Hukum Kenajisan Anjing: Satu Penilaian Semula.
oleh:Hafiz Firdaus Abdullah
Apabila sahaja disebut tentang anjing, pasti ramai yang akan merasa jijik. Apabila sahaja melihat anjing, ramai yang akan cuba menjauhinya. Ini kerana kita sejak awal telah diajar bahawa anjing adalah najis yang berat. Akan tetapi pada masa kini, wujud beberapa suasana di mana kita terpaksa berada “berhampiran” dengan anjing.
Sebagai contoh, terdapat beberapa lapangan terbang antarabangsa yang menggunakan anjing untuk mengesan dadah pada penumpang dan bagasi mereka. Ini menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan kita kerana kesukaran untuk menyamak mana-mana bahagian yang telah disentuh oleh anjing tersebut.
Dalam risalah ini, penulis ingin mengajak para pembaca sekalian mengkaji semula, adakah benar anjing adalah najis yang berat? Adakah setiap kali anjing bersentuhan dengan kita, kita perlu menyamaknya? Sebelum dimulakan kajian ini, penulis ingin terlebih dahulu memberi muqaddimah tentang pandangan Islam terhadap haiwan secara umum.