WANITA
MEMBOTAKKAN KEPALA
Untuk Berlakon : Satu Kemungkaran
Antara produk Islam Hadhari sejak sekian lama ia dilancarkan sebagai satu konsep dan prinsip hidup masyarakat Negara ini ialah lahirnya pelakon yang sanggup melakukan apa sahaja seperti Syarifah Amani Syed Zainal Rashid .
Sebelum ini beliau telah banyak kali membuat penampilan yang kontraversi termasuklah kenyataannya yang dianggap menghina bahasa dan bangsa sendiri . ("I sound stupid if I speak Malay" )
Juga beliau tergamak untuk tampil melakukan aksi yang pastinya menjolok mata seperti apa yang lakukannya dalam filem Gubra .
Kali ini , beliau sekali lagi menggemparkan Negara dengan kesanggupan membotakkan kepala untuk tampil dalam filem terbaru lakonannya yang berjudul Muallaf .
Nasib beliau sangat baik di bawah kepimpinan Pak Lah yang berkonsepkan Islam Hadhari berbanding ustaz dan penceramah agama di masjid dan surau yang sering dihimpit kerisauan . Bukan sahaja penceramah agama ini akan di gam kerana tiada tauliah tetapi tidak kurang juga yang ditangkap dan didenda .
Dewan Pemuda PAS Pusat melahirkan rasa kesal terhadap fenomena ini . Inikah bentuk tamaddun yang mahu dilahirkan oleh Islam Hadhari ? Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah swt .
Satu rasa simpati diberikan kepada mereka seperti Syarifah Amani yang rosak mindanya akibat terperangkap dalam system yang tidak mendidiknya menjadi wanita muslimah yang solehah .
UMNO dan BN bertanggungjawab dalam hal yang seperti ini. Keengganan mereka melaksanakan syariat dan system hidup berlandaskan keluhuran agama dan ketulusan akhlak akhirnya melahirkan individu seperti Syarifah Amani dan lainnya.
Program reality tv seperti Akademi Fantasia juga dilihat satu aktiviti dalam system yang terpisah jauh dari wahyu Ilahi ini dan akhirnya melahirkan individu yang sangat janggal dan ganjil di mata Islam .
Akademi fantasia melahirkan penyanyi wanita yang bertudung dengan aksi rock dan tarian yang meliuk lintuk di hadapan khalayak . Tanpa malu dan tanpa segan sebaliknya bangga tanpa pula rasa bersalah terhadap agama.
Sekali lagi Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan bagaimanakah UMNO dan BN mahu melahirkan masyarakat yang menepati rukun atau prinsip pertama Islam Hadhari iaitu manusia beriman dan bertaqwa ?
Apakah aktiviti seperti ini dianggap mampu melahirkan insan beriman dan bertaqwa menurut acuan Islam Hadhari ? Hari ini lahir pula Anugerah Ikon Malaysia sebagai satu lagi aktiviti atau produk Islam Hadhari selain dari program Gang Starz yang kian rancak di kaca tv.
Hukum Membotakkan Kepala bagi kaum Wanita .
1. Dari Ibnu Abbas Rhma berkata :
نهى النبي أن تحلق المرأة رأسها .
Rasulullah saw. telah melarang perempuan mencukur ( membotakkan ) kepalanya .
Dikeluarkan oleh An Nasaa'I Kitabuz Ziinah , bab Larangan Perempuan mencukur kepalanya
2. Abi Musa Al Asya'ri Rha. Berkata :
برئ رسول الله من الصالقة و الحالقة
Rasulullah saw. berlepas diri dari perempuan yang meninggikan suara tangisan ketika meratap dan membotakkan kepala ketika musibah .
Dikeluarkan oleh Imam Bukhari
Ulasan :
Membotakkan kepala bagi wanita dalam keadaan mereka menerima musibah dilarangkan oleh Rasulullah saw. sehingga baginda melafazkan bahawa baginda akan berlepas diri darinya , inikan pula membotakkan kepala dalam keadaan aman tanpa sebarang musibah .Pastinya ia lebih dimurkai oleh Nabi saw.
3. Dari Ibnu Abbas Rhma :
قال رسول الله ليس على النساء حلق و إنما على النساء التقصير
Rasulullah saw. telah bersabda : dilarang ke atas perempuan bercukur ( membotakkan ) tetapi dibenarkan bagi perempuan memotong sedikit dari rambutnya .
Riwayat Abu Daud di dalam sunannya Bab al Manaasik al Hajj
Walaupun asbab wurud ( sebab datang ) nya hadis ini berkait dengan tahallul dalam ibadah haji , maka jelas hukumnya. Betapa dalam masaalah ibadah seperti tahallul dari ihram haji atau umrah , seorang wanita dilarang mencukurkan kepalanya , inikan pula dalam keadaan di luar ibadah , tentu sahaja terlebih aula dilarang .
Al Imam an Nawawi dalam kitabnya Syarah Sohih Muslim jilid keempat jelas menghuraikan persoalan ini .
أما قصر الشعر و تقصيره من أجل الزينة و التجمل فهو جائز إذا كان بإذن زوج بشرط ألاّ يصل إلى حد تشبه بالرجال
Maksudnya :
Adapun menggunting rambut dan memendekkannya ( bagi seorang perempuan ) untuk berhias dan kelihatan cantik , maka ia adalah harus jika mendapat izin dari suami dengan syarat tidak sampai kepada had menyerupai kaum lelaki .
Dalam huraian yang menyerupai masaalah di atas , Dr. Wahbah az Zuhaili menambah syaratnya :
و ألاّ يكون ذلك بأيدي رجال الأجانب
Bahawa tidaklah yang sedemikian itu ( merujuk kepada menggunting dan memendek rambut ) dengan tangan lelaki ajnabi ( lelaki bukan mahram sebagai tukang gunting )
Kalau dilihat dalam kitab Fathul Baari , Jilid ke 10 muka surat 375 : lebih jelas membahaskan betapa Allah menghiasi perempuan dengan rambut yang cantik dan unik .
Maka Islam mengharamkan perempuan menyambung rambutnya atau memakai rambut palsu . Pengharaman tersebut kerana merubah anugerah Ilahi . Maka , betapa pula dicukur dan dibotakkan kepala ?
Kalau menyambung rambut hukumnya haram , inikan pula membotakkannya bagi seorang wanita , hukumnya adalah juga tetap haram .
Kerajaan Mesti Peka
Kerajaan digesa agar lebih peka dalam soal yang berkait dengan agama dan hukum . Garis panduan berasaskan syara' mesti dikeluarkan untuk industri perfileman Negara begitu juga untuk industri hiburan agar ianya tidak menyeleweng dari syariat dan merosakkan akhlak serta minda masyarakat.
No comments:
Post a Comment