Assalamu'alaikum wbt.
إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا ينكسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فادعوا الله وصلوا حتى ينكشف ما بكم (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah 2 bukti daripada tanda-tanda kebesaran ALLAH. Kedua-duanya tidak akan gerhana kerana kematian atau hidupnya seseorang. Maka apabila kamu melihat gerhana keduanya itu maka berdoalah kepada ALLAH, dirikanlah sembahyang sehingga hilangnya tanda gerhana daripada kamu (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ulasan Hadis :
1. Hadis ini disabdakan oleh Nabi SAW pada ketika kematian anak lelaki Baginda SAW iaitu Ibrahim, lalu orang ramai pada ketika itu mendakwa gerhana berlaku adalah kerana kesedihan atas kematian Ibrahim. Oleh itu, Baginda SAW telah menyangkal dakwaan ini dengan sabdaan Baginda SAW di atas.
2. Gerhana bulan dan matahari berlaku sebagai bukti dan tanda kebesaran ALLAH SWT. Apabila berlaku gerhana, sepertimana yang telah di ajarkan oleh Baginda NABI SAW, kita hendaklah melakukan solat sunat gerhana pada ketika berlaku gerhana ditempat berlakunya gerhana sehingga hilangnya gerhana.
3. Hukum melaksanakan solat sunat gerhana ialah sunat muakkad. Jika kita melihat gerhana maka hendaklah segera berdoa, berzikir, bertasbih, bertakbir, bersedekah dan bersolat.
4. Oleh itu, kejadian gerhana matahari atau bulan bukanlah merupakan suatu tanda akan timbul sesuatu kejadian yang mengkhuatirkan, kerana ianya berlaku adalah kerana sifat wajib bagi ALLAH SWT yang berhendak ianya berlaku yang tidak boleh dihalang oleh segala sesuatu.
5. Namun kita hendaklah melihat kejadian ini berlaku dengan penuh kesedaran dan muhasabah, ALLAH memperlihatkan kebesaranNYA kepada kita agar kita merasa kerdilnya diri kita dan DIA berkuasa melakukan sesuatu yang besar pada matahari dan bulan, apatah lagi dengan diri kita yang hina dan seluruh alam ini, pada bila-bila masa sahaja DIA boleh menghancurkan atau mengembalikan. Maha Suci ALLAH.
6. Mari sama-sama kita merenung sejenak, untuk tahun ini 2010 pada bulan Januari, 2 kali gerhana berlaku, pada 1 Januari berlaku gerhana bulan pada malam Jumaat, dan akan berlaku sekali lagi dengan izinNYA gerhana matahari pada 15 Januari hari Jumaat juga.
7. Renung-renungkanlah, tidak ada segala sesuatu yang DIA lakukan sia-sia. Mungkin di sana ada hikmah dan rahsia besar yang tersembunyi dalam PENGETAHUANNYA yang kita semua tidak tahu. Sama-samalah kita berdoa, moga kita semua tergolong dikalangan orang-orang yang sentiasa dibimbingNYA. WALLAHU’ALAM.
No comments:
Post a Comment