Tuesday, December 14, 2010

Allah Tidak Lupa...

Dunia ini jika diciptakan Allah tanpa diiringi dengan Hari Akhirat, tentulah kehidupan ini amat mengecewakan banyak manusia.

Apa tidaknya, entah berapa ramai insan yang dizalimi haknya sedangkan dia tidak dapat menuntutnya kembali disebabkan kedhaifan dirinya, atau keadaan yang tidak membelanya.

Sehingga ada insan yang dijatuhkan maruahnya, ditipu atau diceroboh hartanya,
disiksa jasad, bahkan dibunuh tubuhnya secara zalim. Tanpa kesalahan, tanpa
kejahatan, tanpa dosa yang menghalalkan itu semua. Namun dek dia manusia
bawahan, atau keadaan yang tidak membolehkan dia mempertahankan dirinya
maka dia terpaksa mengharungi kekejaman ke atas dirinya. Tercungap-cungap
tanpa pembelaan. Lantas dia pergi meninggalkan dunia ini sebagai insan
teraniaya tanpa dibela.

Jikalah dunia berakhir dengan sebuah kematian di bumi semata, tanpa manusia dibangkitkan semula dan dihitungkan segala amalan dan kerjanya, tentulah kehidupan ini sesuatu yang amat tidak adil. Atau kehidupan ini hanyalah pentas drama kezaliman
dan penindasan semata.



Namun Maha Suci Tuhan dari menjadikan kehidupan sia-sia. Firman Allah: (maksudnya) maka apakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?”

Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Maha Benar; tiada yang diabdikan diri melainkan Dia, Tuhan Yang mempunyai ‘arasy yang mulia (Surah al-Mukminun ayat: 115-116).

Saya baru-baru ini ketika bersolat di Masjidil Haram berbual dengan seorang warga Iraq. Dia dan keluarganya menjadi mangsa kekejaman pemerintah mereka yang lepas. Tidak kerana dia terlibat dengan politik, tetapi disebabkan ada keluarga mereka yang terlibat lalu semua mereka disiksa dengan penuh kezaliman.

Saya katakan kepadanya; “pemimpin awak telah pun pergi menemui Allah”. Dia menjawab: “Ya, dia telah pun hilang dari muka bumi ini, namun kekejaman yang pernah dilakukan terus terpalit dalam sanubari kami yang pernah dimangsakan dan yang dosa itu dibawa pergi menemui Allah oleh mereka yang dikorbankan olehnya sebelum kematiannya.”

Saya memandang wajahnya yang barangkali menyimpan lautan kepahitan kezaliman terhadap dirinya, anak perempuannya dan insan-insan yang dia sayangi. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran ceritanya. Namun yang pasti ramai manusia yang melakukan kezaliman telah pun melupai mangsanya, namun insan yang dizalimi tidak pernah lupa. Sudah pasti Allah tidak akan lupa perbuatan si zalim.

Teringatlah saya firman Allah: (maksudnya) Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah
lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya
melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan Yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43).

Ya, ramai orang zalim telah melupai mangsa mereka. Bahkan sebahagian mereka tidak
mengenali pun siapakah mangsa mereka. Ketika mereka bergolek dalam keseronokan, mangsa mangsa mereka merintih penderitaan dan kesakitan. Lihatlah berapa ramai pemaju perumahan yang berarak ke sana-sini sedangkan pembeli-pembeli rumah yang ditipu atau terbengkalai terus menderita dek penipuan tersebut.

Mungkin mereka tidak kenal pun bagaimanakah rupa si pemaju dan si pemaju pun tidak kenal rupa mereka. Namun Allah tidak pernah lalai dan alpa atas apa yang dilakukan.

Entahkan berapa ramai pula manusia yang ditipu harta dan wangnya disebabkan kesilapannya atau kedajalan otak si penipu yang pintar. Barangkali mereka tidak pernah bertemu muka, namun Allah tidak alpa. Entah berapa ramai insan yang dicemari
maruahnya.

Dibuat dan direka cerita palsu mengenai dirinya. Lalu disebarkan di kalangan orang ramai. Ramai pula masyarakat yang percaya terutama jika si mangsa orang yang ada nama. Ini kerana tabiat ramai manusia suka melihat kejatuhan orang lain.

Maka mata-mata manusia memandangnya dengan sinis. Terpinga-pinga dia dan bertanya: siapakah yang memulakan cerita dusta ini yang aku menderita kerananya? Tersenyum barangkali si pereka cerita disebabkan dia tidak dapat dikesan.

Namun Allah Maha Mengetahui segalanya dan tidak pernah lupa.


ALLAH TIDAK LUPA


Kadangkala kita kenal orang yang memangsakan kita. Namun tidak dapat kita mengelakkan
kezalimannya disebabkan kuasa yang dimilikinya, atau keadaan yang berpihak kepadanya.

Demikian kita lihat ada kerajaan pemerintah yang menzalimi rakyatnya. Ada majikan yang menzalimi pekerjanya.

Ada ibu bapa yang menzalimi anaknya. Atau suami yang menzalimi isterinya. Si mangsa
hanya mampu berdiam diri kerana bimbang kesan yang lebih yang buruk jika dia bertindak. Bahkan sebahagian yang menzalimi itu dengan ruang kuasa yang ada merasakan itu adalah haknya untuk menindas rakyatnya atau menekan secara tidak adil ke atas pekerjaanya atau bersikap berat sebelah kepada anak dan isterinya.

Dia tidak merasa berdosa, bahkan dengan ego mereka menepuk dada dan berkata “ini hak aku”. Namun Allah tidak akan lupa itu semua. Satu lagi sikap sesetengah manusia adalah mereka sering lupa kezaliman terhadap orang lain dan hanya mengungkit kezaliman apabila ia terkena kepada diri mereka sahaja. Jika orang lain bertindak tidak adil terhadap mereka, mereka akan membantah lalu berkata kami dizalimi. Apabila mereka menzalimi orang lain, mereka akan berkata kami hanya menuntut hak.

Inilah yang sering saya ulangi firman Allah s.w.t: dalam Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Islam ini adil untuk semua tanpa sempadan. Allah Tuhan Yang Maha anti kezaliman telah berfirman dalam hadis qudsi: “Wahai hamba-hambaKu! Aku telah haramku kezaliman untuk Aku lakukan dan Aku jadikan ianya haram di kalangan kamu, jangan kamu zalim menzalimi” (Riwayat Muslim).

Kezaliman itu haram sekalipun terhadap orang yang pada zahirnya tidak berperwatakan baik dan sekalipun terhadap bukan muslim. Tidak dibolehkan oleh agama kita menuduh atau menzalimi seseorang hanya kerana dia tidak kuat beragama atau kerana dia bukan seorang muslim.

Apatah lagi terhadap seorang soleh dan berakhlak baik dalam hidupnya. Nabi s.a.w bersabda: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tidak ada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Ahmad “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang
yang jahat.

Kejahatannya bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/ al-Sahihah:
767) dalam riwayat Ahmad yang lain: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun
dia seorang yang kafir kerana ianya tidak ada hijab (penghalang untuk Allah
menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/ al-Sahihah: 767). Entah berapa
ramai si zalim yang belum pun sempat datang Hari Akhirat telah pun merasai padah kezaliman di atas muka bumi ini hasil dari doa mangsanya.

Kadang-kala si zalim bergelak seketika atau beberapa lama, namun masa pembalasannya akan tiba. Sehingga dek terlupa perbuatan zalimnya, apabila tiba saat pembalasan Tuhan di bumi ini ke atasnya dia tertanya-tanya: “mengapa aku jadi begini?”, atau “mengapakah Tuhan melakukan padaku begini?” Dia terlupa kezalimannya, sedang si mangsa dan Tuhan tidak lupa perbuatannya.

Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w bersabda:
“Takut kamu doa orang yang dizalimi kerana ianya dibawa atas lindungan awan dan Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Demi kemuliaan dan keagunganKu, akan Aku menangkan engkau walaupun selepas beberapa lama” (Riwayat al-Bukhari dalam al-
Tarikh al-Kabir, dinilai hasan/ al-Sahihah:870). Ketika si zalim tidur lena di katilnya, si mangsa mendongak ke langit menyeru Tuhannya. Justeru itu, janganlah hampa sesiapa yang dizalimi dan takutlah kita doa orang yang kena zalim!

Artikel dipetik sebahagiannya dari Minda Tajdid

No comments: