Monday, May 30, 2005

Susahkah hidup sebagai seorg khalifah Islam di Bumi Tuhan?

Hidup sebagai muslim penuh dengan ujian dan dugaan. Kita mungkin melihat orang2 kafir bersenang2 dengan “kebebasan” dalam hidup mereka. Apa yang kita tidak nampak adalah sama ada hati mereka tenang dan hidup mereka tenteram. Macam mana saya tau? Mari kita lihat dalam Al-Quran dan hadith Rasulullah semuga kita dapat membuat pendoman. Mungkin artikel ini seolah menampal koyok pada luka yang parah, walau sudah pasti tak dapat mengubatinya, sedikit sebanyak mungkin juga dapat menahan kepedihannya, Insya' Allah.


"Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah hanyalah dengan "zikrullah", maka tenang dan tenteramlah hati manusia.” [Ar-Raad 28] Maha Pencipta Allah sudah tentu mengetahui kelemahan ciptaannya, dan memberitahu bagaimana untuk mengatasi kelemahannya.


"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". [Taha 124]


“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.” [Al-an'aam 125]


Subhanallah, saya rasa ini adalah salah satu dari mukjizat Al-Quran. Bukan kata naik kelangit, manusia cuma mula mendaki gunung2 yang tinggi selepas tahun 1800s. Sesak nafas, sempit dada adalah simtom kekurangan oksigen bila berada ditempat yang tinggi lebih dari 8,000 kaki (2,400 m), juga dikenali sebagai “altitude anoxia”. Allah akan sempitkan hidup mereka didunia ini pada sesiapa yang memilih jalan yang sesat.


Ketahuilah wahai pembaca, Allah tidak memerlukan ibadat hambaNya walau sedikit pun. Setiap ibadat itu adalah untuk munafaat diri kita sendiri. Seperti ternyata dalam hadith Qudsi, Allah (swt) berfirman: “Wahai hambaKu, jika yang pertama dari kamu dan terakhir dari kamu, manusia dari kamu dan jinn dari kamu menjadi paling warak sekali dari kamu, itu tidak meningkatkan kekuasaan Ku walau sedikit pun. Wahai hambuKu, jika yang pertama dari kamu dan terakhir dari kamu, manusia dari kamu dan jinn dari kamu menjadi yang paling jahat sekali dari kamu, itu tidak menjejas kekuasaan Ku walau sedikit pun.” Ternyatalah munafaat ibadat adalah untuk hamba kerana hamba lah yang memerlukan Allah, dan Allah yang Maha Kuasa tidak sedikit pun memerlukannya.


“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.” [Surah al-Zariyat 56-57]

Ada satu masa Mu'adh Ibn Jabal (rad) membonceng keldai dengan Rasulullah (saw). Subhanallah, bayangkan bagaimana rapatnya hubungan Rasulullah (saw) dengan sahabat2 ketika itu. Rasulullah (saw) bertanya Mu'adh “Wahai Mu'adh! Tau kah kamu apa hak Allah ke atas hambaNya?” Mu'adh menjawab, “Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahui”. Rasulullah bersabda, “Hak Allah ke atas hamba-Nya, iaitu hendaklah mereka beribadat hanya kepada-Nya dan mereka tidak melakukan sebarang kesyirikan kepada-Nya."


Satu hadith diriwayatkan oleh Abu Suhayb ibn Sinaan, Rasulullah bersabda, “Ajaib sungguh seorang beriman. Semua keadaan yang Allah (swt) mengtakdirkan untuknya, kecuali adalah baik untuknya. Jika sesuatu musibah menimpanya, dia bersabar dan itu menjadi munafaat baginya. Jika sesuatu kesenangan diberi kepadanya, dia bersyukur dan ini menjadi baik baginya. Tanda2 ini hanyalah untuk yang setia beriman.” [Muslim]


“Sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” [Al-Baqarah 155]


“Sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” [Al-Imran 186]


Aduh alangkah malang sekali manusia yang mengusir Tuhan dari hidup harian mereka. Dalam fikiran mereka, mereka mendapat “kebebasan” dari tanggung-jawab mereka sebagai seorang hamba Allah. Mari saya tunjukkan bagaimana Allah membalas mereka didunia ini. Banyak sekali dalam Al-Quran cerita2 yang dapat kita buat pedoman, cerita tentang Firaun yang tenggelam, Nimrud yang nyamuk yang kecil memasuki hidungnya dsb. Disini saya nukilkan cerita manusia yang hidup dizaman kita sekarang ni.


Sudah pasti manusia tidak akan bebas dari mencari pengertian hidup. Adalah naluri hamba memerlukan Pencipta, walaubagaimana dia berusaha ingin lari dari memohon pertolongan dariNya.


Pada satu masa dulu Apollo 13 dihantarkan kebulan, dalam perjalanan mereka mengalami problem dengan pesawat roket tu, tapi dengan takdir Allah mereka selamat mendarat. Ramai lah pemberita mengerumun astronut2 yang mendarat dengan selamat.

Pemberita: Apa perasaan anda terselamat dari pesawat roket terhempas?
Ketua astronut: Saya dah duga dah lagi sebelum berlepas...
Pemberita: Apa maksud kamu, kamu nampak sesuatu kerosakan dalam pesawat sebelum belepas?
Ketua astronut: Tidak, Ini kan Apollo 13


Pada pandangan saya Allah seolah memberi penghinaan kepada mereka. Seorang budak yang baru belajar mengira angka lebih tinggi pengetahuannya dari seorang saintis yang telah belajar bertahun2. Saintis hatinya gentar dan menjadi hamba kepada angka 13 yang tidak boleh memberi sedikit pun kemudaratan atau munafaat kepadanya, sedangkan budak yang baru mengenal angka tidak sedikit pun takut.


Adalah seorang hamba Allah yang dalam cari punya cari kerja tak dapat2. Tiba2 satu kali dia pergi interview, dia dapat kerja. Dengan serta merta, dia akan menghargai rezeki yang diterima, kecuali satu masaalah, dia tidak mempercayai tuhan. Lalu pakaiannya, tali-leher, saat waktu akan menjadi sesuatu yang amat memberi makna kepadanya oleh sebab kejayaan yang dia fikir oleh sebab usahanya tanpa pertolongan sesiapa. Lalu letaklah dia pakaian, tali-leher, kasut yang dia fikir “bertuah” ditempat khas dalam almari. Dalam masa yang dia perlukan pertolongan tambahan dalam hidup hariannya, dia akan keluarkan pakaian “bertuah”nya dan jadi angkoh dan yakin akan memberi “tuah” kepadanya. Bila kawan2 menegur tentang pakaiannya, dengan tidak segan silu berkata, “Ini lah pakaian bertuah aku.” Dan habis diceritakan tentang pakaian itu pada kawan2nya. Manusia yang angkoh menolak keEsaan Allah akan menjadi seakan seorang buta tercari2 tiang penyokong untuk berdiri. Walau bagaimana angkohnya dia kepada Allah, Allah yang Maha Penyayang tetap memberi rezeki padanya, betapa penyayangnya Allah kepada hambanya.


Jika tidak pakaian, tali-leher, kasut, ada mereka yang memberi kepada makhluk Allah yang lain seperti angin, air, ruang dsb. kuasa yang hanya kepada Allah layak diberikan. Contohnya Geomancy atau juga dikenali sebagai Feng Shui. Ada yang terbeliak bijik mata terperanjat. Disini saya tidak mahu ulaskan, cuma saya nak suggestkan pembaca semua menilaikan apa sebenarnya konsep Feng Shui ini.


Mungkin pembaca terfikir, semua ni ramai orang Islam pun percaya benda2 tu semua. Satu analisi yang tepat, tapi satu peringatan yang perlu saya nyatakan: “tidak semua yang melakukan dosa yang kita nampak didepan mata kita itu akan jatuh dosa keatasnya.” Macam mana tu? Ingatlah, Allah itu Maha adil dan Maha penyayang. Dia tidak akan membebankan hambanya lebih dari apa yang boleh ditanggungi. Kemungkinan dia tidak mengetahui akan hukumnya atau dibuat dalam tidak sedar. Tapi adalah kewajipan keatas mereka yang tahu untuk memberi tahu kebenaran kepada yang tidak tahu.


Cara2 berdakwah juga perlu berhikmah, seperti contoh Nabi Musa berkata kepada Firaun dengan lemah lembut, “mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu“ [Surah al-Naazi'at ayat 19]. Kemudian ada juga yang terfikir, “kalau macam tu lebih baik tak tau pasal benda2 ni dan Allah tidak akan membuat aku bertanggung-jawab atasnya.” Tidak boleh begitu, Allah Maha mengetahui. Dia lebih tahu potensi kita, dari kita tahu diri kita sendiri, Dia memberi setiap manusia banyak peluang supaya dapat datang mendekatinya. Di akhirat kelak kita akan disoal atas apa yang Allah berikan kepada kita dari segi pengetahuan, harta, dan masa, bagaimana kita gunakannya. Adakah kita tidak mampu menuntut Ilmu agama? Bandingkan peringkat manakah Ilmu dunia kita dan peringkat manakah Ilmu agama kita?


Pada mereka yang ditimpa kesusahan dalam kehidup hari2an, jangan lupa senjata yang Allah (swt) beri pada kita semua – doa. Bila berdoa jangan sekali terkeluar batas domain orang yang meminta doa ke domain Allah yang merestu doa. Apa yang saya maksudkan? Contohnya orang yang meminta pertolongan, bila berdoa (selepas berusaha sedaya upaya), oleh sebab minda yang terlebih aktif (overactive mind) akan terlintas dalam hatinya, “hmmm, lepas doa ni mungkin En. TJ akan datang menolong kot.”, atau pun dalam2 berdoa dalam hati berkata “hmmm, macam mana orang nak tolong, lubang telaga tu tertutup rapat, menjerit pun orang tak dengar”, yang berdoa mencari jodoh pulak berpikir mungkin “Anak Pak Leman yang baik budi perkertinya tu la kot.” Bagaimana cara, dalam apa bentuk doa kita akan terjawab bukanlah domain kita, itu domain Allah. Domain kita cuma berusaha sedaya upaya dan berdoa, yang lainnya serahkan kepada Allah.


Di akhiri dengan satu ayat dalam surah Al-Baqarah yang mengandungi doa yang indah sekali:
“Allah tidak memberati seseorang lebih apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". [Al-Baqarah 286]

Wallah hu alam

[Nukilan saudara Al-Imran BDN]

No comments: