Saturday, April 20, 2013

Di Bln Mei... Bakal Berlakukah Sesuatu Di Malaysia???



Untuk tatapan semua yang belum baca buku Cikgu Non

CN Afghani Saksi Amanat Hadi

Published by AIDC on February 19, 2013

AIDCNews – 19/02/13 – Ahli Pas seumur hidup, Zainon bin Ismail merupakan salah seorang saksi yang terpenjara minda dan tubu badan ekoran Amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diucap di Kg Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada tahun 1981.

Zainon yang menggunakan nama pena, C.N Al-Afghani mencatatkan pengalaman beliau menghayati Amanat itu dalam bukunya “Kafirkah Aku”, 2012.

Ikutilah pendedahan beliau :



Saya menyertai Pas awal 1985 ketika masih berkhidmat sebagai seorang guru. Walaupun belum lagi aktif, tetapi mula mengenali agak rapat dengan pimpinan Pas Kedah ketika itu, kerana saya berusaha menubuhkan badan penyokong Pas terdiri dari penjawat awam yang dikenali sebagai JPPP @ J3P (Jawatankuasa Pegawai Penyokong Pas).

Bila menyertai Pas, saya mula membiasakan diri dengan memakai serban, seperti kebanyakan ahli-ahli Pas yang lain. Ramai di kalangan guru-guru yang cenderung pada Pas memakai serban.

Pengetua dan PPD tak dapat buat apa-apa, sekadar keluar pekeliling etika berpakaian bagi guru.

Boleh kata, suara kami guru-guru yang sokong Pas didengari. Apa sahaja ko-kurikulum yang tidak sesuai dengan syariat, kami tentang atau boikot. Aktiviti sukan juga kami yang meletakkan garis panduan latihan. Pelajar lelaki dan perempuan tak boleh bercampur dalam apa-apa latihan dan pelajar perempuan wajib menutup aurat.

Kami juga berjaya membentuk usrah di kalangan pelajar. Pelajar dan waris secara jelas mengetahui kami dari parti mana. Bercakap tentang Pas dan UMNO dalam kelas dan bilik guru telah lumrah bagi kami.

Pada tahun 1986, saya terpilih menjadi Ketua Pemuda dalam Mesyuarat Agung Pemuda Pas kawasan Padang Terap. Sejak itulah saya benar-benar menumpu perhatian kepada aktiviti Pas. Seluruh kehidupan saya berada dalam sinaran bulan purnama. Terlibat secara serius apa juga program anjuran sama ada dari Pas kawasan, negeri mahupun pusat.

Semangat pengorbanan terhadap parti dipupuk semahu-mahunya. Saya sanggup meninggalkan tugas untuk menghadiri program parti. Kerjaya sudah menjadi nombor dua dalam hidup masa itu.

Semangat ini semakin berkobar-kobar lagi bila berlakunya peristiwa rampasan tanah milik Pas Kedah di Batu 14, Pokok Sena pada awal 1987 oleh Kerajaan Negeri Kedah yang ketika itu MBnya Datuk Paduka Osman Arof. Setelah berkali-kali rundingan antara kedua pihak tidak berhasil, maka Pas bertegas mempertahan tanah tersebut.

Sistem kawalan sepanjang masa yang melibatkan kawasan-kawasan seluruh Kedah diatur. Ahli-ahli Pas yang berdekatan telah dijadikan muasasah itu sebagai rumahtangga mereka. Setengahnya berpesan pada isteri yang mereka turun dari rumah dengan niat untuk mati syahid di muasasah itu.

Dewan Pemuda Pas kawasan Padang Terap ditugaskan menjaga keselamatan kerana tapak muasasah berada dalam kawasan Parlimen Padang Terap (sekarang di bawah kawasan Parlimen Pokok Sena). Selaku Ketua Pemuda Kawasan, saya dilantik sebagai Ketua Keselamatan Muasasah, termasuk keselamatan pimpinan yang hadir di situ.

Berhenti mengajar

Ogos 1988, saya ambil keputusan berhenti mengajar tanpa maklum pada jabatan pendidikan hingga sekarang. Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan ketika itu. Bila isteri merungut, saya katakan yang saya terpaksa berkorban untuk parti yang berjuang kerana Islam. Saya katakan juga, kalau tidak kita siapa lagi yang akan berjuang menegakkan hukum Allah. Keputusan saya adalah muktamad.

Sepanjang bersama Pas, saya telah melalui beberapa proses pembinaan jati diri ahli. Ketika itu, penekanannya menjurus kepada kekuatan akidah. Sesuai dengan itu, terbentuklah tema-tema pada Muktamar Pas seperti ‘Menggempur Pemikiran Assobiyyah’, ‘Meroboh Rangkaian Penindas’, dan ‘Bertindak Menentang Kezaliman’.

Apa juga program ke arah motivasi dan ceramah ketika itu, menghuraikan sedalam-dalamnya maksud assobiyyah, taghut, munafik dan juga kezaliman. Ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang diketengahkan juga semuanya berkait rapat dengan isu ini.

Pimpinan Pas masa itu mahu ahlinya benar-benar bersih akidah. Bukan sahaja membuang fikiran assobiyyah dan sekularisme, malah juga membuang fitrah pertubuhan Islam lain seperti ABIM, Al-Arqam, Tabligh, JIM, Hamim, Berjasa dan lain-lain yang tak sehaluan dengan Pas.

Pas benar-benar bersendirian dalam arena dakwah dan berpolitik. Pas langsung tidak dapat menerima DAP waktu itu. Seperti kunyit dengan kapur atau kucing dengan anjing.

Pakai serban

Ketegasan Pas ini menyebabkan beberapa isu kontroversi berlaku antara UMNO dan Pas. Masyarakat ketika itu dengan mudah dapat membezakan antara orang Pas dan UMNO. Pimpinan dan ahli Pas seolah-olah mewajibkan diri untuk memakai serban. Paling kurang pun kupiah putih. Begitu juga dengan janggut, yang ada seurat dua pun simpan juga, jangan nak cari yang berdagu licin. Kebanyakan pula memilih serban warna hitam dan merah. Lambang peperangan dan keberanian.

Sewaktu menjadi perwakilan Pas kawasan Padang Terap dalam muktamar tahun 1987, saya mengenakan pakaian serba hitam sepanjang tiga hari bersidang. Dari serban hingga ke kasut, semuanya hitam. Sementara semua perwakilan Dewan Pemuda Pas Terengganu pula, mengenakan serban Palestin warna merah yang diketuai Ustaz Abu Bakar Abdullah. Majoriti perwakilan dan pimpinan Pas berserban, tak seorang pun yang berani memakai kupiah hitam, apa lagi tanpa kupiah.

Perbahasan para perwakilan pula sungguh bersemangat. Pernah berlaku mesyuarat berlangsung hingga jam 2 pagi. Waktu itu sedang panas dengan isu kristianisasi. Usul ini dibahas dengan penuh panjang lebar.

Pembahas utama adalah Mohamad Sabu yang berlawan hujah dengan Khalid Samad. Kedua-duanya mempunyai penyokong yang sangat hebat berhujah.

Waktu itu, hal-hal berkaitan akidah, amat sensitif bagi pemuda Pas. Sanggup mati bila-bila masa. Perkataan jihad dan syahid meniti setiap bibir perwakilan yang berbahas. Menghentam UMNO dan media yang pro pemerintah sudah lumrah. Setiap muktamar ada sahaja usul boikot media pro pemerintah.

Pimpinan Pas atau ahli sama sekali tidak akan berani memakai baju batik, baju berlengan pendek hatta kot sekali pun. Ada tok guru dan ustaz yang memberi fatwa, memakai tali leher boleh rosak akidah, kerana simpulan bahagian atasnya berbentuk salib. Topi keledar dianggap haram, kerana menyamai orang kafir. Banyak jugalah kes saman hingga bawa ke mahkamah berkaitan isu topi keledar ini.

Tidak keterlaluanlah kalau dikatakan waktu itu, masing-masing sanggup berkorban apa sahaja demi kawan atau istilahnya ‘orang kita’. Lingkungan orang kita ini hanyalah terdiri dari ahli Pas. Walaupun ahli keluarga, tetapi masih UMNO tidak diiktiraf sebagai orang kita.

Lebih dahsyat lagi, hingga ada yang memutuskan hubungan keluarga. Pendirian ini diambil sebenarnya bukanlah mengikut nafsu, tetapi ada dalil-dalil yang disampaikan oleh pimpinan Pas.

Undang-undang Lord Reid

Selalu ditekankan oleh penceramah dan tok guru Pas, antaranya hukum kafir kepada pemerintah yang tidak melaksanakan perundangan Islam, sebaliknya mengamalkan undang-undang “Lord Reid”. Begitu juga dengan mengambil atau memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin. Juga haram di sisi Islam. Antara ayat yang dijadikan dalil adalah Surah al-Nisa’ ayat 144,

‘Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu’ –

Surah al-Maidah ayat 44, ‘Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang yang kafir.’

Surah al-Taubah ayat 29,‘Perangilah orang yang tidak beriman pada Allah dan tidak beriman pada hari akhirat dan mereka tidak pula mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya.’

Demikian juga dengan kepimpinan Islam. Pas mempertikaikan apabila UMNO meletakkan calon wanita dalam pilihanraya. Hadis Imam Bukhari dijadikan dalil,

‘Tidak akan berjaya sesuatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada kaum wanita.’

Menanam rasa benci

Selain dari UMNO, pihak polis juga menjadi sasaran kebencian ahli Pas. Sebab itu, kalau ada program ceramah Pas dan ada pula sekatan polis, lebih ramailah yang datang. Dengan niat ingin bertembung dengan pihak polis yang setengahnya menganggap anggota polis ini sebagai ‘talibarut atau anjing kerajaan BN/UMNO’.

Menanam rasa benci ahli Pas dengan sistem kehakiman negara juga sudah lumrah ketika itu. Apa juga keputusan hakim yang tidak memihak pada mereka, akan dikecam UMNO sebagai dalang.

‘Kita letakkan calon Pas untuk bertanding di Johor Bharu ini, bukanlah semata-mata untuk mencapai kemenangan. Kalau kita nak menang, kita tidak akan letak calon di sini, kerana kita sedar, bahawa di Johor Bharu ini adalah kubu UMNO yang tidak mungkin kita boleh menang. Tetapi, kenapa kita letakkan calon Pas di sini? Tidak lain adalah untuk menyelamatkan akidah saudara kita. Telah menjadi tanggungjawab kita, perjuangan kita untuk menyelamatkan akidah saudara kita, walaupun hanya ada seorang pengundi Pas di sini, kita perlu selamatkan akidahnya. Insayaallah, inilah peranan kita, peranan Parti Islam SeMalaysia, PAS.’

Apakah maksud menyelamatkan akidah saudara kita dalam petikan ucapan di atas? Secara mudah, maksudnya agar jangan ada orang Islam mengundi BN/UMNO kerana akidah mereka tidak betul. Dengan mengundi Pas, akidah seseorang itu selamat dari menjadi kafir.

Ucapan-ucapan beginilah yang menyebabkan saya dan orang seperti saya taksub terhadap Pas. Apa pun yang dibuat oleh pimpinan Pas betul belaka. Sebaliknya, segala tindak-tanduk UMNO adalah jahat, kerana mereka bakal penghuni neraka. Begitulah yang kami faham.

Pegangan-pegangan begini menjadikan kami fobia. Takut sungguh dengan UMNO.

Sembelihan lembu, kerbau, ayam itik oleh UMNO tak akan disentuh. Seperti makan bangkai. Kalau buat kenduri aqiqah atau korban anak, saudara kandung yang UMNO tak akan dijemput, risau apabila mereka makan, ibadat aqiqah atau korban itu terbatal, tidak jadi kenduri, hanya jamuan biasa sahaja.

Solat dua imam

Saya tidak solat Jumaat di khairah sendiri sebab imamnya UMNO. Bimbang solat Jumaat tidak sah kerana berimamkan orang UMNO yang sesat akidah.

Ketika inilah berlakunya solat dua imam yang amat serius, terutamanya di Terengganu. Sesetengah tempat di Kedah, ada guru dan pelajar pondok yang langsung tidak solat Jumaat bertahun-tahun kerana imam di masjid itu orang UMNO. Banyak juga kes-kes yang dibawa ke mahkamah terutama di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perak.

Ketegangan antara ahli Pas dan UMNO ketika itu sangat kronik. Bila-bila sahaja boleh bergaduh hingga membunuh sekalipun. Seperti yang disebut sebelum ini, kemuncak dari perselisihan ini, berlakunya peristiwa berdarah di Felda Lubuk Merbau, Kedah pada tahun 1984.

Seorang petugas Pas mati dalam pergaduhan antara penyokong Pas dengan penyokong UMNO. Diikuti pula dengan Peristiwa Memali pada 19 November 1985.

Atas kefahaman jika mati kerana berjuang pertahankan Pas, adalah mati syahid, maka jasad 13 daripada 14 orang mangsa yang gugur dalam Peristiwa Memali itu, tidak solat dan tidak dimandikan.

Ustaz Hj Hadi antara pimpinan Pas pertama mengeluarkan fatwa mereka yang mati itu syahid. Setelah itu, seluruh ahli Pas sehingga ke hari ini, yakin penuh Ustaz Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya syahid. Lalu jenazah mereka diuruskan sebagaimana orang yang mati syahid.

Pada 29 Disember 1985, ketika ceramah di Kg Raja, besut, Ustaz Hj Hadi menjelaskan,

‘Bahawa 14 orang sahabat kita yang dibunuh itu adalah syahid dan kita kebumikan mereka sebagai syuhada, sebagai orang yang mati syahid dan dikafankan dengan pakaiannya masih berdarah, dikebumikan dengan keadaan tidak disembahyangkan. Darah mereka dalam keadaan hidup dan inilah keyakinan kita bahawa mereka adalah syahid.’

Amanat Tuan Guru Hj Hadi Awang 1981

Ketegangan ini berlaku setelah ahli-ahli Pas berpegang kepada Amanat Tuan Guru Hj Hadi Awang yang disebutnya dalam ceramah pada 7 April 1981 di Kg Banggol Peradong, Kuala Terengganu.

Kandungannya itu berbunyi,

“Saudara-saudara sekalian, percayalah kita menentang UMNO bukan kerana namanya UMNO. Kita menentang BN, bukan kerana nama BN. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka. percayalah saudara-saudara, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam. Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tak payah masuk Kristian, kita tak payah masuk Hindu, kita tak payah masuk Budha, tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan ‘politik suku, agama suku’.”

Kesan dari amanat ini yang tersebar luas ke seluruh negara, berlakulah isu-isu seperti di atas. Bertambah serius ianya berlaku di Terengganu.

Pada Jun hingga Julai 1982, solat sunat terawih diadakan secara dua imam. Satu kumpulan solat terawih oleh pengikut Pas dan satu lagi oleh pengikut UMNO dalam masjid yang sama. Isu ini berlaku di khariah Kg Gong Pasir, Besut, Terengganu.

Selain itu, berlaku pula isu solat Jumaat bergilir di 39 mukim di Terengganu. Selepas pengikut UMNO tunaikan Jumaat, orang Pas pula akan tunaikan solat Jumaat. Keadaan begini berlanjutan sehingga tahun 1999 apabila Pas menawan Terengganu. Itu pun hanya masjid-masjid yang berjaya dikuasai oleh orang Pas.

Hingga ke hari ini dikatakan masih terdapat 11 buah masjid mengamalkan solat dua puak ini. Di masjid yang tidak dikuasai oleh orang Pas, mereka mendirikan masjid lain yang tidak jauh dari masjid asal.

Yakin dengan rezeki di tangan Allah dan perjuangan Pas itu benar-benar kerana Islam, saya langsung tidak takut untuk berhenti kerja. Kata-kata Ustaz Hj Hadi penambah semangat untuk terjun sepenuh masa membantu Pas, demi Islam yang hendak ditegakkan. Antara ceramah yang penuh semangat disampaikan oleh Ustaz Hj Hadi,

‘Islam kita adalah penyerahan sepenuhnya tanpa kait dengan dengan syarat. Jika nak miskin..miskinlah, nak kaya..kayalah. Nak mati..matilah, nak senang..senanglah, nak susah..susahlah, semuanya Islam. Bukan macam Arab Badwi dulu, kalau Rasulullah boleh bagi keluar air dari tengah padang pasir, baru nak kepada Islam.’

Kepada anda, khasnya pembaca remaja tidak akan faham secara khusus maksud petikan di atas. Bagi kami bekas ahli atau masih ahli yang pernah melalui tarbiah Pas, mendengar ceramah Pas, mengaji dengan ulama Pas satu masa dulu, sangat memahami bahawa pemerintah BN/UMNO inilah yang dimaksudkan taghut dalam konteks negara Malaysia.

Sebabnya UMNO berkawan dengan orang bukan Islam, UMNO mengamalkan judi, UMNO membina kilang arak, pantai negeri UMNO penuh dengan maksiat, aurat dan pergaulan bebas, wanita UMNO tidak menutup aurat, UMNO tidak melaksanakan hudud dan UMNO masih setia dengan Perlembagaan Lord Reid.

Risalah akidah

Ahli-ahli Pas juga dibekalkan dengan risalah berkaitan akidah yang hampir ada di setiap rumah. Antara perkara-perkara yang digariskan yang boleh membatalkan syahadah adalah,

Bertawakal atau bergantung kepada selain Allah.

Membuat undang-undang menurut kemahuan manusia bukan mengikut kehendak atau ketentuan Allah.

Mentaati selain dari Allah tanpa keredhaanNya.

Menjalankan hukum selain daripada hukum Allah atau menggunakan hukum Allah sebagai rujukan semua masalah.

Menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharam apa yang dihalalNya.

Mengangkat orang kafir atau munafik sebagai pemimpin dan tidak menyintai orang Islam dan orang-orang mukmin.

Rasa takut dan lemah dalam menegakkan tauhid dan rasa senang dan terbuka dalam menyatakan syirik.

Tidak mengkafirkan orang yang kafir.

Itulah antara dakwaan yang digunakan oleh ulama atau pimpinan Pas lebih 30 tahun lalu dalam isu mengkafirkan orang UMNO.

Sekarang, ramai pula yang sedang bertanya,

Halalkah judi dan arak di Kedah yang ditadbir oleh kerajaan Pas.

Siapa yang orang Pas bagi undi sehingga mereka berkuasa di Pulau Pinang. Adakah DAP itu Muslim?

Pas boleh berkawan dengan DAP sedangkan dulunya mengkafirkan UMNO kerana berkawan dengan MCA dan MIC.

Pas juga takut hilang undi orang Cina dan India hingga tidak berani haram judi dan arak di Kedah. Takkah menampakkan Pas makin lemah dan menghalalkan apa yang haram.

Jumhur ulama sepakat, patung yang penuh sifat itu haram, bagaimana ulama Pas boleh tutup mulut dan pejam mata isu patung helang di Langkawi. Takkah ini juga termasuk dalam menghalalkan yang haram.

Kalau suara wanita itu dianggap aurat hingga Kelantan haramkan peserta tilawatul al-Quran bagi wanitanya, bagaimana pula muslimat Pas boleh menyanyikan lagu-lagu tertentu semasa rayu undi di pusat pembuangan undi, termasuk juga dalam himpunan sokong Anwar di depan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012.

Kalau BN/UMNO guna perlembagaan Lord Reid dikatakan taghut, bagaimana pula kerajaan Pas Kedah yang masih mengekalkan cara pemerintahan BN/UMNO dulu, tidakkah kerajaan Pas Kedah juga taghut?…dan banyak lagi persoalan yang pimpinan Pas perlu jawab.

Kesan Amanat

Amanat Tuan Guru Hj Hadi ini sangat mempengaruhi jiwa pejuang-pejuang Pas. Boleh kata majoriti ulama Pas turut bersetuju dengan amanat tersebut, sebab itu ianya sangat subur dalam jiwa orang Pas. Sangat sedikit ulama Pas yang kurang bersetuju, tetapi suara mereka tidak laku hingga terpaksa bersikap diam diri, tak dapat melawan arus.

Seperti yang telah diceritakan, kesan amanat ini cukup besar. Akibat dari memandang kafir terhadap orang UMNO, menyebabkan berlakunya perpecahan umat Islam Melayu yang serius di negara kita. Barah ini masih hidup subur dalam masyarakat sampai sekarang. Saya tidak terkecuali dalam melalui detik-detik yang memilukan ini.

Ketaksuban yang tinggi dengan amanat tersebut menjadikan saya terlalu ego dengan sesiapa sahaja orang UMNO termasuk keluarga sendiri. Sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan Pas, termasuklah pertubuhan Islam lainnya, saya anggap mereka tidak betul.

Dengan rasa tidak berdosa saya sanggup berselisih faham dengan bapa. Pernah memboikot seperti tidak bercakap, tidak bersalam dan tidak menziarahinya sewaktu beliau tinggal di perkampungan ABIM di Derang, Bukit Pinang, Kedah. Bapa saya memang seorang yang setia dengan ABIM hingga akhir hayat.

Putus persaudaraan

Demikian juga sikap saya yang langsung tidak pedulikan ibu bapa mertua, kerana mereka penyokong UMNO. Mati mereka pun saya tidak ziarah. Kalau dengan ibu bapa pun begitu, apa lagi dengan yang lainnya. Kemuncak dari sikap saya ini, pernah saya sebut secara terus terang pada abang kandung sendiri yang antara dia dan saya putus tali persaudaraan. Mengapa? Semata-mata dia UMNO dan menjadi Pengerusi JKKK di kampungnya.

Satu malam saya mengiringi Hj Mohamad Sabu berceramah di Cuping, Perlis. Sebelum ceramah bermula, ada desas-desus mengatakan orang UMNO akan sabatoj program itu. Saya dengar mereka menyebut nama Pengerusi JKKK, yang saya yakin itu adalah abang kandung saya. Setelah dapat tahu kedudukannya yang tidak jauh dari tempat ceramah itu, saya menemuinya untuk mendapat kepastian.

Dia menjelaskan yang pihaknya tidak kisah soal ceramah, yang mereka terkilan adalah rumah yang diadakan ceramah itu tidak sesuai.

Menurutnya, Pas mahu bercakap tentang perjuangan Islam, sedangkan tuan rumah lokasi ceramah itu merupakan individu yang akhlaknya sangat buruk. Orang kampung tahu segala perbuatannya yang terlibat dengan berbagai skandal. Ini yang membuatkan mereka hendak protes.

Abang kandung saya telah pun bersedia dengan pembesar suara dalam keretanya. Sebaik ceramah Pas bermula, dia juga akan turut berceramah di situ. Akhirnya, timbul sedikit ketegangan saya dengan dia, hinggalah saya lafazkan perkataan putus persaudaraan dengannya.

Saya dapat rasakan yang dia sangat terkejut dengan sikap saya dan kata-katanya masih saya ingat hingga ke hari ini, “Takkan sampai macam tu kut.” Mungkin kecewa dengan saya, dia tidak jadi protes ceramah Pas malam itu.

Keras hati

Sejak itu, memang saya tidak ambil peduli dengannya. Kalau dia pulang berhari raya di kampung, saya akan menjauh diri dari bertegur sapa dengannya. Pernah satu ketika, saya mengadakan kenduri korban di kampung, abang saya pulang tanpa diundang. Saya berpesan pada ibu, jangan jamu lauk daging korban pada abang saya, bimbang ibadat korban menjadi sia-sia kerana dimakan oleh orang UMNO.

Begitulah sikap saya dengan keluarga sendiri. Bayangkanlah betapa kerasnya hati saya ketika itu.

Waktu ini tidak ada istilah menderhakai ibu bapa bagi orang Pas. Rata-rata ahli Pas yang bersikap demikian, merujuk kepada ayat 24 dalam surah at-Taubah seperti yang tercatat sebelum ini.

UMNO menentang hukum Allah, elok sangat pengikutnya diboikot. Orang-orang UMNO dilihat lebih hina dari orang-orang bukan Islam. Ahli Pas seperti saya akan memilih untuk masuk membeli barang keperluan di kedai orang bukan Islam, daripada memasuki kedai milik orang UMNO jika tidak ada kedai milik orang Pas.

Peniaga daging daripada orang UMNO juga dilihat seperti peniaga daging babi. Jangankan nak makan, hampir pun tidak. Begitulah sikap kami.

Berpegang kuat dengan ideologi ini, saya pernah mengenepikan acara doa di hadapan Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Osman Aroff. Isu ini berlaku sewaktu saya mengajar di SMK Tajar, Alor Setar. Pihak sekolah menjemput MB untuk merasmikan sekolah.

Peringkat awalnya, saya tidak diberi apa-apa tugas. Pengetua kurang senang sebab saya berserban. Memang pun saya juga tidak berminat untuk menyumbangkan tenaga, saya benci dengan pimpinan UMNO. Tiga hari sebelum majlis, pengetua memanggil saya, merayu agar saya setuju menjadi pengerusi majlis. Saya menolak dengan berbagai alasan, minta dia beri pada guru lain.

Katanya, guru yang ditugaskan bukan sahaja tarik diri, malah sedang demam kerana tak berani berdepan dengan MB. Pengetua itu telah memujuk beberapa guru lain, semua menolak dengan alasan yang sama. Menurutnya, dia yakin dengan saya, katanya orang Pas berani, lagipun dia tahu saya menjadi naqib usrah di beberapa cawangan Pas sekitar sekolah itu. Setelah dia terlalu mendesak, saya bersetuju dengan bersyarat. Pada saya dengan syarat itu pasti dia tak akan terima.

Pertama, saya minta kendalikan program hanya seorang diri, tanpa gandingan dengan sesiapa terutama guru perempuan.

Syarat kedua, saya mahu berada dalam bilik khas, tanpa dilihat oleh hadirin.

Saya kira dia akan menolak syarat ini, rupanya tidak. Mungkin padanya bagus juga, kerana saya pakai serban, tentu tak elok bila MB UMNO lihat pengerusi majlis berserban.

Sampai harinya setelah diserahkan aturcara majlis serta skrip ucapan, saya masuk ke bilik yang disediakan. Memang saya seorang diri dalam bilik itu tanpa dapat melihat para hadirin, seperti DJ RTM. Bila dapat isyarat saya memulakan majlis seperti yang ditetapkan.

Mengikut aturcara majlis, selepas ucapan MB dan penyampaian cenderahati, adalah bacaan doa penutup majlis. Oleh kerana aturcara ada pada saya dan saya berkuasa, maka dengan sengaja saya batalkan agenda bacaan doa yang patutnya dibaca oleh wakil jabatan agama negeri. Selepas ucapan penyampaian cenderahati, saya terus menjemput pengetua mengiringi MB ke tempat jamuan. Tidak ada doa penutup.

Beberapa hari kemudian, pengetua memanggil saya saya atas isu tersebut. Saya mengaku memang sengaja tinggal acara berdoa, dengan alasan majlis sebegitu tidak layak berdoa. Majlis itu bercampur lelaki perempuan, ramai wanita yang tak menutup aurat dan MB orang UMNO yang menentang hukum Allah. Kalau doa pun tak ada keberkatan, tak diterima Allah.

Undi Pas masuk syurga

Kenapa saya bersikap begitu? Kerana memang saya diajar begitu oleh ustaz dan tok guru dalam Pas. Jadi, perbuatan itu saya rasa tidak salah dengan apa yang saya faham berdasarkan kuliah-kuliah yang pernah diikuti. Ini bukannya sikap saya seorang, malah juga kepada majoriti orang-orang Pas ketika itu. Masih ramai yang bersikap begini sehingga sekarang tidak berdoa untuk Sultan dan tidak mengaminkan doa imam UMNO.

Amanat Tok Guru Hj Hadi dan ucapannya di Johor Bharu itu benar-benar memberi kesan dalam kehidupan saya. Ditambah pula dengan kata-kata Tuan Guru Nik Aziz, bahawa undi Pas boleh masuk syurga dan haram mengundi UMNO.

Tafsiran-tafsiran beginilah yang menguatkan saya sentiasa bertekad untuk terus menentang UMNO hingga ke titisan darah terakhir kerana yakin mati berlawan dengan puak-puak UMNO adalah mati syahid.

Demikianlah pendirian saya ketika itu. Orang Pas tidak mengamalkan istilah ‘jumpa keling dan ular, pukul keling dulu’, tetapi dikatakan, ‘jumpa keling, UMNO dan ular, pukul UMNO dulu.’ Maksudnya UMNO lebih bahaya dari ular.

Hudud

Hasil provokasi, tekanan dan dorongan yang kuat dari ceramah, kuliah serta kertas-kerja oleh pimpinan Pas masa itu, menyebabkan saya rasa terlalu lambat untuk Pas menguasai negara melalui sistem pilihanraya. Hidup seperti penuh dengan dosa selagi Negara Islam tidak wujud, selagi hukum hudud tidak terlaksana.

Dengan keazaman yang tinggi dalam mencapai cita-cita Pas memerintah negara, saya merancang untuk merampas kuasa walau dengan apa cara sekalipun. Apa yang penting, pemerintahan Islam mesti segera terlaksana di negara Malaysia ini. Rasa takut untuk ditangkap, dipenjara atau dibunuh tidak lagi wujud dalam diri saya.

Saya berpegang kepada kata-kata veteran Pas yang kami panggilnya Pak Mat Jawa dari Jitra. Katanya, “Berani pun mati, takut pun mati. Oleh itu lebih baik jadi seorang pemberani”.

Saya amat mendendami PM ketika itu, kerana Tun Dr Mahathir pernah menghina undang-undang hudud. Juga kerana Tun bertanggungjawab terhadap pembunuhan orang kampung dalam Tragedi Memali. Hingga ada perancangan membunuh sahaja PM atau mana-mana pimpinan UMNO juga orang kafir yang terang-terang anti Islam.

Kami mengawasi pergerakan PM, kalau boleh mahu cipta sejarah seperti di Mesir. Presiden Jamal Nasir ditembak mati kerana dianggap pemimpin yang zalim terhadap gerakan Islam di sana.

Allah lebih mengetahui, Tun Dr Mahathir terselamat apabila agenda kami dapat dihidu oleh Bukit Aman. Beberapa orang dari kami ditahan bawah ISA pada penghujung 1988. Saya terlepas sebab ketika itu berada di medan jihad bumi Afghanistan.

Warkah Buat Datuk Seri Hj Hadi

Saya bukanlah hendak mendedahkan apa yang telah dilakukan sekadar bahan bacaan biasa sahaja, tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar kesan dari ‘Amanat Hj Hadi’, juga tarbiah yang kami terima dari Pas.

Dengan amanat dan ceramah keras dari Datuk Seri, membuatkan saya derhaka kepada ibu bapa, menyebabkan saya putuskan hubungan keluarga dengan saudara kandung, menyebabkan saya hingga merancang untuk membunuh PM dan pimpinan UMNO.

Demikianlah dahsyatnya akibat dari amanat Datuk Seri itu. Amanat itu telah mendatangkan malapetaka yang besar terhadap umat Islam di negara ini. Perpecahan yang tidak dapat dicantumkan lagi.

Saya amat bersetuju hasrat Datuk Seri ingin berundur dari parti.

Semoga jendalu-jendalu yang menumpang di tubuh Datuk Seri itu turut rebah ke bumi. Bagaimanapun, sebelum Datuk Seri mengundur diri, saya mohon satu perkara yang harus Datuk Seri selesaikan iaitu berkaitan dengan amanat Datuk Seri.

Saya kira telah beribu orang ahli Pas yang berpegang bahawa UMNO itu kafir, telah pun meninggal dunia. Semasa hidup, mungkin mereka ini telah telah derhaka pada ibu bapa yang UMNO, telah berdosa pada saudara kandung yang UMNO, begitu juga dosa terhadap jiran atau orang kampung yang UMNO, berdosa pada rakan sekerja yang UMNO dan dosa terhadap seluruh orang UMNO yang dikafirkan.

Bagaimana keadaan mereka ini di alam masyar kelak untuk berdepan dengan orang-orang yang dikafirkan itu? Apakah mereka akan menjadi muflis, kerana segala pahala amal ibadat mereka terpaksa diberi pada ibu bapa, saudara-mara, jiran tetangga dan kawan sekerja yang dituduh kafir? Mampukah orang-orang ini untuk menanggung pula dosa-dosa yang dilakukan oleh mereka yang dituduh kafir itu? Titik-tolaknya sekarang, siapakah yang membuatkan mereka ini berdosa?

Betul seperti kata Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Ustaz Harun Taib, hujung Disember 2011. Memang Pas telah lama tinggalkan isu kafir mengkafir ini. Masalahnya sekarang, kesan doktrin terhadap ahli masih kukuh terpahat di dada kami. Bukanlah sebegitu mudah untuk melupakannya seratus-peratus, kerana ini persoalan akidah di penghujungnya adalah syurga atau neraka.

Hingga sekarang jiwa saya masih memberontak di persimpangan sama ada UMNO itu sesat akidah atau sebaliknya. Pada hakikatnya, saya telah rela untuk jadi makmum pada imam UMNO, saya boleh makan sembelihan orang UMNO. Tetapi hati saya tidak khusyuk, mulut saya berat untuk menerima suapan. Hingga ada ketikanya menitis air mata mengenangkan isu ini.

Walaupun saya dipecat dari Pas, tetapi jiwa ini masih takut untuk menyertai UMNO. Apa lagi bila teringat kata-kata Tuan Guru Nik Aziz, mengundi UMNO itu boleh masuk neraka. Kalau mengundi UMNO sahaja boleh masuk neraka, apalagi menjadi ahli dan berjuang bersama UMNO.

Jika benar sebagai yang disebut oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pusat yang Pas telah lama tinggal isu kafir mengkafir itu, maka Datuk Seri harus tarik balik amanat tersebut dan isytihar secara terbuka bahawa UMNO tidak kafir di sisi Islam. Semua ahli diminta berbaik dan menghormati orang UMNO dalam kehidupan bermasyarakat. Tidak salah untuk mengamalkan ideologi politik masing-masing dalam keadaan aman-damai.

Dengan ini juga memudahkan lagi kami yang dalam dilema ini berlepas diri dari ikatan amanat tersebut. Memudahkan kami memohon maaf kepada saudara kandung dan ahli keluarga, jiran tetangga, orang kampung, rakan sekerja juga pimpinan UMNO yang pernah dikafirkan satu masa dulu.

Selagi mana Datuk Seri tidak mahu mengisytiharkan begitu, selagi itulah persoalan yang sering menghantui ‘kafirkah aku jika bersama UMNO, kafirkah aku setelah dipecat dari Pas’ tetap mencengkam saya.

Datuk Seri harus bertanggungjawab di atas keresahan ini, bebaskanlah kami dari ikatan amanat Datuk Seri itu.

Jangan lagi berulang seperti apa yang berlaku baru-baru ini. Sungguh pun Ustaz Harun Taib kata isu kafir mengkafir telah lama berlalu, hakikatnya masih ada ahli yang utuh memegangnya.

Kes terbaru 10 Julai 2012, perceraian warga emas antara Yahaya Ibrahim, 78 tahun dengan isterinya Hasenah Che Ahmad, 61 tahun di Chetok, Pasir Mas, Kelantan. Isteri yang seorang ustazah tak dapat diterima kerana tak mahu menyertai Pas.

Dalam membawa arus bersama gelombang Islam ini, saya harap Datuk Seri tidak mengulangi kesilapan yang lalu akibat dari amanat Datuk Seri itu. Sepatutnya pendekatan sekarang ini, iaitu Kerajaan kebajikan merupakan pendekatan awal setelah ulama ambil alih.

Tidak timbullah isu kafir mengkafir sehingga memecahkan perpaduan seluruh umat Melayu dan Islam sebegini serius. Tidak ada sesiapa pun boleh menyelesaikan isu ini selain Datuk Seri sendiri.

Seperti saya dulu, begitulah majoriti ahli Pas sekarang, apa juga arahan Datuk Seri pasti diikut. Jika Datuk Seri sanggup mencegah ahli Pas di 11 buah masjid di Terengganu agar kembali dalam satu jemaah di masjid, sudah tentu mereka akan patuh. Jika tidak, mereka boleh dipecat dari parti kerana menimbulkan kekecohan dalam masyarakat yang bercanggah dengan dasar Pas serta juga tuntutan Islam.

Jika jemaah di masjid-masjid ini masih memulau UMNO atas dasar kafir dan direstui oleh Datuk Seri, bagaimana pula ratusan ribu lagi ahli dan penyokong Pas yang masih berimamkan orang UMNO.

Tidakkah anak-anak mereka yang bernikah dengan imam UMNO itu berada dalam keadaan berdosa atau berzina sepanjang masa. Bagaimana pula status anak-anak mereka yang lahir kelak, anak yang bersih suci atau anak luar nikah.

Terlalu banyak masalah akan wujud nanti. Mahukah Datuk Seri dan Pas menanggung semua maslaah ini? Perlulah bertindak dengan penuh hikmah sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran, semoga semua kembali bersatu membina perpaduan Islam yang syumul, lebih kuat dan dihormati.

Nescaya, Malaysia akan menjejaki negara-negara Islam yang telah hancur satu-persatu. Inilah hasil perpecahan ummah yang diterajui orang-orang politik yang menanamkan rasa benci, dendam dan tidak menghormati pihak lain.

No comments: