Wednesday, August 17, 2005

Awasi e-mel kiamat

Awasi e-mel kiamat
suria insani
Fri, 10 Jun 2005 01:30:27 -0700
KUALA LUMPUR: Ramalan berlaku kiamat ketika gerhana berpasangan
Oktober ini yang diedarkan melalui e-mel dalam laman web forum
tempatan hanyalah andaian semata-mata.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata
umat Islam perlu menolak ramalan itu yang bertujuan merosakkan
akidah mereka.

Katanya, mereka perlu berhati-hati apabila membaca
e-mel berkenaan dan jangan mempercayainya.

"Hari kiamat perkara ghaib yang sebenarnya berada di
bawah ilmu Allah. Sesiapa pun tidak tahu sedangkan
Nabi sendiri pun tidak tahu bila hari kiamat.

"Sudah banyak ra malan sedemikian dibuat dari semasa
ke semasa dan dilakukan sejak zaman Nabi, tetapi tidak pernah
terjadi. Nabi pernah menyatakan tukang nujum itu bohong, walaupun
ada kejadian yang betul tetapi ia hanya kebetulan," katanya.

Menurutnya, penyebaran e-mel itu adalah perbuatan
pihak yang ekstrem atau berniat memesongkan akidah
umat Islam.

"Manusia mempunyai akal yang terbatas jangkauannya. Jangkauan
manusia ke angkasa lepas masih lagi terbatas. Kemampuan manusia
mengetahui bila berlakunya gempa bumi juga terbatas. Hal seperti
Tuhan, malaikat, qada dan qadar bagi akal manusia juga terbatas,"
katanya.

Harussani berkata, perbuatan mengedar e-mel itu
mungkin dibuat pihak tertentu yang berniat memesongkan kepercayaan
umat Islam.

"Jika pengarangnya mendakwa ramalan itu berdasarkan
sebuah kitab, apakah ia benar kerana kita tidak pernah ditunjukkan
kitab itu.

"Apa pun, saya nasihatkan penerima e-mel berkenaan
supaya jangan percaya kandungannya, tetapi boleh mengambilnya
sebagai iktibar untuk kita bersedia menghadapi hari itu.

"Banyakkan amalan mulai sekarang, ikhlaskan hati
ketika beribadah dan baiki perangai kerana semuanya
tidak mustahil," katanya ketika mengulas pengedaran
e-mel bertajuk 'Tahun Gempar 2005' itu yang meramalkan
hari kiamat akan berlaku selepas fenomena gerhana berpasangan pada
Oktober.

Ia disebarkan sejak awal tahun lalu menerusi laman web forum
tempatan.

Antara kandungan e-mel itu, manusia akan menghadapi
konflik besar selepas kematian pemerintah Arab Saudi sekarang.

Sebaik saja kematiannya, manusia akan dikejutkan
dengan peristiwa langit yang menakjubkan pada Ramadan
yang juga Oktober tahun ini.

Peristiwa langit yang didakwa akan berlaku adalah
fenomena gerhana berpasangan pada satu bulan, tahi
bintang jatuh di Amerika Syarikat menyebabkan
kemusnahan teruk.

Sementara itu, Pensyarah Ilmu Falak Syarie di Institut Agama Islam
Negeri Kedah (Insaniah), Abdul Ghani Salleh, berkata fenomena
gerhana berpasangan sudah banyak berlaku dalam takwim Islam dan
banyak pihak cuba mengambil kesempatan daripada kejadian itu.

"Fenomena gerhana berpasangan iaitu gerhana matahari
dan bulan yang berlaku pada satu bulan tiada kaitan
dengan petanda akhir zaman. Ini kerana ia sesuatu
kejadian semula jadi ditetapkan hukum Allah.

"Kejadian gerhana tidak ada kena-mengena dengan
petanda akhir zaman. Apa yang didakwa dalam e-mel itu
hanya rekaan kerana ingin menipu umat Islam dengan mengambil
kesempatan daripada fenomena gerhana berpasangan," katanya.

Oleh itu, bagi mengelakkan diri ditipu, teraniaya atau dizalimi
golongan yang cuba mengambil kesempatan, umat Islam wajar mengetahui
ilmu falak syarie, terutama berkaitan fenomena gerhana berpasangan.

Beliau berkata, pengarangnya mungkin berniat negatif
untuk menakutkan umat Islam, misalnya, meramalkan peperangan berlaku
pada bulan haji supaya mereka takut ke Makkah.

Abdul Ghani berkata, memang ramai bertanya kepadanya mengenai hal
berkenaan, namun mereka yang tidak mendalami ilmu falak syarie mudah
salah faham dan terpedaya.

Katanya, berdasarkan hitungan falak tahun ini, ada
empat kejadian gerhana tetapi tiada yang berlaku berpasangan pada
Ramadan.

"Kejadian gerhana terbaru adalah pada April lalu iaitu gerhana
matahari pada 8 haribulan dan gerhana bulan pada 24 haribulan.

"Berikutnya, gerhana matahari pada jam 4 petang, 3
Oktober tetapi tidak kelihatan di Malaysia kerana ia
akan melalui Utara Afrika dari Lautan Atlantik
seterusnya ke Gibraltar dan Somalia sebelum ia mati di Lautan India,
manakala gerhana bulan pada 17 Oktober jam 8 malam tetapi hanya 28
peratus saja boleh dilihat," katanya.

Beliau berkata, ilmu falak syarie penting kepada umat
Islam kerana ia menerangkan mengenai hakikat alam dan kaitannya
dengan perlakuan ibadat.

Mendalaminya boleh dianggap satu ibadat kerana ia
dapat menimbulkan rasa keinsafan dan mendekatkan diri kepada Allah.

"Namun, apa yang dikesalkan generasi muda sekarang seolah-olah tidak
berminat mempelajarinya dan jika ada pun hanya separuh jalan,
sedangkan pengkajian dalam ilmu ini membolehkan ibadat solat, puasa
dan haji dijalankan dengan sempurna kerana masa yang menjadi
syarat sah kepada ibadat berkenaan dapat ditentukan
seperti yang dikehendaki," katanya.

No comments: