Monday, October 19, 2009

Dr. Mahathir kecewa rakyat terlebih gemuk

Dr. Mahathir kecewa rakyat terlebih gemuk

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 Okt. - "Saya berasa amat tidak gembira dengan keadaan rakyat Malaysia," kata Tun Dr. Mahathir Mohamad merujuk kepada rakyat negara ini yang berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan terutama obesiti dan sakit jantung.

Kenyataan spontan bekas Perdana Menteri itu menggambarkan rasa kecewa beliau dengan sikap rakyat Malaysia yang malas untuk menjaga kesihatan mereka.

Katanya, penambahan ketara kumpulan penduduk yang terlebih gemuk atau obesiti agak merunsingkan.

"Pada masa ini, orang yang obes amat ramai, malah semasa mereka berjalan, gear box (merujuk kepada perut) mereka turut bergerak dan dibuai dengan kuat.

"Ini tidak elok kerana jantung mereka terpaksa bekerja lebih kuat untuk menampung keadaan itu," katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kempen Walk-a-Mile (WAM) sempena Hari Jantung Sedunia 2009 di sini hari ini.

Dr. Mahathir turut berkongsi panduan kesihatan dengan peserta kempen itu bahawa berat badannya tidak pernah melebihi 60 kilogram sejak mula-mula menyertai politik sehingga bersara.

Beliau seboleh-bolehnya akan tetap meluangkan masa untuk melakukan senaman walaupun sibuk dengan tugas seharian.

"Senaman yang paling mudah dan 'murah' ialah berjalan kaki, sehingga sekarang saya amalkan kecuali jika terlalu sibuk, saya akan gunakan alat senaman treadmill. Saya juga angkat dumbell untuk Kuatkan otot lengan.

"Mungkin kini tumbukan saya tidak sekuat dahulu, maklumlah usia sudah semakin meningkat, tetapi jika semasa muda sesiapa yang terkena tumbukan saya pasti akan terasa sakitnya," katanya sambil berseloroh.

Kempen WAM itu dianjurkan oleh Yayasan Jantung Malaysia bersama Nesvita Omega Plus dengan kerjasama akhbar Mingguan Malaysia.

Objektif program tidak berkonsepkan pertandingan itu adalah bagi mengajak orang ramai berjalan kaki sekurang-kurangnya satu kilometer sehari bagi menggalakkan masyarakat menjadikan amalan tersebut riadah rutin untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

No comments: