Tulisan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada
pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu
inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca
kematian Beng Hock.
Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat
memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti
pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.
Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu
sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui
apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah.
Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai
perkara ini.
Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu
perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan
membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha
Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.
Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik
Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu
bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada
pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.
Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari
ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi
kepentingan politik.
Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan
dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.
Ketua W anita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri
Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock
diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita
semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah
bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak
luar nikah (anak tidak sah taraf).
Berapa ramai lagi anak luar nikah yang
ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.
Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang
menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama
ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan
kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa
MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua
hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang
haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.
Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup,
sudah tentu tindakan Ketua W ani ta MCA ini akan dicela kerana ajaran
Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali
perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga
melahirkan anak luar nikah.
Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan
terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu
kenyataan, terutama orang Melayu.
Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock.
Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa
tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum
mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau
dilanda tsunami.
Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan
meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya.
Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.
Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan
parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat
sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu?
Misalnya, pembunuhan gadis
model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang
bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP
begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?
Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau
mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP
begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum
wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan
nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi
misteri.
Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah
dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa
dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi
dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa
bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika
itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China
bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada
kejadian tersebut.
Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk
akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang.
Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan
warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang
Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap
dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.
Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang
Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya
(Cina dan India ), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada
isu lain yang hendak dibincangkan lagi.
Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang
salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan
iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah
yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau
mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai.
Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa
mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?
Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi
berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang
rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan
memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan
kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan
pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam
masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.
Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan,
satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku
penganiayaan terhadap orang bukan Islam.
Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam
tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk
menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?
Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam
(Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah
masjid dan surau.
Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika
dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain.
Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti
dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.
Logik
Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan
surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira
sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam
perlembagaan.
Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah,
kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun
penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu
di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris
tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab
tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.
Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu
(parti politik Cina dan India ) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina
Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China . Kenapa mereka
tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?
Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap.
Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah
tentu mereka akan melompat-lompat.
Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar
daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan
Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.
Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar
jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam
perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam.
Apa yang selalu kita
dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk
terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.
Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu
berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari
hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan
bermacam-macam lagi.
Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal.
Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem
ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita
beralah.
Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah
undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah
syariah) akan dikecam habis-habisan.
Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan
kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan,
berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.
Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai.
Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak
menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu
diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau
berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam
al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran,
wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.
*Hantar komen anda mengenai artikel ini ke **mingguan@utusan. com.my*
Dr. Mohd Ridhuan Tee
Penulis ialah Pensyarah Kanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
No comments:
Post a Comment