetapi juga penyokong gerakan islam di Malaysia. Saya cukup simpati dengan mereka, di permainkan dengan begitu mudah oleh puak Islam Liberal. Padahal gerakan Islam inilah yang membantah habis-habisan penubuhan IFC dan Islam Liberal, kali ini kelihatan ahli-ahli mereka pula ghairah menyokong idea Islam Liberal sehingga menyiarkan tulisan pihak Islam Liberal ini di web popular ahli-ahli mereka dengan bangganya.

Adakah anda lebih percaya permainan kata-kata seorang ejen insuran Riba (yang menyebarkan artikel kononnya bank islam menipu, ia juga adalah dari pihak gerakan Islam Liberal) dari senarai ulama di atas?

Terpulang kepada anda siapa yang ingin anda jadikan rujukan untuk urusan akhirat anda.



Sekian, wallahul musta'an.





Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

3 Sept 2007

21 Syaaban 1428 H