Wednesday, January 20, 2010

Bersedia Hadapi Kos Sara Hidup Lebih Tinggi, Kata Mahathir

19 Januari, 2010 21:49 PM

Bersedia Hadapi Kos Sara Hidup Lebih Tinggi, Kata Mahathir

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Rakyat mesti bersedia untuk membayar harga yang lebih tinggi bagi barangan dan perkhidmatan jika mereka mahu menikmati pendapatan yang lebih tinggi di bawah Model Ekonomi Baru yang dicadangkan, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata kos sara hidup perlu meningkat di bawah ekonomi berpendapatan tinggi kerana kerajaan juga perlu menaikkan cukai dan mengurangkan subsidi.

"Tanpa peningkatan kos sara hidup, kita tidak boleh menikmati pendapatan lebih tinggi," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tentang Model Ekonomi Baru.

"Bagi kerajaan, ini soal menaikkan cukai dan mengurangkan subsidi. Kerajaan juga perlu ada wang untuk membayar upah yang lebih tinggi kepada anggotanya," kata beliau selepas upacara menandatangani perjanjian antara Petronas Lubricants International dan Proton Holdings Bhd di sini.

Namun demikian, kata Mahathir, pendapatan yang lebih tinggi juga akan membolehkan rakyat Malaysia membeli lebih banyak kerana peningkatan pendapatan akan lebih tinggi daripada kenaikan harga keperluan harian.

Beliau juga berkata rakyat Malaysia tidak harus bersungut tentang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kerana negara ini menikmati harga terendah bagi hampir segala-galanya, berbanding negara-negara jiran sekalipun.

"Malah kebanyakan negara pengeluar minyak juga menjual produk petroleumnya pada harga yang lebih tinggi. Jadi, jika rakyat mahu pendapatan lebih tinggi, mereka mestilah menerima hakikat perlu membayar lebih bagi apa juga yang mereka beli," tegas beliau.

Mahathir berkata kerajaan juga sedang mengkaji pelaburan langsung asing yang boleh membantu menjana pendapatan yang lebih tinggi melalui industri yang ada lebih nilai tambahan, dan beginilh caranya negara-negara kos tinggi di dunia kekal berdaya saing meskipun tenaga buruhnya mahal.

"Kita tidaklah akan menanggung kos setinggi sesetengah negara maju ini, tetapi kita perlu menerima hakikat bahawa kita perlu membayar lebih bagi membolehkan pengeluar membayar upah yang lebih tinggi," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments: