Wednesday, June 02, 2010

ALLAH MENGASIHI ORANG YANG SENTIASA MENSUCIKAN DIRI

Sedikit renungan buat semua...


Daripada Abu Malik Al Harith Bin A’sim Al As’ariy RA berkata : Sabda Rasulullah SAW : Suci itu sebahagian iman. ( Riwayat Muslim)


ULASAN HADIS :


1. Hadis ini menerangkan tentang kebersihan seorang. Rasulullah SAW menyatakan kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.

2. Imam Al Ghazali menerangkan kesucian atau kebersihan dalam Hadis ini iaitu kesucian hati dari sifat mazmumah(tercela) seperti dendam, dengki, sombong, riya’ dan segala apa yang berkait dengan penyakit hati. Sebahagian Ulama yang lain membincangkan maksud Hadis ini ialah kesucian itu ialah seperti berwudu’, mandi dan mendirikan solat dan seumpamanya.

3. Orang yang menjaga kebersihan sewajarnya mendapat perhatian ALLAH dan diberi rahmat selayaknya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH itu cantik (indah) dan bersih. Ia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.” (Riwayat Al Bazzar).

4. Nabi Muhammad SAW amat mengambil berat soal kebersihan berpakaian, sehingga Baginda dilihat sebagaii seorang sentiasa kemas dan bergaya. Sahabat Ibnu Hanzaliah berkata, bahawa Nabi SAW pernah bersabda kepada sahabat dalam perjalanan bertemu saudara mereka. Sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan datang (menemui) saudara kamu, oleh itu perbaikilah ar rihal (alat kelengkapan kenderaan yang diguna ketika menunggang kuda) dan elokkanlah semua pakaian kamu sehingga kamu kelihatan menarik, hebat dan berhemah di kalangan manusia. Ini kerana sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada busuk dan sangat buruk.” (Riwayat Abu Daud dan Al Hakim).



5. Kebiasaanya manusia pandai membersihkan diri mereka secara zahir, namun jarang yang pandai membersihkan diri mereka secara bathin (dalaman yang berbentuk rohani).

6. Dalam konteks kebersihan diri, bukan hanya setakat kebersihan luaran, tetapi merangkumi kebersihan hati nurani daripada kekufuran dan segala perkara yang boleh membawa kepada bahaya dan dosa termasuk perbuatan mensyirikkan ALLAH. Sebagai hamba ALLAH, kita hendaklah mengabdikan diri kepadaNYA dengan mengerjakan segala perkara selagi tidak bercanggah dan mendatangkan kemudaratan. ALLAH menyukai hambaNYA yang sentiasa menyucikan diri. ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah, ayat 222)

7. Menjaga kebersihan merupakan amalan yang mulia sehingga ia dikaitkan dengan keimanan. Justeru itu, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada ALLAH SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahNYA dan menjauhi segala laranganNYA, termasuk menjaga kebersihan diri, keluarga, masyarakat, negara dan persekitaran. Semoga kita berjaya dan beroleh keberkatan di dunia dan di akhirat.

Wallahu a'lam bisshawab.

No comments: