Wednesday, October 27, 2010

Wasiat & Pembahagian Harta Pusaka




Seorang saudara telah bertanya mengenai pembahagian harta pusaka serta memberi satu kes sebagai contoh untuk diselesaikan. Sebelum menjawab soalan beliau, kami menurunkan dahulu ayat-ayat al-Qur'an yang bersabit, supaya penjelasan yang bakal dibuat menjadi lebih licin. Kami akan memberi sedikit komentar ke atas ayat-ayat tersebut, dan berharap para pembaca dapat membantu dengan membetulkan kesilapannya setelah ia dikesan.

Wasiat

Perkara utama dalam pembahagian harta pusaka ialah membuat wasiat. Suruhan membuat wasiat disebut dari awal lagi di dalam al-Qur'an. Daripada ayat al-Baqarah yang berkenaan dapat difahamkan iaitu bagi orang-orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan) adalah wajib membuat wasiat sebelum mereka meninggal dunia. Wasiatnya memihak kepada ibu bapanya, dan sanak saudara. Ayat yang dimaksudkan berbunyi,

"Dituliskan (ditetapkan) bagi kamu, apabila seseorang antara kamu didatangi kematian, dan dia meninggalkan kebaikan (harta), supaya membuat wasiat memihak kepada ibu bapanya, dan sanak saudara dengan baik - suatu kewajipan kepada orang-orang yang bertakwa." (2:180)

Kemudian, sekiranya kandungan wasiat difikirkan tidak adil atau berdosa maka ia harus dibetulkan dengan perundingan antara pihak-pihak yang terlibat. Al-Qur'an didapati amat jelas mengenai perkara tersebut:

"Jika seseorang takut akan penyimpangan daripada jalan yang benar, atau dosa, daripada orang yang berwasiat itu, lalu dia membetulkan antara mereka, maka tidaklah ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (2:182)

Wasiat patut juga mengandungi peruntukan untuk isteri selama setahun dan pembayaran sewa rumah, kalau rumah yang didiami disewa. Peringatan itu datang daripada ayat berbunyi,

"Dan orang-orang antara kamu yang mati dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka membuat wasiat untuk isteri-isteri mereka, peruntukan untuk setahun tanpa mengeluarkannya; tetapi jika mereka keluar, maka tidaklah bersalah ke atas kamu mengenai apa yang mereka buat pada diri-diri mereka sendiri dengan baik; Allah Perkasa, Bijaksana." (2:240)



Selanjutnya, difahamkan iaitu nama-nama penerima harta pusaka yang dinyatakan di dalam wasiat hendaklah termasuk "orang-orang yang terikat dengan sumpah" orang yang berwasiat, seperti anak angkat, anak tiri, atau apa yang dikatakan "tangan-tangan kanan kamu memiliki" (sila rujuk Tangan Kanan Miliki). Fahaman berdasarkan ayat berikut:

"Dan bagi tiap-tiap orang, Kami melantik waris-waris daripada apa yang ibu bapa dan sanak saudara meninggalkan, dan orang-orang yang terikat dengan sumpah kamu. Maka berilah mereka bahagian mereka; sesungguhnya Allah adalah saksi atas segala sesuatu." (4:33)

Dua orang saksi diperlukan dalam wasiat, yang terdiri daripada mereka yang mempunyai keadilan di kalangan kenalan orang yang berwasiat atau dua yang lain jika dia sedang dalam perjalanan. Dan mereka akan bersumpah jika orang yang berwasiat ragu-ragu. Demikian dinyatakan oleh ayat di bawah:

"Wahai orang-orang yang percaya, kesaksian antara kamu apabila salah seorang daripada kamu ditimpa maut, apabila dia berwasiat, ialah dua orang yang mempunyai keadilan antara kamu, atau dua yang lain daripada selain kamu, jika kamu berpergian di bumi, dan bencana maut menimpa kamu. Kemudian kamu akan tahan mereka sesudah solat, dan mereka akan bersumpah dengan Allah, jika kamu ragu-ragu: 'Kami tidak akan menjualnya untuk suatu harga, walaupun ia sanak saudara yang dekat, dan kami tidak juga akan menyembunyikan kesaksian Allah, kerana jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang yang berdosa.'" (5:106)

Oleh yang demikian, wasiat dibuat walau dalam keadaan apa jua pun. Kerana ia wajib.

Wasiat daripada Allah

Apabila si mati (maaf atas kegunaan kata tersebut) tidak meninggalkan sebarang wasiat maka pembahagian harta yang ditinggalkan hendaklah menurut wasiat daripada Allah yang akan dijelaskan sebentar lagi. Atau, terdapat harta yang tidak disebut di dalam wasiatnya, maka harta itu dibahagi antara waris-waris menurut wasiat daripada Allah itu juga.

Tambahan lagi, sebelum harta si mati dibahagikan, hutangnya dikira, andaikata dia berhutang, dan dibayar daripada harta yang ditinggalkan. Hutang dibayar walaupun sudah mati.

Terdapat tiga ayat yang menyentuh mengenai wasiat daripada Allah, iaitu 4:11, 4:12, dan 4:176 yang akan disenaraikan di bahagian akhir halaman ini.

Anak-anak

Pada dasarnya, pembahagian harta pusaka dalam wasiat Allah bagi anak-anak adalah, "bagi (seorang) lelaki serupa dengan bahagian dua perempuan", jika ada dua anak perempuan (2x = 1x + 1x). Ini bermaksud, anak lelaki yang seorang itu mendapat separuh dan dua anak perempuan mendapat separuh juga (50-50).

Tetapi "jika mereka perempuan-perempuan yang lebih daripada dua, maka bagi mereka dua per tiga daripada apa yang dia meninggalkan," bererti, anak lelaki yang seorang itu mendapat 1/3 sementara anak-anak perempuan yang berjumlah lebih daripada 2 mendapat 2/3.

Dan disuratkan lagi, "tetapi jika dia (perempuan) seorang, maka baginya separuh" atau dengan jelas, bermaksud, jika yang ditiggalkan adalah seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, maka mereka akan mendapat separuh seorang daripada harta yang ditinggalkan (50-50).

Bagaimana pula, kalau terdapat 2 orang anak lelaki atau lebih dan 1 orang anak perempuan? Maka kami andaikan supaya balik kepada dasar iaitu bahagian seorang lelaki serupa bahagian 2 perempuan seperti kiraan:

2 lelaki (+ +) + 1 perempuan = 2x + 2x (+ +) + 1x.

Dan seterusnya bagi bilangan anak perempuan yang bertambah (~ + 1x + 1x ....)

Demikian itu adalah pembahagian harta pusaka apabila terdapat kedua-dua anak lelaki dan anak perempuan. Bahagian bagi anak perempuan didapati tidak tetap, bergantung pada bilangan mereka. Bahagian bagi lelaki juga turut dipengaruhi oleh bilangan perempuan.

Dengan itu, kami berpendapat bahawa sekiranya si mati tidak meninggalkan seorang pun anak lelaki maka harta yang ditinggalkannya, yang diuntukkan bagi anak-anak, diserahkan kesemuanya kepada anak atau anak-anak perempuan. Begitu juga dengan anak lelaki. Sebab, Tuhan tidak menyuruh supaya diserahkan bahagian anak lelaki (yang tiada itu) kepada mana-mana pihak luar. Malah, Dia tidak menyuruh memberi kepada sesiapa yang di luar keluarga, dalam apa saja situasi bagi pembahagian harta pusaka, kecuali kepada "orang-orang yang terikat dengan sumpah".

Isteri dan Suami

Bagi isteri, "bagi mereka (isteri), satu per empat (1/4) daripada apa yang kamu meninggalkan jika kamu tidak ada anak."

Akan tetapi, "jika kamu ada anak, maka bagi mereka (isteri), daripada apa yang kamu meninggalkan, satu per lapan (1/8)." Baki setelah diberi bahagian isteri, iaitu 7/8, barulah dibahagi antara anak-anaknya.

Bagi suami pula - "bagi kamu, separuh (1/2) daripada apa yang isteri-isteri kamu meninggalkan, jika mereka tidak ada anak;"

"Tetapi jika mereka ada anak, maka bagi kamu, daripada apa yang mereka meninggalkan, satu per empat (1/4)."

Ibu Bapa

Ibu bapa juga termasuk dalam pembahagian harta pusaka - "kepada ibu bapanya, kepada setiap seorang daripada keduanya, satu per enam (1/6) daripada apa yang dia meninggalkan, jika dia ada anak." Dari itu, jumlah bagi kedua-dua mereka adalah 2/6 atau 1/3.

Sehingga di sini, adalah baik jika dibuat kiraan, misalan, bagi seorang lelaki yang meninggal dunia dan meninggalkan isteri, anak-anak dan ibu bapa:

Isteri = 1/8 (3/24) = 12.5%
Ibu & bapa = 1/3 (8/24) = 33.33%
Anak-anak (baki) = 13/24 = 54.16%

Atau meninggalkan salah seorang daripada ibu bapanya sahaja, maka kiraannya adalah seperti berikut:

Isteri = 1/8 (3/24) = 12.5%
Ibu atau bapa = 1/6 (4/24) = 16.66%
Anak-anak (baki) = 17/24 = 70.83%

Kembali kepada ibu bapa. Bagi si mati yang hanya meninggalkan ibu bapa sebagai waris, "maka satu per tiga (1/3) bagi ibunya, atau jika dia ada saudara-saudara lelaki, maka bagi ibunya satu per enam (1/6)."

Hanya ibu yang disebut di situ. Tiada bapa. Mungkin tidak silap mengandaikan sekiranya bapa masih hidup maka ibunya mendapat 1/6 sahaja, sama seperti bapa.

Ibunya mendapat 1/6 juga jika si mati ada meninggalkan saudara-saudara lelaki.

Tiada Waris Terus

Akhirnya, "Jika seorang lelaki atau seorang perempuan tidak mempunyai waris yang terus (ibu bapa dan anak), tetapi ada saudara lelaki atau saudara perempuan, maka bagi tiap-tiap seorang daripada keduanya, satu per enam (1/6); tetapi jika mereka lebih ramai daripada itu, maka mereka bersekutu dalam satu per tiga (1/3)" - 4:12.

Kesemua pembahagian harta di atas adalah daripada ayat 4:11 dan 4:12. Satu lagi ayat yang terbabit, 4:176, melanjutkan penjelasan mengenai "waris yang tidak langsung", seperti di bawah:

"Allah memutuskan kepada kamu mengenai waris yang tidak langsung (selain ibu bapa dan anak). Jika seorang lelaki mati tanpa seorang anak, tetapi dia mempunyai saudara perempuan, dia menerima separuh (1/2) daripada apa yang dia meninggalkan,


"dan dia (lelaki) adalah warisnya jika dia (perempuan) tidak mempunyai anak." - saudara lelaki mewarisi semua peninggalan saudara perempuannya.


"Jika ada dua saudara perempuan, mereka menerima dua per tiga (2/3) daripada apa yang dia (lelaki) meninggalkan." dan,


"Dan jika ada beberapa saudara, lelaki dan perempuan, yang lelaki menerima serupa dengan bahagian dua saudara perempuan" (2x + 1x + 1x, atau 2x + 2x + 1x + 1x seperti yang dijelaskan terlebih dahulu) Jumlah adalah 1/3 daripada harta yang ditinggalkan, macam disebut pada ayat 4:12 tadi.

Pada sesetengah kes terdapat lebihan setelah harta dibahagikan. Pada hemat kami, segala yang berlebihan itu diberi kepada "orang-orang yang terikat dengan sumpah" si mati, seperti anak angkat, anak tiri, anak-anak yatim yang sekeluraga atau yang tidak sekeluarga, ibu atau bapa saudara yang miskin, dan sebagainya.

Sekian mengenai wasiat dan pembahagian harta pusaka. Kesemuanya adalah hanya pendapat kami setelah memahami ayat-ayat Allah. Mana yang silap sila tunjukkan. Terima kasih.

Surat

Kembali kepada surat daripada saudara yang telah mendatangkan pertanyaan mengenai waris harta pusaka, yang disebut dari awal tadi. Surat beliau diturunkan di bawah ini:

From: "Sidi Achmad"
To:
Subject: harta waris/pusaka menurut perspektif Al Qur'an
Date: Tuesday, November 02, 2004 10:17 PM

Salamun'alaikum

Kasus :
A (laki-laki, single) menikah dengan B (janda beranak dua)
A dan B tidak memiliki anak.
A mempunyai saudara seayah seibu (kandung) 3 orang :

1. C (perempuan)
2. D (perempuan)
3. A (pewaris)
4. E (laki-laki)

D dan E wafat sebelum A, sedangkan C sesudah A wafat. B saat ini berusia +/- 75 tahun.

Pertanyaannya : (ketika A selaku pewaris wafat)

Apakah ahli waris D & E mendapat bagian/haknya ? Kalau ia, berapa besar bagian /hak mereka ? Bagaimana dengan bagian/hak B dan (ahli waris) C ?
Apakah ada perbedaan antara harta sebelum dan sesudah menjadi suami-istri (A dan B) ? Contoh : - A memiliki rumah sebelum menikah, B tidak ; - A dan B memiliki rumah setelah mereka menikah.
Apa langkah sebaiknya dilakukan oleh ahli waris apabila salah satu dari orang tua atau pewaris mereka wafat ? Di Indonesia ada etika tidak tertulis, ahli waris akan membagikan harta pusaka setelah kedua orang tuanya wafat, di sinilah sering terjadi pertengkaran sesama ahli waris/karena :

- Tidak semua pewaris dan ahli waris mengerti mengenai pembagian harta pusaka, umumnya mereka hanya tahu bagian/hak laki-laki : bagian/hak perempuan = 2 : 1

- Memanfaatkan perbedaan antara (kompilasi) hukum Islam, hukum adat, dan hukum negara !

Terima kasih.

Salam.



Salamun alaikum. Terima kasih.

Untuk menyenangkan rujukan, kami turunkan lagi sesetengah daripada apa yang saudara tulis:

A (laki-laki, single) menikah dengan B (janda beranak dua)
A dan B tidak memiliki anak.
A mempunyai saudara seayah seibu (kandung) 3 orang :

1. C (perempuan)
2. D (perempuan)
3. A (pewaris)
4. E (laki-laki)

D dan E wafat sebelum A, sedangkan C sesudah A wafat. B saat ini berusia +/- 75 tahun.

Pertanyaannya : (ketika A selaku pewaris wafat)

Apakah ahli waris D & E mendapat bagian/haknya ? Kalau ia, berapa besar bagian /hak mereka ? Bagaimana dengan bagian/hak B dan (ahli waris) C ?

Komentar kami:
Sekiranya D & E yang wafat itu meninggalkan suami dan isteri, dan anak-anak, atau ibu bapa, maka A atau C (hanya dua orang saudara) dan juga B (isteri A) tidak mewarisi apa-apa. Pembahagian harta bagi waris mereka (D & E) adalah seperti yang telah dijelaskan di atas.

Selanjutnya saudara menulis:

Apakah ada perbedaan antara harta sebelum dan sesudah menjadi suami-istri (A dan B) ? Contoh : - A memiliki rumah sebelum menikah, B tidak ; - A dan B memiliki rumah setelah mereka menikah.

Komentar kami:
Tiap-tiap harta yang besar seperti tanah, rumah, kereta, dan sebagainya, ada nama tuan punya. Adalah baik bagi suami isteri untuk menurunkan nama mereka berdua pada tiap-tiap dokumen bagi harta yang dimiliki.

Soalan saudara seterusnya adalah,

Apa langkah sebaiknya dilakukan oleh ahli waris apabila salah satu dari orang tua atau pewaris mereka wafat ?

Komentar kami:
Pertama sekali, cari wasiat orang yang meninggal dunia. Menulis wasiat adalah wajib. Kedua, kumpulkan pewaris, seperti isteri atau suami, anak-anak, dan ibu bapa. Mereka ini pewaris yang amat dekat. Kalau yang wafat itu tidak meninggalkan pewaris yang dekat, maka adik-beradik menjadi waris sebagai ganti. Jangan pula lupa "orang-orang yang terikat dengan sumpah" dengan orang yang meninggal dunia itu.

Dan saudara menyatakan:

Di Indonesia ada etika tidak tertulis, ahli waris akan membagikan harta pusaka setelah kedua orang tuanya wafat, di sinilah sering terjadi pertengkaran sesama ahli waris/karena :

- Tidak semua pewaris dan ahli waris mengerti mengenai pembagian harta pusaka, umumnya mereka hanya tahu bagian/hak laki-laki : bagian/hak perempuan = 2 : 1

Komentar kami:
Maaf menyatakan bahawa etika tidak tertulis yang diamalkan itu adalah tidak Quranik. Ia patut ditukar. Kami faham betapa sukarnya untuk menukar adat sesuatu kaum. Namun, ia diikhtiarkan juga.

Kalau mereka tidak faham, mereka harus difahamkan dengan membaca wasiat daripada Allah kepada mereka, kalau si mati tidak meninggalkan sebarang wasiat. Selepas itu, jika mereka memilih untuk tidak mentaati Allah, maka tinggalkan mereka. Pergaduhan akan berlaku sekiranya saudara berkeras, dan masa itu adalah bukan sebaik-baik masa untuk berdebat.

Bagi permintaan saudara yang akhir kami memohon maaf, kerana kami tidak arif dengan hukum negara mengenai harta pusaka. Sekiranya kami menghadapi masalah itu di sini, di Malaysia, kami akan pergi berjumpa seorang peguam.

Terima kasih.
Salam.

* * * *

Ayat-ayat mengenai wasiat daripada Allah:

4:11. Allah mewasiatkan kamu mengenai anak-anak kamu; bagi lelaki serupa dengan bahagian dua perempuan, dan jika mereka perempuan-perempuan yang lebih daripada dua, maka bagi mereka dua per tiga daripada apa yang dia meninggalkan, tetapi jika dia (perempuan) seorang, maka baginya separuh; dan kepada ibu bapanya, kepada setiap seorang daripada keduanya, satu per enam daripada apa yang dia meninggalkan, jika dia ada anak; tetapi jika dia tidak ada anak, dan waris-warisnya ialah ibu bapanya, maka satu per tiga bagi ibunya, atau jika dia ada saudara-saudara lelaki, maka bagi ibunya satu per enam, sesudah sebarang wasiat yang dia mewasiatkan, atau sebarang hutang. Bapa-bapa kamu dan anak-anak lelaki kamu, kamu tidak mengetahui siapa antara mereka yang lebih dekat manfaatnya kepada kamu. Demikianlah ketentuan Allah; sesungguhnya Allah adalah Mengetahui, Bijaksana.

4:12. Dan bagi kamu (suami), separuh daripada apa yang isteri-isteri kamu meninggalkan, jika mereka tidak ada anak; tetapi jika mereka ada anak, maka bagi kamu, daripada apa yang mereka meninggalkan, satu per empat, sesudah sebarang wasiat yang mereka mewasiatkan, atau sebarang hutang. Dan bagi mereka (isteri), satu per empat daripada apa yang kamu meninggalkan jika kamu tidak ada anak; tetapi jika kamu ada anak, maka bagi mereka, daripada apa yang kamu meninggalkan, satu per lapan, sesudah sebarang wasiat yang kamu mewasiatkan, atau sebarang hutang. Jika seorang lelaki atau seorang perempuan tidak mempunyai waris yang terus (ibu bapa dan anak), tetapi ada saudara lelaki atau saudara perempuan, maka bagi tiap-tiap seorang daripada keduanya, satu per enam; tetapi jika mereka lebih ramai daripada itu, maka mereka bersekutu dalam satu per tiga, sesudah sebarang wasiat yang dia mewasiatkan, atau sebarang hutang yang memudaratkan; wasiat daripada Allah, dan Allah Mengetahui, Penyantun.

4:176. Mereka meminta satu keputusan kepada kamu. Katakanlah, "Allah memutuskan kepada kamu mengenai waris yang tidak langsung (selain ibu bapa dan anak). Jika seorang lelaki mati tanpa seorang anak, tetapi dia mempunyai saudara perempuan, dia menerima separuh daripada apa yang dia meninggalkan, dan dia (lelaki) adalah warisnya jika dia (perempuan) tidak mempunyai anak. Jika ada dua saudara perempuan, mereka menerima dua per tiga daripada apa yang dia (lelaki) meninggalkan. Dan jika ada beberapa saudara, lelaki dan perempuan, yang lelaki menerima serupa dengan bahagian dua saudara perempuan. Allah memperjelaskan kepada kamu supaya kamu tidak sesat; Allah mengetahui segala sesuatu."


5 November 2004
Ramadan 1425


Sumber:e-bacaan.com

No comments: