Mahal & Murah Antara Bank Islam & Konvensional : Satu Perbandingan Yang Silap
( Bahagian yang dikemaskini berwarna hijau pada 4 Sept 07)
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
( Sebahagian dari tulisan ini adalah petikan dari buku Perbankan dan Kewangan Islam saya yang sedang dalam proses percetakan, dijangka akan terbit sekitar bulan Oktober 2007)
Mahal? Kerap kali kita mendengar hiruk pikuk orang Islam membandingkan kadar keuntungan yang diambil oleh bank-bank islam dan kadar riba haram (interest) yang dikenakan oleh perbankan konvensional.
Ikhlas saya katakan ia adalah satu perbandingan yang amat tidak benar dan tidak wajar. Seorang lelaki berkata :
"Saya rasa kepimpinan George Bush ada persamaan dengan Nabi Muhammad dari sudut penguasaan ahlinya"
Apa perasaan anda bila dibandingkan Nabi Muhammad s.a.w, seorang Rasul dan kekasih Allah dengan seorang manusia jahat seperti George Bush ?. Bagi yang sensitif perbandingan itu tidak wajar sama sekali dari sudut spiritual dan fizikal. Bagaimanapun, bagi yang sudah hampir mati spiritualnya, perbandingan itu dilihat wajar dan adil.
Tindakan membandingkan apa yang ditawarkan oleh bank Islam dan bank Konvesional adalah ternyata silap. Iaitu dari sudut :-
1) Spiritual ; kerana membandingkan perkara yang halal dan yang haram.
2) Fizikal ; kerana cuba membandingkan dua benda yang mempunyai bentuk yang berbeza. Sebagai cuba membandingkan kadar keuntungan yang diambil oleh bank Islam dan kadar interest yang dikenakan oleh konvensional.
Selain itu, kadar harga juga berbeza-beza mengikut lokasi rumah yang ingin dibeli, kemampuan pelanggan, peratusan pinjaman / pembiayaan yang dipohon (kadar bagi pinjaman 90 peratus adalah berbeza dari pinjaman 50 peratus dan 70 peratus), tempoh jangka pembiayaan dan banyak lagi. Sebarang perbandingan mestilah mengambil kira semua faktor itu sebelum ia dibuat. Perbandingan yang dibuat secara umum pasti akan menunjukkan kelemahan diri dalam ilmu perbandingan.
Berikut adalah beberapa fakta yang menyebabkan dakwaan pinjaman perumahan bank konvensional lebih murah dari dalam perbankan Islam adalah silap dan tidak tepat sama sekali :-
Pertama: Perbandingan Kiraan Yang Silap
Orang ramai tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, perbankan Islam hanya mengenakan 7.5 peratus (tahun ketiga sehingga 30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu.
Manakala apabila dilihat kepada pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR (Base Lending Rate) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta ditolak dengan 0.25 peratus sebagai contoh.
BLR 1991 - 2006
Gambar : Kadar Kadar Pinjaman Asas (Base Lending Rate) 1991 - 2006
Bagaimana apabila peratusan BLR melambung tinggi seperti 10 peratus seperti yang berlaku ketika krisis ekonomi? Bukankah ketika itu, kadar faedah yang perlu dibayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam praktis bank Islam kerana di awal kontrak lagi menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam memberikan rebate (ibra') apabila pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal. Perlu dingat BLR naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini daripada 6 peratus sehingga 6.75 peratus. Ia juga boleh melonjak lagi mengikut keadaan ekonomi.
Ada pihak yang mendakwa kadar BLR sekiranya naik sekalipun ia tidak akan berpanjangan. Jika anda melihat statistik di atas, kadar BLR melebihi 8 peratus bermula tahun 1995 sehingga 1998. Ini bermakna 36 bulan anda dikehendaki membayar dengan kadar yang amat tinggi. Ia mungkin mampu ditanggung oleh orang yang berada, tetapi tidak bagi orang yang sederhana dan mempunyai gaji yang sekadar cukup makan setiap bulan.
Perlu diingat juga, jika dalam tempoh tersebut anda tidak boleh membayar, anda akan dikenakan penalti yang tinggi oleh Bank Konvensional dan jumlah pinjaman pokok akan bertambah menggunung. Tatkala itu kadar BLR yang telah jatuh semula tidak banyak memberikan manfaat, kerana tiga tahun kadar BLR tinggi itu telah menjadikan pembayaran anda selama ini seperti membuang duit di dalam sungai kerana ia akan menaikkan semula jumlah pinjaman pokok anda. Akan didedahkan selepas ini mengapa ia berlaku.
Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi bagi dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang tidak tepat dan tidak logik untuk diperbandingkan. Cuba lihat bagaimaan perbandingan boleh dibuat terhadap tawaran dua buah bank berikut :-
Pembiayaan Rumah (Bank Islam Malaysia Berhad [1] )
Pinjaman Rumah ( Konvensional )
Public Bank [2]
Tahun Pertama : 2 %
Tahun Pertama : BLR - 2.00% p.a. = ( 4.75 % [3])
Tahun Kedua : 4 %
Tahun Kedua : BLR - 2.00% p.a.
Tahun Ke-3 ke 10 : 7 %
Tahun Ketiga : BLR - 2.00% p.a
Tahun seterusnya : BLR - 1.60% p.a.
Jika anda dapat melihat kedua-dua tawaran di atas, bagaimana mungkin anda boleh mengetahui yang mana satu lebih murah? Memang benar bank Islam menetapkan dari awal harga jualan rumahnya kepada pelanggan kerana ia adalah kewajiban dalam Syariah, kerana itu seseorang menyangka Bank Islam lebih mahal kerana menjual sebuah rumah berharga asal RM130 000 dengan harga RM260 000. Sedangkan, pemberitahuan harga begini memang diperlukan bagi sebuah transaksi Murabahah dan Al-Bai. Sebarang pembelian aset yang tidak diketahui harganya adalah diharamkan di dalam Islam seperti :-
"Saya jual sofa ini kepada anda dengan harga bergantung kepada BLR. Minggu pertama BLR - 4 peratus, minggu kedua BLR - 3 peratus dan lain-lain"
Transaksi jualan aset sebegini adalah disepakati haramnya oleh seluruh ulama silam dan terkini. Tahap haramnya bertambah tinggi apabila sebuah pinjaman dengan riba yang tidak diketahui pula jumlah bayaran semula yang dikenakan tatkala pinjaman dibuat. Ia adalah riba dan gharar.
Yang jelas dalam hal di atas, perbandingan antara harga yang diletakkan oleh Bank Islam dan bank konvensional tidak boleh dibuat lagi kerana jumlah keseluruhan yang perlu anda bayar kepada bank konvensional tidak akan dapat diketahui sehingga tempoh pinjaman anda tamat.
Perbandingan ini menjadi salah kerana Bank konvensional bergantung sepenuhnya kepada kadar BLR yang berubah-ubah. Bagaimana anda boleh membandingkan benda yang tiada dengan yang sudah ada. ? Kecuali jika individu tersebut tidak mempunyai pengetahuan tentang kewangan. Malangnya, kebanyakan umat Islam di Malaysia kelihatan berfikiran jangka pendek, mereka hanya melihat pembayaran di hadapan mata mereka tanpa melihat jauh ke hadapan berbelas tahun lagi. Ini menyebabkan mereka sering terperangkap dalam perbandingan yang silap. [4]
Saya tegaskan sekali lagi, jika anda ingin mengatakan kadar interest bagi Public Bank berhad ( berdasarkan contoh di atas) adalah sama untuk tahun kedua dan ketiga iaitu 4.75 peratus, anda telah tersilap kerana ia belum dapat dipastikan lagi sehingga tahun depan barulah ia akan diketahui kadarnya.
Kadar tetap di Bank Konvensional ?
Sebahagian individu yang tidak memahami konsep kiraan ini juga cuba mendabik dada sambil mendakwa kononnya terdapat bank-bank konvensional yang dapat menawarkan kadar tetap yang jauh lebih rendah dari bank-bank Islam kononnya.
Ia juga sebenarnya perbandingan yang tidak sah dan tidak betul. Sebagai contoh dikatakan CIMB Konvensioanl memberikan fixed rate 5.25 peratus untuk pinjaman perumahan. Bagaimanapun jika anda membuka web CIMB Bank berhad [5], ia tercatat seperti berikut :-
3 years Fixed Rate
1st - 3rd year : 5.25%
Thereafter : BLR - 1.50%
5 years Fixed Rate
1st - 5th year : 5.50%
Thereafter : BLR - 1.50%
Bagaimana mungkin anda membandingkan antara carta kadar Bank Islam Malaysia berhad tadi dengan kadar CIMB ini . Ini kerana kadar fixed yang ditawarkan hanyalah antara 3 dan 5 tahun. Adapun, kadar yang ditawarkan oleh bank Islam mulai tahun ketiga hingga ke atas sehingga ke tahun ke-10 adalah hanya 7.0 peratus.
Demikian juga halnya dengan dakwaan CITIBANK menawarkan kadar tetap begitu rendah iaitu 5.70 %, jauh lebih murah dari Bank-bank Islam. Bagaimanapun, anda sekali lagi tertipu jika mengganggap ia adalah kadar tetap bagi 30 tahun. Cuba anda lihat apa yang dicatatkan di web CITIBANK berikut [6] :-
* Terms and conditions apply. Loan Approval is subject to credit review. 5.70% fixed rate (no BLR) is for the first 3 years. Promotion is applicable for completed residential properties and for a limited time only. Preferred insurance Partner - ING
Jika anda faham, sudah tentu kadar yang ditawarkan oleh bank-bank islam lebih hebat.
Pinjaman riba kadar tetap oleh syarikat Insuran
Tadi individu itu sibuk ingin membandingkan dengan bank, kini mereka cuba pula membandingkan tawaran dua buah syarikat Insuran yang menawarkan pinjaman perumahan dengan kadar tetap serendah 5.99 peratus selama 30 tahun dengan bank Islam ?. Ia juga bukan perbandingan yang betul kerana :-
1) Ia adalah sebuah syarikat insuran. Perbandingan sebuah bank dengan syarikat insuran adalah tidak tepat kerana kedua-dua jenis syarikat (bank dan syarikat insuran) mempunyai perbezaaan yang terlalu banyak dalam hal operasi, kiraan risiko, 'liquidity' dan 'liability'. Ini menyebabkan perbandingan anda tersasar jauh. ia ibarat membandingkan pinjaman bank konvensional dengan pinjaman oleh rakan anda (bukan sebuah bank). Ia adalah dari dua sektor yang berbeza. Sebagaimana juga membandingkan pinjaman PTPTN yang serendah 3 peratus dengan pinjaman pendidikan dan peribadi yang ditawar oleh bank pada kadar 8 peratus.
Malahan membandingkan pinjaman perumahan yang ditawar oleh bank konvensional dengan pinjaman perumahan oleh syarikat insuran juga tidak tepat. Ia kelas dan sektor yang berbeza.
2) Syarikat Insuran itu juga mewajibkan untuk mengambil insuran dengannya. Ini menyebabkan terdapat kos tambahan yang tidak termasuk dalam 5.99 peratus, tetapi termasuk dalam kiraan kontrak insuran pula. Majlis Fiqh Dunia telah memutuskan sebanyak 3 kali bahawa insuran konvensional adalah haram. bermakna sesiapa yng mengambil produk pinjaman perumahan dari syarikat insuran ini, terlibat dengan 'double' riba.
3) Syarikat itu juga mengamalkan kiraan penalti secara 'compounding' yang masih akan membawa isu yang sama, iaitu pokok pinjaman akan bertambah sekiranya terdapat kegagalan pembayaran pinjaman.
4) Syarikat Insuran dan bank-bank konvensional mengenakan 'commitment fee' iaitu yuran khas jika anda ingin menamatkan pinjaman anda dalam tempoh 5 tahun pertama. Ini menyebabkan tidak boleh menukar ke bank lain dalam tempoh tersebut kecuali membayar denda yang dinamakan 'yuran komitmen'.
Di bank-bank Islam, Majlis Syariah dunia tidak membenarkan yuran komitemen ini dilaksanakan. Anda bebas untuk menukar pembiayaan ke bank lain tanpa sebarang denda. Demikian pelaksanaan oleh Hong Leong Islamic bank, RHB Islamic Bank dan Asian Finance Bank, Kuwait Finance house dan beberapa yang lain.
Hasilnya, bank Islam masih tetap lebih hebat kerana halal dan terutamanya terdapat bank Islam yang menawarkan konsep fixed rate yang variable. Ia seperti penjelasan di bawah ini.
Kedua : Kadar Tetap Bank Islam Boleh Berubah Menjadi Murah
Satu fakta yang sering gagal difahami orang awam adalah terdapatnya beberapa buah bank Islam yang menawarkan kadar tetap pada 10 peratus, tetapi bayaran bulanannya anda bukannya 10 peratus, tetapi dilihat kepada Base Financing Rate (BFR) semasa, jika BFR adalah 6.0 peratus, maka pihak Bank Islam akan memberikan diskaun pada bulan tersebut sebanyak 4 peratus. Lihat gambar di bawah dan fahamkan. Bank konvensional tiada kemudahan seperti ini.
Jika kadar BFR meningkat melebihi 10 peratus, bank islam tetap hanya akan mengambil 10 peratus juga, berbanding bank konvensional yang akan menaikkan kadar bayaran selari dengan BLR ke tahap berapa sekalipun. Kaedah ini telah disahkan halal oleh pelbagai Majlis Syariah bank-bank Islam di Malaysia dan Timur Tengah. Ia dinamakan produk Home Financing-i variable, produk sebegini ada ditawarkan oleh Hong Leong Islamic Bank, Maybank Islamic Banking dan beberapa bank Islam yang lain.
Fahamkan ini Sebelum Bising
Gambar : Produk fixed dengan kemudahan variable oleh Bank Islam. EPR : Effective Profit Rate . CPR : Contracted Profit Rate
Justeru jika kadar tetap setinggi 10 peratus dikenakan oleh bank Islam bagi tempoh 30 tahun, ia sebenarnya masih murah dan hebat berbanding bank konvensional yang menggunakan BLR yang tidak tetap sepanjang masa. Ini kerana walaupun tetap, pembayaran bulanannya sentiasa ditawarkan diskaun oleh pihak bank Islam mengikut kadar BLR semasa. Sedangkan jika BLR melepasi tahap 10 peratus, bayaran bulanan yang perlu dibayar kepada bank islam adalah terikat pada kadar 10 peratus sahaja. Ini tidak berlaku di bank konvensional.
Selain itu, anda juga tidak boleh membandingkannya secara umum kerana setiap bank mempunyai kadar yang lebih pelbagai lagi bergantung kepada jumlah peratusan pinjaman. Jika anda hanya meminjam 70 peratus dari harga rumah, kadarnya berbeza dengan 90 peratus. Demikian juga di bank-bank Islam. Sebarang perbandingan mestilah sama di kedua-dua belah pihak.
Isu Rebate
Jika terdapat individu yang mendakwa rebate yang ditawarkan oleh bank islam hanya gimik, ia bererti individu itu sememangnya tidak memahami langsung operasi bank islam dan tidak mempunyai ilmu Syariah.
Di dalam Islam tidak dibenarkan menjual sesuatu barangan dengan dua harga yang berbeza, sebagai contoh :-
"saya jual rumah ini kepada anda dengan harga RM150 000 atau RM 200 000"
Jika bank Islam menjadikan rebate clause ini sebagai obligatory statement atau kewajiban ke atas pelanggan, ia akan menjadi gharar dari sudut Islam dan diharamkan. Disebabkan hal itu, rebate yang ditawarkan oleh Bank Islam tidak boleh memasukkan rebate sebagai bank's obligation (kewajiban bank), ia ditegah oleh Majlis Penasihat Syariah bank-bank seluruh dunia. Ia bukan gimik tetapi adalah bagi menepati hukum Syariah.
Ketiga : Caj Penalti Menindas
Orang ramai juga kelihatan amat tidak faham perbezaan kesan caj penalti yang dikenakan oleh bank konvensional dan bank Islam.
Bank konvensional mengenakan caj penalti jika lewat membayar secara compounding atau terkumpul. Ertinya, sebagai contoh, pinjaman A kepada bank sebanyak RM10 000 dan dikenakan bunga atau interest riba sebanyak 5 peratus. Bermakna A perlu membayar sebanyak RM10 500 kepada bank itu jika anda membayar tepat pada waktunya. Bagaimanapun A tidak akan mampu pasti anda boleh membayar pada masanya secara yakin, kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
Katalah setelah membayar beberapa lama, baki pinjaman kini hanya RM3 000 sahaja. Tiba-tiba, A mengalami kesusahan lalu gagal membayar pada waktunya. Ketika itu bank konvensional akan mengenakan 3 peratus caj penalti iaitu RM 90 sebulan. Ia sangat mahal berbanding Bank islam yang hanya mengenakan maksimum 1 peratus atau RM 30 sebulan.
Lebih dahsyat dari itu di bank konvensional jumlah pokok yang berbaki RM3 000 itu akan bertambah dicampur RM 90 sebulan bagi kelewatan bulan pertama. Tatkala itu, jumlah pokok menjadi RM3 090. Manakala jumlah pembayaran semula pula akan dikira adalah 5 peratus x (RM3 090 ) dan bukan lagi 5 peratus daripada RM3 000. Justeru ini akan menaikkan lagi hutang A, bayangkan jika anda terlewat beberapa bulan.
Hal seperti ini TIDAK AKAN berlaku di bank islam kerana tiada kadar compounding boleh dikenakan oleh bank islam, di mana jika terdapat kelewatan pembayaran, hanya caj 1 peratus dikenakan dan ia tidak dimasukkan di dalam jumlah pembiayaan, malah ia juga akan disalurkan terus oleh bank Islam kepada faqir miskin.
Ini perlu difahami oleh orang ramai sebelum tergesa-gesa memahami bank konvensional lebih murah. Faktor penalti ini boleh dianggap sebagai antara penyebab kebanyakan peniaga bukan Islam terutamanya dari kaum Tionghua suka memohon pembiayaan dari bank islam. Mereka tahu, adakalanya mereka memang terpaksa tidak membayar bayaran ansuran beberapa ketika disebabkan keperluan tunai untuk memperkembangkan bisnes dan sebab-sebab lain.
Malah apabila dilihat kepada kadar perbiayaan yang dikenakan oleh perbankan Islam bagi produk-produk membiayai perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara seperti ditawarkan oleh bank konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar didedahkan kerana kadar pembiayaan syarikat berubah-ubah bergantung kepada tiga hal terpenting:
a) Kadar mengurus minima (cost of fund) bank Islam itu.
b) Prestasi dan kekuatan organisasi yang memohon pembiayaan.
c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi.
Keadaan ini menyebabkan perbandingan tepat 'apple to apple' adalah tersangat sukar.
Ulama Bank Islam Menipu Jual Agama?
Sebagai akhirnya, jika anda masih mengatakan bank-bank Islam 'menipu', zalim dan semua ustaz dan ulama yang megesahkan adalah menipu, menjual agamanya dan apa-apa yang lain. Ia terpulang kepada anda jika anda rasa benar-benar berilmu tentang Fiqh Muamalat dan kewangan Islam.
Tetapi anda perlu sedar, siapakah individu yang bertanggung jawab mengesahkan tindakan dan operasi perbankan Islam di Malaysia dan seluruh dunia sekarang ini. Mereka adalah Majlis Fiqh Antarabangsa, Majlis Fatwa Eropah, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, Majlis Ulama Indonesia, Majlis Fatwa Brunei, Majlis Fatwa Saudi, para ulama timur tengah dan ramai lagi. Semua mereka tahu apa yang saya katakan di atas.
Jika benar-benar bank Islam di seluruh dunia tipu, sudah tentu kumpulan ulama ini akan bangkit menentang. Tapi itu tiada berlaku, malah semuanya menyokong penuh dan membantu perkembangan bank-bank Islam.
Secara spesifik pula antara ulama pakar kewangan Islam yang bertanggung jawab menyelia operasi bank-bank Islam di Malaysia (dahulu dan sekarang) seperti :-
Sila buka di sini untuk senarai ahli Majlis Syariah BNM
1) Prof. Dato' Dr Haron Din ( ex Majlis Syariah BNM & Suruhanjaya Sekuriti),
2) Prof Adjunt Dr Mohd Daud Bakar ( Pengerusi, Majlis Syariah Bank Negara Malaysia)
3) Prof. Madya Dr. Engku Rabiah ( Majlis Syariah BNM )
4) Dr Aznan Hasan ( Majlis Syariah BNM )
5) Dato' Ismail Kamus ( Ex Majlis Syariah EON Islamic banking )
6) Syeikh Nizam Ya'kubi (Ulama Bahrain, juga kelulusan ekonomi dari USA & keluaran pondok Mekah, antara guru Syeikh Yasin Fadani, Majlis Syariah CIMB Islamic Bank Malaysia)
7) Syeikh Dato Hashim Yahya ( Majlis Syariah BNM & Ex Mufti WP)
8) Dato Harussani Zakaria ( Majlis Syariah Maybank Islamic Banking & Mufti Perak)
9) Prof. Ust Saleh Ahmad ( YDP Persatuan Ulama Malaysia, Majlis Syariah Bank Muamalat Malaysia)
10) Dato' Hasan Ahmad ( Mufti Penang, Majlis Syariah BNM)
11) Prof. Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid ( Majlis Syariah, Public Islamic Banking)
12) Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ( Majlis Syariah Asian Finance Bank Malaysia, ulama besar Syariah di dunia)
dan ramai lagi, termasuklah Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat yang redha dengan bank Islam di Malaysia. Jika tidak, mengapa beliau mengarahkan kerajaan Kelantan menyimpan di bank Islam.
Jika anda katakan bank Islam yang ada di depan mata anda hari ini adalah menipu atas nama 'Islam', zalim serta menindas. Ini bermakna anda juga mengatakan semua nama-nama dan ulama besar yang terlibat telah membiarkan penindasan, kezaliman dan penipuan dilakukan oleh perbankan Islam kepada orang ramai. Benarkah mereka semua pendokong dan pengesah penipuan oleh bank Islam dan menjual agama mereka. Sebenarnya siapa yang menipu?. dan siapa sebenarnya yang JAHIL?
Jika ada ahli parti PAS ingin mengatakan bank Islam yang ada ini adalah ala UMNO, maka Dr Haron Din (Timb Mursyidul 'Am PAS) adalah salah seorang yang mengesahkannya dan beliau merupakan ahli Syariah RHB Islamic Bank banking begitu lama sekali. Jika anda ingin mengatakan bank-bank Islam yang ada ini ala PAS, ia juga tidak benar kerana terlalu ramai ulama yang mempunyai jawatan rasmi kerajaan bersama-sama meluluskannya.
Sebenarnya, bank-bank Islam di dunia dan di Malaysia bukanlah agenda mana-mana politik kepartian, tetapi ia adalah agenda Islam. Malah model perbankan Islam di dunia hari ini adalah sama dalam banyak sudut.
Mereka adalah individu utama yang bertanggung jawab di Malaysia bagi memastikan operasi bank Islam adalah menurut hukum Syariah.
Sebenarnya, individu yang cuba mempertikaikan bank islam ini adalah sebahagian dari gerakan pihak Islam Liberal di Malaysia, mereka sentiasa cuba menjatuhkan kredibiliti ulama di seluruh dunia dengan harapan termasuk Malaysia, perjuangan mereka adalah supaya manusia akan menjadi lebih bebas seperti beruk di hutan tanpa ikatan dari hukum itu dan ini. Malangnya kerana ketidakfahaman umat Islam, penyokong-penyokongnya lahir bukan sekadar dari orang awam, tetapi juga penyokong gerakan islam di Malaysia. Saya cukup simpati dengan mereka, di permainkan dengan begitu mudah oleh puak Islam Liberal. Padahal gerakan Islam inilah yang membantah habis-habisan penubuhan IFC dan Islam Liberal, kali ini kelihatan ahli-ahli mereka pula ghairah menyokong idea Islam Liberal sehingga menyiarkan tulisan pihak Islam Liberal ini di web popular ahli-ahli mereka dengan bangganya.
Adakah anda lebih percaya permainan kata-kata seorang ejen insuran Riba (yang menyebarkan artikel kononnya bank islam menipu, ia juga adalah dari pihak gerakan Islam Liberal) dari senarai ulama di atas?
Terpulang kepada anda siapa yang ingin anda jadikan rujukan untuk urusan akhirat anda.
Sekian, wallahul musta'an.
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
3 Sept 2007
21 Syaaban 1428 H
No comments:
Post a Comment