Tuesday, November 27, 2007

ISLAM MEMBENARKAN DEMONTRASI

ISLAM MEMBENARKAN DEMONTRASI
12 Nokhtah perhatian.

Oleh : Al Fadhil Ustaz Ghani Shamsudin

Berhimpun dan mengadakan demonstrasi ; menunjuk perasaan secara aman adalah salah suatu tindakan yang sah dari segi syara dan undang-undang untuk menyatakan penentangan terhadap kemungkaran. Ia suatu pendekatan yang berkesan untuk menyerlahkan pengaruh dan kuasa kebenaran.

Dengan itu orang yang zalim akan kembali sedar menginsafi kesalahan diri mereka. Hukum asal berhimpun secara aman dan berdemonstrasi adalah harus .

Tapi kalau dirujuk kepada “ Maqasid al Syaria’ah “ ia mungkin menjadi “Mandub” atau sunnah. Malah ia mungkin beralih kepada hukum wajib seandainya tidak ada cara lain untuk menegur dan membetulkan kemungkaran kecuali dengan cara keluar beramai-ramai berhimpun dan berdemonstrasi di padang terbuka atau di jalan raya .



Hal seperti ini pernah dilakukan oleh golongan ulama tersohor sepanjang sejarah. Setakat yang kita tahu tidak ada ulama yang membantah mereka. Berhimpun dan berdemonstrasi adalah salah satu yang memberi petanda dan ukuran terhadap pandangan massa rakyat .

Demonstrasi juga memperkasa kecenderungan rakyat ke arah mempertahankan kebenaran.
Salah satu aras penanda utama yang menyerlahkan sifat kejantanan dan kelelakian ialah keupayaan seseorang menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah tirani yang zalim dan korup. Hal ini akan lebih nyatadan berkesan lagi jika dilakukan oleh rakyat seluruhnya .

Suara dan teriakkan ribuan para demonstran di jalan raya melaungkan kebenaran di berbagai pelusuk kota dan desa pastikan akan menyerlahkan kesepaduan tekad dan kekuatan umat membanteras kejahatan . Menyuarakan isu kebenaran dan membenarkan yang hak adalah suatu kewajiban moral ; malah dia adalah syiar agama.

Seandainya menyatakan kegembiraan justeru ketibaan hariraya dan menghimpunkan umat untuk berhari raya itu sunat termasuk menghimpunkan orang yang tidak wajib atau sunatpun mereka bersolat ; demi meramaikan majlis kera’ian orang orang Islam; sebagai menyatakan keceriaan dan kegembiraan dengan kedatangan hari raya maka apatah lagi berhimpun dan menunjukkan rasa solidariti dan simpati kepada mangsa kekejaman dan kezaliman yang telah dilakukan terhadap mana-mana manusia di dunia ini.

Samaada rumah mereka telah dirobohkan atau maruah mereka telah dicabuli mahupun kerana pembunuhan terhadap anak dan isteri mereka. Kepentingan dan Keabsahan Demonstrasi Memandangkan masih ramai kalangan yang jahil dan keliru terhadap pandangan agama Islam terhadap demonstrasi ini maka di sini kita akan tampilkan dalil sunah daripada Sirah Rasul dan perspektif Islam terhadap hal ini berdasarkan asas dan kaedah yang difahami oleh ulama dan amalan mereka; baik pengucapan mahupun perbuatan.:

Pertama:

Dari Sudut Kesannya Terhadap Lawan Lawan atau musuh akan tersentak dengan perbuatan itu dan ini akan menyebabkan mereka kembali merenung dan memikirkan kesilapan mereka. Ini mungkin menyebabkan mereka insaf dan tidak jadi melakukan kejahatan atau kezaliman.

Kaum Quraisy pada zaman dahulu tekejut dan dikejutkan oleh keberanian Rasululluh yang tampil berdemo dalam satu gelombang demontrasi pertama dengan dua ketumbukan yang satu dikepalai oleh Hamzah dan satu lagi diketuai oleh Saidina Omar Ibnu al Khattab.

Inilah suatu demonstrasi pertama dalam Islam; di mana kekuatannya ditampilkan secara aman tanpa peperangan dan maruah Islam diproklamir tanpa konfrantasi.

Kedua:

Demonstrasi Adalah Bukti Penolakan Terhadap Kemungkaran Kalau berlaku kekejaman atau pembunuhan terhadap mana mana rakayat yang tidak berdosa maka kita wajib tampil menyatakan bantahan samaada dengan kuasa mahupun dengan yang lain.

Namun kalau tidak ada kuasa maka sekurang-kurangnya dengan lidah dan perkataan. Tapi kalau lisanpun sudah menjadi kelu dan tidak terkata maka sekurang-kurangnya penolakan kemunkaran itu dilakukan dengan hati .( dan itu adalah selemah-lemah iman). Rasulullah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka ia wajib merubahnya dengan tangan (kuasa) jika ia mampu.

Kalau dia tidak mampu maka sekurang-kurangnya dengan lidah. Kalau tidak mampu juga maka sekurang-kurangnya dengan hati dan itu adalah petanda selemah-lemah iman.. Ibnu Hajar dalam kitab beliau Fathu al Bari mengatakan: Wajib melaksanakan amr ma’ruf bagi yang berupaya meskipun ianya mungkin berbaur maksiat.

Kerana pada umumnya ia akan diganjari terhadap perlaksanaan amr makruf itu; lebih-lebih lagi jika ia masuk dalam kategori ketaatan. Manakala dosa kecil maksiat yang dilakukan olehnya mungkin akan diampunkan oleh Allah atau sebaliknya. Akan tetapi bagi orang yang berpendapat sebaliknya; yang mengatakan amr makruf tidak wajib hanya kepada sesiapa yang tidak pernah melakukan maksiat maka itu bermakna seolah-olah menutup pintu sama sekali untuk terlaksananya amr ma’ruf .

Lebih-lebih lagi jika tidak ada cara lain untuk menentang kemungkaran kecuali dengan perbuatan itu..

Ketiga:

Demonstrasi Memamirkan Kekuatan Umat Islam Sebelum ini kita telah maklum bahawa Rasulullah pernah keluar bersama sahabat berdemontrasi untuk memaparkan suara , kekuatan dan ramainya bilangan umat Islam ketika itu ; meskipun hal ini hasil desakan para sahabat baginda .

Selaras dengan itu adalah pandangan Syaikh Abdul Rahman Abdul Khaliq. Beliau menerangkan: Demonstrasi ada disebutkan sebagai salah satu cara yang diambil oleh Rasulullah untuk mengenengahkan kekuatan Islam dan sebagai salah satu cara dakwah.

Ini berlandaskan hadith bahawa kaum muslimin keluar beramai-ramai setelah Omar mengisytiharkan dirinya menganut agama Islam berdasarkan arahan Rasul dengan dua barisan . Satu barisan diketuai oleh Hamzah R.A. dan satu lagi diketuai oleh Omar.

Teriakan mereka terdengar bagaikan deru kisaran tepung sehinggalah mereka masuk dalam masjid. Pada pengamatan saya tindakan tersebut semata-mata kerana mahu menunjukkan kekuatan (suara kebenaran) Versi hadith tersebut pernah diriwayatan oleh Abu Na’im dalam Kitab al Hilyah dengan sanad yang dihubungkaitkan dengan Ibnu Abbas.

Di mana di (riwayatkan) Saidina Omar berkata: Wahai Rasulullah , bukankah kita dipehak yang benar; samada semasa kita hidup atau kita mati?. Bahkan jawab Rasulullah. Kamu di pehak yang benar; samada ketika kamu hidup atau kamu mati. Maka aku pun meningkah : Kalau begitu mengapa kita harus menyepikan diri (bersembunyi) Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran engkau mesti keluar menampilkan diri .

Lalu kami keluar bersama baginda dalam dua barisan para penunjuk perasaan. Hamzah mengepalai satu barisan dan aku mengepalai satu barisan. Demonstrasi ini gegap dengan teriakan bagaikan bunyi alat kisaran tepung (yang besar) sehinggalah kami sampai dan masuk dalam masjid. Dia berkata lagi :

Kemudian aku dapati kaum Quraisy menoleh kepada ku dan kepada Hamzah dengan pandangan muram dan sugul . Mereka merasa kecewa dan frustrasi yang tidak pernah mereka alami sebelumnya. Sejak daripada itu Rasululah member i nama jolokan kepada ku sebagai Omar al Faaruq. Kerna Allah telah menyerlahkan perbezaan antara kebenaran dan kebatilan dengan (pengislaman) diriku.(Lihat Hilyatul Aulia’ Juz 1 hal:40 dan Fathul Bari Juz 7 Hal:59}

Keempat:

Semangat Perundangan Islam Membenarkannya Syariat Islam banyak mengandungi syi’ar amalan dan slogan yang menyerlahkan menifestasi kekuatan, pengaruh dan dakwah Islam itu sendiri.

Umpamanya solat berjamaah, solat Jumaah, solat dua hariraya dan sebagainya. Rasulullah sendiri memerintahkan agar kaum wanita samadan yang berhaidh atau anak dara keluar menghadiri solat hari raya samaada di masjid atau di tempat lapang dengan alasan yang beliau sebutkan :

Mereka hendaklah melihat( meramaikan) majlis kebaikan dan seruan dakwah Islam kaum muslimin. Antara kebaikan yang mereka saksikan ialah ramainya bilangan orang Islam dan bagaimana mereka beramai-ramai menampilkan syi’ar syi’ar Islam.

Baginda juga pernah mengutus para utusan yang ramai dan ketumbukan perang yang matlamat utama baginda di sabalik pengiriman utusan tersebut ialah untuk mempamirkan kekuatan umat .

Sebab itu baginda pernah berkata kepada Usamah R.A. ”Bawa (tentera berkudamu) memijakkan kakinya di bumi Balqa’

Kelima:

Demonstrasi Pada Asasnya adalah Harus Demonstrasi adalah satu tatacara atau wasilah. Oleh itu hukumnya adalah hukum yang berstatus wasilah.” Al Asl fi al Wasaail al Ibahah.” (Hukum wasilah – pada dasarnya – adalah harus )

Oleh itu kalau ada pun perkara pelanggaran kecil yang dilakukan ketika itu maka hukumnya adalah mengikut hukum al Maqasid .

Perkara yang dimaksudkan oleh orang Islam ketika melaksanakan kegiatan seperti ini ialah menyatakan dan mendambakan kebenaran, menolak kezaliman , mendedahkan kejahatan golongan tirani . meniup semangat orang ramai menggalakkan mereka bertindak untuk menegur dan membanteras kejahatan.

Oleh itu demonstrasi boleh mengukuhkan kesepaduan pendirian dan solidariti sesama umat..

Keenam:

Demonstrasi Memperkasa dan Menggerakkan Massa Umat Menghadapi Kuasa Tirani. Pada suatu ketika ada seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah tentang perangai buruk jiran tetangganya ( sehingga menyusahkan ketenteraman hidupnya sebagai jiran) .

Baginda berkata kepadanya; Keluarkan barangan rumah tangga saudara di luar rumah. Diapun mengeluarkan barangan rumahnya di luar rumah. Ini menyebabkan setiap orang yang lalu lalang di situ bertanya .Lalu dia menerangkan sebab musabbabnya.

Maka orang yang lalu lang di situpun ikut mengutuk perbuatan jahat jiran tersebut. Orang berkenaan tidak tahan lalu pergi menemui Rasulullah . Rasulullah bertanya apa masaalah saudara. Dia menceritakan kepada baginda bahawa orang ramai mengutuknya .

Baginda menjawab . Allah mengutuk saudara lebih awal daripada orang ramai mengutuk anda. Orang itu menjawab . Kalau begitu aku taubat dan tidak akan mengganggu ketenteraman jiranku. Ia pulang menemui jiranya dengan berkata. Angkatlah barangan masuk ke rumah saudara semula saya berjanji tidak akan menyikit suadara lagi ( sebagai jiran)..

Al Bazzar ada meriawayatkan Hadith seperti ini dengan status sanad nya sebagai ”Hasan”, tapi dengan teks berikut:

ضع متاعك على الطريق أو على ظهر الطريق فوضعه،‏ فكان كل من مر به قال ما شأنك؟ قال جاري يؤذيني فيدعو عليه فجاء جاره فقال ‏:‏ (رد متاعك فلا أؤذيك أبدا)‏ ‏.‏

Ketujuh ;

Demonstrasi Dalam Zaman Modern Ini Adalah Sebahagian Daripada Wasilah Perjuangan Media informasi, samada tulisan , imej , video, demontrasi dan sebagainya adalah sebahagian daripada ”kempin” ”raya” untuk memenangkan sesuatu agenda perjuangan atau peperangan.

Sebab itu kalau kita meneliti gerak kerja Zionist dalam hal ini kita akan dapati betapa gerakan mereka begitu rapi, banyak dan berpengaruh untuk menjuari perjuangan mereka. Peperangan media begitu gencar sekarang terhadap umat Islam.

Informasi Barat , Amerika khasnya sengaja menggelapkan berita berita kebangkitan dan demonstrasi orang Islam menentang penindasan mereka, kecuali berita yang membayangkan keburukan dan kemunduran Islam maka itu akan mereka paparkan seluas-luasnya .

Penampilan media mereka sampai kepada pembuat keputusan dan pengendali kuasa politik umat , Mereka sedar betapa seriusnya peranan informasi termasuk demonstrasi dalam menggegarkan sendi pemerintahan diktator dan penguasa yang zalim di dunia ini . Massa rakyat akan segera menyahut dan bertindak atas kebejatan mereka .

Ia adalah permulaan kepada kesedaran yang akan meniupkan semangat perjuangan umat. Kalaulah tidak kerana kesedaran pehak tertentu tentang peranan demonstrasi ini dalam menggerakkan dan menimbulkan kesedaran massa sudah pasti mereka tidak akan merubah sikap atau sudah pasti golongan penzalim tidak akan mengurangkan kezalimannya kerana adanya demo-demo menentang kezaliman mereka.

Umat Islam tidak kurang memiliki kesedaran seperti ini. Mereka tidak sepatutnya tinggal diam seribu bahasa membiarkan kejahatan dan kezaliman berlaku terus menerus terhadap diri dan rakyat . Mereka wajar tampil menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, menentang rasuah dan salah guna kuasa dalam berbagai bidang hidup demi kesejahteraan bangsa dan keselamatan negara mereka .

Rasulullah bersabda :

"فالمسلم أخو المسلم لا يسلمه ولا يخذله

“Orang muslim adalah saudara orang muslim yang lain. Ia tidak wajar menyerahkan orang muslim yang lain (untuk dizalimi) atau membiarkannya (dizalimi)” Prinsip ini juga berlaku terhadap sesama manusia dan sesama warga negara .

Kelapan:

Kalau Ada Fatwa Yang Mengharamkan Demonstrasi Maka Ia tunduk Kepada Perubahan Keadaan Namun ada juga segelintir yang terpengaruh dengan fatwa kumpulan Tariqat atau Tasauwuf tertentu yang mengharamkan perbuatan demonstrasi kerana terpengaruh dengan pendapat syaikh mereka yang agak terhad pemikiran mereka . Terhadap golongan ini mereka wajar bertaqwa kepada Allah .

Mereka tidak harus terbelenggu dalam minda terhad Syaikh-Syaikh mereka . Mereka tidak sepatutnya mengikut – begitu sahaja - secara membuta tuli . Yang benar atau al haq lebih wajar dipatuhi berbanding figure atau orang tertentu; betapapun besarnya mertabat orang berkenaan. Para Syaikh yang baik itu mungkin terpengaruh pada isu dan masa tertentu .

Manakala latar belakang isu berkenaan telah berubah dan tidak wujud lagi sekarang.Fiqh leluhur silam atau Fiqh Salafi sentiasa dinamis menurut keperluan dan tuntutan lingkungan.

Sebab itu fatwa mereka boleh berubah dengan perubahan situasi. Kalau Salafi difahamkan sebagai period masa lampau maka dia telah berlalu dengan ciri khasnya. Kalau al Salafi itu dihubungkaitkan dengan Manhaj atau methode maka tentulah ia manhaj yang responsive terhadap perubahan lingkungan dan zaman. Kini adalah zaman ilmu dan akal .

Sesungguhnya menurut Rasulullah adalah selaras dengan tuntutan kontemprori atau al Mu’asarah yang didambakan oleh orang sekarang. Manhaj yang baik ialah manhaj yang sentiasa responsive dengan bijak terhadap perkembangan situasi dan kondisi semasa. Ia bukan manhaj yang beku dan statis.

Kesembilan:

Hujjah Amalan Para Ulama Sepanjangan sejarah para alim ulama ramai yang telah meluahkan perasaan dan pandangan mereka melalui demontrasi aman tanpa dipersalahkan oleh ulama yang muktabar. Di Kuwait, algeria, Mesir dan Syam.

Ulama seperti Rashid Redha Rahimullah pernah turut berdemo untuk mengeluarkan penjajah Perancis dari tanah air mereka . Ulama Azhar pernah keluar beramai-ramai berdemo menentang penjajah Inggeris pada tahun 1919 dan baru baru ini menentang regim tirani di Mesir.

Tiada seorang ulama pun mengeluarkan fatwa mengharamkannya. Malah Sami Budha Burma pun turut tampil berdemo untuk menuntut keadilan dan demokrasi dalam Negara mereka.

Kesepuluh:

Demonstrasi Parameter Denyutan Keperihatinan Massa Tunjuk perasaan aman adalah petanda hidupnya keperihatinan massa rakyat; baik kafir mahupun muslim pada zaman ini. Kita tidak akan dapat mengesan pandangan rakyat terhadap golongan atau parti yang memimpin mereka yang memerintah dengan sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan kepentingan rakyat melainkan dengan gerakan massa seperti ini yang mendedahkan golongan mana yang tidak setuju dan golongan mana pula yang bersekongkol.

Demonstrasi aman seperti ini bukan perkara baru dalam sebuah negara maju seperti Britain, Amerika dan lain-lain. Dalam Negara tersebut semua jentera negara – termasuk polis dan pegawai trafik - memberi laluan, kerjasama dan melindungi para penunjuk perasaan aman berkenaan.

Kesebelas:

Hasil Demonstrasi Ialah Umat Berjaya Mengatasi Sebahagian Kemusykilan Hidup Mereka Demonstrasi besar-besaran di berbagai pelusuk dunia telah menghasilkan buahnya yang positif di beberapa buah negara sepanjang sejarah.. Yang terakhir ialah dapat kita lihat kejayaan demonstrasi rakyat Afrika selatan sehingga berhasil memerdekakan negara mereka.

Di Indonesia rakyat berjaya meruntuhkan kekuasaan Suharto yang korup dan digantikan dengan pemerintahan era reformasi golongan Orde Baru. Di Yugoslovia rakyat yang berdemonstrasi secara besar-besaran berjaya menjatuhkan Slobodan Milosonich dan mengembalikan maruah dan kehurmatan bangsa mereka dari dilumuri kehinaan dan kebejatan regim yang korup. Malah dalam banyak lagi negara negara lain kita melihat kejayaan demonstrasi rakyat mengubah nasib mereka;
samada sebahagian atau keseluruhan sosok dan wajah kehidupan mereka.

Keduabelas:

Demonstrasi Perlu Demi Mempertahankan Kebenaran di Samping Menentang Kebatilan dan Kezaliman Keluar beramai-ramai menobatkan kebenaran, menumpaskan kebatilan adalah suatu hak yang sah .

Amalan ini juga diperakukan oleh Allah untuk menunjukkan penentangan serta penolakan terhadap amalan munkar . Sebab itu Allah memerintahkan agar perlaksanaan hudud diperlihatkan kepada segolongan orang ramai . Allah juga memerintahkan supaya umat keluar beramai-ramai menyambut hari raya , bahkan beginda Rasulullah menggesa rakyat agar ikut serta mengucapkan pamitan kepada rombongan mujahid dan pejuang Islam yang akan bergerak ke medan tempur atau menyambut kepulangan mereka ketika mereka kembali dari medan perjuangan.

Baginda pernah memamirkan kekuatan dan kehebatan ketumbukan tentera Islam kepada Abu Sufian agar dia tidak berani bertempur dengan ketumbukan berkenaan. Sebelum itupun Rasulullah pernah menyuruh umat Islam yang menunaikan tawaf di Mekah agar melakukannya dengan tangkas , berlari anak sambil mendedahkan bahagian bahu dan lengan (”Kaedah al Raml dalam tawaf”) sebagai petanda keperwiraan , kecekatan dan kesiapsiagaan umat Islam untuk berjuang .

Perincian perkara ini boleh dirujuk dalam huraian mengenai bab Haji atau Umrah. Seandainya kita semua – sebagai bangsa dan rakyat yang merdeka - enggan melahirkan sikap penentangan kita terhadap kejahatan , penipuan , rasuah dan kezaliman yang berlaku serta tindakan pengkhianatan dan menghakis kemerdekaan dan maruah umat yang dilakukan oleh pehak-pehak tertentu; dengan cara yang berkesan maka apakah lagi yang ada dari sifat kejantanan dan dakwaan kemerdekaan kita sebagai umat yang bermaruah ..

Jelas daripada hujah di atas bahawa melahirkan sikap dan menunjuk perasaan atau berdemonstrasi secara aman adalah suatu yang dibenarkan dalam Islam; bahkan pernah diamalkan oleh para leluhur di zaman silam dan malah menjadi amalan bangsa-bangsa yang bertamadun, bermaruah dan merdeka..

Semoga Allah memberikan kita semua keyakinan dan keberanian untuk merubah nasib umat dan rakyat. Semoga bangsa , warga dan rakyat Malaysia amnya bebas dan merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.

No comments: