Wednesday, May 30, 2007

Lina Joy Gagal Dalam Rayuan Gugur Perkataan Islam

Lina Joy Gagal Dalam Rayuan Gugur Perkataan Islam

PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) --

Azlina Jailani, wanita yang menukar agama ke Kristian, gagal dalam rayuannya hari ini untuk mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan untuk memaksa Jabatan Pendaftaran Negara memadamkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya.

Dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Azlina, 42, yang telah menukar namanya ke Lina Joy, perlu mendapatkan sijil pengisytiharan daripada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia tidak lagi menganut agama Islam sebelum JPN boleh menggugurkan perkataan "Islam" dalam kad pengenalannya.

Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata JPN berhak untuk menggenakan syarat kepada Lina Joy memintanya mengemukakan sijil atau deklarasi atau satu perintah daripada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia keluar daripada Islam sebelum bertindak menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya. Ahmad Fairuz dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Sherif menolak rayuan itu manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum, membenarkan deklarasi yang dipohonnya.

Lina mengemukakan rayuan itu kepada Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan membuat keputusan pada 19 Sept 2005 menghalangnya daripada menggugurkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya dengan alasan bahawa tindakannya keluar daripada Islam tidak mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam yang lain.

Permohonan kepada Mahkamah Rayuan itu dilakukan setelah Mahkamah Tinggi, pada April 2001, menetapkan bahawa sebagai seorang Muslim, dia tidak boleh keluar daripada Islam, dan soal keluar daripada Islam, perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Lina menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad, sebagai responden. Pada 2 Feb 1997, dia memohon kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy dengan alasan dia telah menganut agama Kristian tetapi permohonan itu ditolak pada 11 Ogos 1997.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=264789

No comments: