IRAN: ANTARA AKIDAH SUNNI DAN POLITIK AMERIKA
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Sebelum seseorang membicara apa-apa persoalan berkaitan Islam, dia wajib memastikan bahawa manhaj al-fikir atau cara fikir yang dianutinya itu betul. Cara fikir manusia memang berbagai.
Namun al-Quran dan al-Sunnah yang thabit memastikan ia bergerak di atas paksi yang betul. Sesuatu yang kelihatan hebat, tidak memberi apa-apa makna jika ia bercanggah dengan kedua sumber ini.
Justeru itu Allah menyebut dalam al-Quran Surah al-Baqarah 221: (maksudnya) “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.
Yang demikian ialah kerana mereka (orang-orang kafir itu) mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya)”.
Media Massa Barat menggempar-gemburkan kehebatan Iran. Iran diberi ruang oleh Media Barat dengan begitu luas lebar untuk menunjukkan keberanian dan kehebatannya. Demikianlah Amerika yang mempopularkan watak Iran yang dipilih olehnya di musim ini sebagai wira penentang dalam filem terbarunya.
Dia juga yang akan membayar gaji artisnya itu di luar pentas. Dia tidak akan mempopularkan kehebatan HAMAS kerana itu wira yang tidak dipilih. Namun ramai yang tidak mempunyai manhaj yang jelas dan pembacaan sejarah yang meluas akan terpengaruh dengan filem terbaru ini.
Tidaklah terlalu buruk jika seseorang tertipu dengan mainan media Barat yang terbaru ini. Biasa saja untuk setiap orang muslim yang tulen membenci kejahatan kuasa Amerika dan dalam masa yang sama mengharapkan lahirnya wira yang mampu mencabar dan bertarung dengan syaitan besar itu.
Siapa sahaja yang muncul waktu ini akan disanjung. Ramai pula yang tidak akan bertanya adakah dia benar-benar wira atau pelakon yang ditaja. Namun yang lebih buruk apabila seseorang mempertikaikan akidahnya yang benar hanya kerana terpengaruh dengan dengan watak dalam filem. Ini seperti seseorang yang memuji agama hindu dan mempertikaikan Islam hanya kerana terpengaruh dengan watak hero hindustan dalam filem hindi. Dek kerana sayangkan watak hero yang dicipta oleh pengarah dan kebencian kepada watak jahat yang dipamirkan.
Pada hal pengarah yang samalah yang mencipta kedua-dua watak. Amat pedih rasanya apabila seorang pemimpin paling tinggi sebuah organisasi politik di Malaysia ini, dalam keghairahannya memuji Iran, dia memuji mazhab Syiah. Tidak memadai setakat itu, dia menyatakan mazhab Syiah lebih istimewa dari mazhab Ahli Sunnah kerana memasukkan jihad sebagai salah satu rukun Islamnya.
Aduhai malangnya seorang yang mengakui dari kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah berucap seperti itu. Saya tidak pasti, apatah al-fadhil kita ini telah melupai hadith dan pengajian Islam dari kitab-kitab sunni yang pernah dilalui dan dibacanya, hanya kerana kisah nuklear Iran yang ditonjolkan oleh Pengarah Amerika.
Sesungguhnya rukun Islam bukan diletakkan secara suka-suka oleh ulama sunni. Ia adalah penyataan Nabi s.a.w., antaranya dalam hadith Jibril yang masyhur. Ulama Ahli Sunnah tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat tambahan atas apa yang diputuskan oleh baginda Nabi s.a.w. Apatahlagi rukun Islam bermaksud tanggungjawab fardu ‘ain untuk setiap individu tanpa boleh berpada hanya dengan amalan orang lain. Adapun jihad bukan dalam semua keadaan ia pada status fardu ‘ain. Bahkan dalam sebahagian keadaan ia fardu kifayah. Walaupun ia sangat penting dalam Islam.
Tanpanya umat binasa. Namun ia bukan rukun Islam yang ditanggung oleh setiap individu muslim. Justeru itu al-Quran menyebut dalam Surah al-Taubah 122: (maksudnya) Dan tidaklah (wajar) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)”.
Kemudian kita patut bertanya; dalam sejarah Syiah, adakah pernah mereka berjihad menentang kuffar dan mempertahan negara umat Islam?!! Beritahu kita!!! Yang ada hanya penentangan mereka terhadap kerajaan-kerajaan umat Islam yang lampau dan pembiaran kuffar menceroboh negara umat Islam. Paling baru ‘marji’ (tokoh rujuk) mereka al-Sajistani yang memfatwakan boleh berkerjasama dengan Amerika.
Dia menjadi insan paling damai dan mendapat naungan kuasa jahat itu di Irak sekarang. Sedangkan dalam masa yang sama ulama-ulama sunni diburu di serata Irak. Sejarah syiah tidak pernah membukti mereka ingin berperang dengan Kristian. Bacalah sejarah!! Taqiyyah mereka lebih tebal dari senjata mereka.
Yang ada sekarang ialah penyembelihan kaum sunni di Irak yang dilakukan secara licik oleh pimpinan Syiah yang menguasai politik Irak tajaan Amerika. Sepanjang sejarah, hanya kaum sunni yang membuka wilayah, kota dan negara dan mengibarkan bendara jihad menentang kuffar. Adapun syiah sejarah mereka ialah memerangi para pemerintah dan mengkhinati beberapa ibu kota umat Islam, termasuk Baghdad pada zaman lampau.
Ini bukan penyataan ekstrimis sunni, tetapi realiti yang dicatatkan oleh sejarah. Sejarah ialah guru kita yang mengajar bagaimana kita menilai isu dan suasana. Kehidupan ini hanyalah putaran sejarah, yang ditukar ganti dengan pelakon-pelakon baru di setiap zaman, namun watak dan jalan ceritanya sama.
Bagi saya, sesungguhnya Amerika tidak akan menyerang Iran. Amerika amat kenal antara musuh dan kawan. Syiah bukan musuh Amerika. Bahkan ajaran Syiah adalah senjata yang digunapakai untuk menyerang Islam. Kedudukan Iran yang tidak sunni dan tidak arab itu sentiasa dianggap oleh negara-negara jirannya sebagai ancaman.
Perasaan terancam ini amat diperlukan oleh Amerika. Justeru, Iran telah mengistiharkan baru-baru ini, jika dia diserang dia akan menyerang negara-negara Arab yang mempunyai kepentingan Amerika. Kenyataan ini adalah salah satu dari buah catur Amerika. Tujuannya, agar negara-negara Arab ketakutan. Pemimpin-pemimpin arab yang telah lama menggantikan ketakutan kepada ALLAH dengan ketakutan kehilangan kerusi pemerintahan akan menyeru Amereka datang. Mereka sedar rakyat mereka membenci mereka.
Tawakal mereka kepada ALLAH telah lama digantikan dengan tawakal kepada Amerika. Kenyataan Iran itu dicaturkan agar tawakal pemimpin Arab kepada Amerika lebih kuat dan ruang penempatan dan kuasa Amerika di dunia Arab bertambah kukuh. Amerika yang ingin kembali mendapatkan sokongan Arab telah mencaturkan semua ini. Jangan lupa, Amerika jugalah yang menggalakkan Saddam Hussain memasuki Kuwait dan syaitan itu juga yang menawarkan perlindungan untuk Kuwait dan negara-negara Arab yang lain.
Mereka berpusu-pusu mengalu-alukan sang syaitan dek kerana takutkan kekuatan Saddam. Akhirnya, Amerika yang mengaut untung percaturan politi CIAnya. Jangan lupa juga, bahawa kemenangan Khomeini adalah hasil bantuan Amerika pada tahun 1979. Ketua turus tentera Amerika Pakatan Atlantik di Eropah telah berada di Iran sepanjang bulan Januari 1979 tanpa disedari oleh Syah Iran. Dia berperanan memujuk general-general tentera agar tunduk kepada kehendak rakyat.
Dalam masa yang sama dia meminta agar Syah Iran pergi bercuti pada 11 Januari 1979. Kesempatan itu untuk memberi ruang kepada rakyat Iran terus menjatuhkan Syah. Akhirnya, Khomeini yang dalam buangan pulang melakukan revolusi. Slogannya “Kemerdekaan, Kebebasan, Keadilan Dan Republik Islam”.
Selepas pungutan suara yang membawa undian rakyat sebanyak 98% untuk Khomeini, perlembagaan pun digubal. Khomeini menduduki makam wilayah fakih, iaitu naib kepada Imam Mahdi yang mempunyai kuasa mutlak ke atas perlembagaan. Dia berhak menafsir, mengubah dan menghapuskan undang-undang yang digubal. Kuasa mutlak ini telah menghapuskan slogan keadilan dan kemerdekaan yang dilaungkan. Dia berada di atas undang-undang dan perlembagaan.
Puak sunni adalah minoriti terbesar Iran. Mereka sekitar 25-30%. Semua agama seperti Yahudi, Kristian dan Majusi dilindungi oleh perlembagaan Iran. Malangnya tidak untuk Ahli Sunnah. Unit perisikan khas Khomeini yang tidak boleh dicabar oleh undang-undang telah bertindak sezalim-zalimnya terhadap minoriti sunni. Kata Dr Saif ALLAH Muhammad al-Di’yan: “Golongan yang taksub ini telah membunuh dan menawan para ulama dan pendakwah Ahli Sunnah serta isteri-isteri mereka. Mereka memenjara, mengazab dan mencemarkan maruah. Tiada seorang pun ulama sunni yang selamat.
Paling utama yang diazab dan diseksa sehingga mati oleh mereka ialah al-Syeikh Ahmad Mufti Zadah, pemimpin Ahli Sunnah di Iran. Sesiapa yang selamat –jumlahnya amat sedikit- dipenjarakan di rumah masing-masing dan diharamkan menemui orang ramai. Mereka dilarang mengajar dan mentarbiah masyarakat. Tujuannya melaksanakan agenda mensyiahkan kaum sunni dan menghapuskan sunnah sama sekali di Iran. Kawasan sunni diharamkan mendapat kemudahan yang diperolehi oleh oleh rakyat Iran lain.
Adapun sekolah, masjid dan hospital mereka seakan di kurun pertengahan. Semuanya buruk, mundur dan usang. Sementera Tehran, sekalipun terdapat gereja, pusat kegiatan Kristian, kuil Yahudi, Majusi, Bahai, Hindu dan berbagai lagi puak sesat, namun Tehran menjadi satu-satunya ibu kota di dunia ini yang tidak terdapat padanya masjid untuk golongan sunni. Adapun jawatan-jawatan dalam kerajaan sama ada di peringkat atasan ataupun bawahan tiada seorang pun Ahli Sunnah mendudukinya”. (Dr Saif ALLAH Muhammad al-Di’yan, Iran Bain al-Tasyaiyu’ wa al-Libiraliyyah, himpunan karya dalam Mustaqbal al-‘Alam al-Islami, Tahaddiyat fi ‘alam mutaghaiyir 453-454, Majalah al-Bayan).
Sedangkan Ahli Sunnah telah diseksa di zaman Syah Iran kerana terlibat membantu dan menyokong gagasan Revolusi Khomeini. Inilah balasan yang mereka terima. Apa yang hendak dihairankan, Khomeini dalam bukunya Tahrir al-Wasilah menghalalkan harta seorang sunni untuk diambil dan dirampas dalam apa bentuk sekalipun. Sementara dalam buku yang sama beliau mengharamkan solat ke atas jenazah seorang sunni. Banyak lagi jika hendak diungkitkan. Bacalah buku-buku Khomeini sendiri seperti Tahrir al-Wasilah, Kasyf al-Asrar,Hukumah Islamiyyah dan sebagainya. Ada orang kata kita kena sokong Iran, sebab ketika Rum menentang Parsi, orang Islam menyokong Rum. Al-Quran pun merakamkan hal ini dalam Surah al-Rum. Saya katakan: ya! Benar.
Rum benar-benar menentang Parsi. Rum lebih baik daripada Parsi dari segi nilainya. Namun orang Islam akhirnya menumbangkan Rum, seperti mana mereka juga menjatuhkan Parsi. Mereka tidak pernah kata penyelewengan Kristian Rum itu benar. Malangnya, adakah Iran akan benar-benar menentang Amerika?!! Adakah Syiah kurang bahaya?!! Di Malaysia ada yang ambil kesempatan berkempen Syiah di saat ini. Ada yang mengangkat gambar Khomeini, Khomeinei dan Sajastani.
Ada yang mencerca sahabah dan memaki Abu Bakar dan ‘Umar. Kisah-kisah dusta kononnya Saidina ‘Umarlah pembunuh Fatimah bint RasulilLah s.a.w mula diedarkan. Ada parti politik yang dijadikan sarang gerakan syiah sejak lama, mula menetaskan telurnya pada musim ini. Percayalah! Yang hendak dibela oleh Iran –jika diandaikan benar- hanyalah negara syiahnya. Ia tidak mewakili umat sunnah sama sekali. Ia hanya mewakili semangat dan jiwa parsinya semata.
Adakah mungkin pimpinan yang mencerca serta mengkafirkan Abu Bakr dan ‘Umar dan menyanggap sesiapa yang mengiktiraf keduanya terkeluar dari agama, akan membela kita para pencinta Abu Bakr dan ‘Umar?!! Ramai mungkin tidak selesa dengan artikel ini. Namun saya terpaksa menulisnya demi menyelamatkan benteng-benteng sunni yang ada di negara ini. Saya bimbang ada yang tersasar. Pada awal kemenangan Revolusi Iran ramai yang tersasar, termasuk Ikhwan Muslimun.
Namun akhirnya, ramai yang sedar sehingga Said Hawwa yang pada mulanya menghormati Khomeini dan pernah menziarahinya telah menulis tentang keganjilan akidah dan pendirian Khomeini dalam bukunya al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-‘Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif. Ramai yang menentang dan membenci Amerika. Cuba dan Korea juga menentang. Bin Laden juga menentang. Kita juga menentang. Namun, adakah atas nama menentang Amerika kita ingin korbankan akidah dan manhaj Ahli Sunnah yang dibawa oleh RasululLah s.a.w dan dipraktikkan oleh generasi sahabah?!! Demi Tuhan Ka’bah!! tidak sama sekali! Saya menulis hal ini dengan penuh sedar tulisan ini menyanggah arus.
Semoga ALLAH mengurniakan dalam hati ini kelapangan dari memikirkan kepentingan diri mengatasi kepentingan umat. Demi sesungguhnya tulisan ini atas tanggungjawab semata. Jika ditakdirkan semua manusia tumbang pada arus pecaturan ini, biarlah kita terus berdiri sebagai seorang sunni yang faham dengan manhaj yang murni. Hanya ALLAH Yang Maha Menengetahui betapa perasaan kita semua merintih dan menangisi penindasan Syaitan Amerika terhadap umat Islam ini.
Jika panggilan jihad dibuka, kita ingin berbondong-bondong mendatanginya. Namun dalam masa yang sama kita tidak akan menggadaikan akidah hanya kerana semangat. Kita mesti menentukan jalan kita yang sebenar. Selepas itu, kita tidak peduli lambat atau cepat menuju ke destinasi suci, asalkan ia sampai dan diredhai ALLAH. Kita monolak jalan pintas dan dekat, apabila kita tahu ia menyesatkan kita dari destinasi sebenar dan dibaluti kemurkaan ALLAH. Ya ALLAH! Saksikanlah, sesungguhnya hambaMu ini telah menyampaikan!!.
ps/: Dipetik dari al-ahkam.net
No comments:
Post a Comment