Perdana Menteri, Umno, Yahudi dan pilihan raya
Tuesday, December 23 @ 13:37:17 MYT
Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat
SAYA tertarik dengan dua penangguhan besar ke atas dua keputusan besar yang telah dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia yang baru ke atas keputusan yang pernah dibuat Tun Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia. Satu ialah Projek Landasan Berkembar Elektrik melibatkan RM14.5 bilion (Berita Harian 18 Disember 2003) dan satu lagi ialah keputusan untuk membawa FELDA ke BSKL yang telah diputuskan oleh Tun Dr Mahathir semasa membentangkan bajet 2004. Pelik tetapi itulah yang benar.
Terdapat satu saja kemungkinan. Sama ada keputusan Perdana Menteri yang lama itu benar atau keputusan Perdana yang baru, benar. Tidak mungkin kedua-duanya benar. Salah satu mesti salah.
Dalam hal ini, mustahil pula Tun Dr Mahathir boleh salah. Sedangkan beliau begitu didewa-dewakan oleh orang Umno sebagai "genius". Jika benarlah beliau maka silaplah Abdullah.
Bagaimanapun, tidak mungkin Abdullah tersilap kerana projek Landasan berkembar itu disahkan bukan keutamaan manakala penyenaraian FELDA ke BSKL tidak boleh dibuat dengan tergopoh gapah. Itulah alasan Abdullah.
Demikianlah, rakyat boleh saksikan bagaimana berpuluh bilion duit rakyat boleh diperjudikan dengan sebegitu mudah.Perkara beginilah juga yang sering berlaku sebelum ini ke atas wang rakyat sama ada keputusan untuk melabur dalam Empangan Elektrik Bakun atau Perwaja Steel sebagai contohnya.
Sungguhpun era Tun Dr Mahathir sudah berakhir, apakah ini bererti Malaysia boleh bebas dari langkah-langkah sebegini yang menimbulkan bahaya penggunaan wang awam yang boleh mengorbankan kepentingan rakyat?
Sehubungan dengan ini, saya hairan dengan kenyataan dilema Ahli Parlimen Gua Musang yang seakan-akan meragui kewajaran penangguhan untuk mengheret FELDA ke BSKL oleh Abdullah..
Ia berbunyi, "Penangguhan itu mungkin menganggap penyenaraian FELDA tidak boleh dibuat tergesa-gesa dan perlu kajian teliti terlebih dahulu kerana ia membabitkan masa depan peneroka. Itu yang saya fikir anggapan Perdana Menteri. Tetapi matlamat sebenar dia berbuat demikian, saya tidak tahu."
Tambah beliau lagi, "Saya rasa tak kan lah bekas Perdana Menteri dulu ketika nak umum dalam ucapan bajetnya tidak fikir dan membuat pertimbangan semasak-masaknya terlebih dahulu." (Berita Harian 19 Disember 2003).
Apa mesej yang cuba dibawa oleh Tengku Razaleigh, saya pun tidak pasti! Sementara kita meninggalkan kedua-dua isu ini untuk diperhatikan, mari pula kita lihat telatah Dato' Seri Abdullah dari hal rasuah. Beliau mengisytiharkan perang ke atas rasuah habis-habisan. Ini cukup baik.
Bagaimanapun, rakyat terlebih dahulu mahu melihat apa yang telah terjadi dengan laporan polis yang telah dibuat serentak di seluruh negara diketuai bersama oleh Ketua Pemuda PAS Pusat dan Ketua Pemuda Keadilan Pusat pada jam 5.15 petang 31 Oktober 2003 di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur ke atas 70 dakwaan amalan salah laku dan jenayah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir. Siasat atau tidak siasat?
Tidak kedengaran sedikit pun lagi akan khabar kemajuannya. Dakwaan adalah berbagai-bagai.Dari menyekat atau melambat-lambatkan penyiasatan atau pendakwaan ke atas kroni-kroni kanan BN dalam pelbagai kes, menyekat kebebasan badan penguatkuasa, mengagih tender secara runding terus kepada kroni, penyelewengan dana awam untuk membantu kroni BN, mempengaruhi malah mencampuri urusan kehakiman hinggalah kepada menyalahgunakan akta-akta (draconian) sepertai ISA, OSA dan Akta Mesin Cetak.
Di samping itu, bolehkah rakyat diberi maklum akan status perkembangan siasatan ke atas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Rafidah Aziz, Tan Sri Khalil Yaakob dan Tan Sri Ali Abul Hasan?Dalam kes Dato' Seri Nazri Aziz yang terkini pun rakyat masih tertanya-tanya walau pun cuba dianggap selesai.
Bagaimana boleh BPR yang baru saja bersiap mahu masuk untuk menyoal siasat Nazri pada jam 2.30 petang di hari Rabu 10 Disember 2003 tetapi akhbar perdana pada pagi Rabu yang sama telah awal-awal lagi memuatkan keputusan Peguam Negara yang mengatakan bahawa kes dakwaan rasuah Permit Teksi tersebut sudah tiada asas.
Cepat benar!
Tidakkah ini sekali lagi menggugat kepercayaan rakyat terhadap BPR yang baru saja dipulihkan kewibawaannya. Di sini, di mana pendirian tegas Perdana Menteri? Di sebalik Dato' Seri Abdullah yang sepatutnya serius dengan tugasan pembasmian rasuah, beliau cuba mengalih pandangan kepada perkara-perkara remeh untuk memainkan sentimen rakyat.Beliau mengalih keutamaan dan cuba memindah fokus.
Semua perkhidmatan kaunter perlu senyumlah, khidmat telefonis dan semua pegawai kumpulan 'A' diberi tempoh sehingga Mac untuk mengisytiharkan harta.Haruskah KWSP menahan pengeluaran carumanlah. Tunggakan kes-kes permohonan tanah perlu diatasi segeralah. Ini semua remeh temeh.
Sungguh pun, ia besar tetapi ia telah dan sedang dikendalikan secara profesional oleh Ketua Setiausaha Negara. Mencampurinya boleh dilihat sebagai percubaan untuk mengherdik kemampuan penjawat awam. Lagi pun, apa yang cuba disentuh oleh Dato' Seri Abdullah bukannya perkara baru.Ia semua sudah ada dalam peraturan. Ia sedang dilaksanakan. Semuanya ada terkandung di dalam Bab Pengisytiharan Harta yang dikendalikan oleh Lembaga Tata Tertib di Jabatan Perkhidmatan Awam.
Ia tiada masalah. Semuanya ada terkandung dalam Pekeliling-Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam Malaysia. Ketua Setiausaha Negara lebih arif akan perkara ini. Tidak perlu rasanya Abdullah buat-buat bising. Yang perlu rakyat nak tahu ialah harta pemimpin Umno. Dari mana datangnya, sebanyak mana terkumpulnya, dan ke mana hendak diusungnya?Saya melihat Dato' Seri Abdullah ini semakin hari semakin kekurangan modal! Kalau benar-benar mahu popular, sepatutnya Dato' Seri Abdullah memansuhkan ISA.
Ini baru betul. Ia dikritik oleh SUHAKAM, majoriti badan-badan NGO, seluruh parti pembangkang dan hampir semua pertubuhan hak-hak asasi manusia yang terdapat di serata dunia. Kenapa buat diam?Satu lagi yang lebih mendesak ialah soal mengislamkan negara. Perlembagaan Malaysia mesti dipinda. Tidak cukup dengan mengisytiharkan Malaysia Negara Islam di atas 'kerusi malas'.
Rujuk Jumhur Ulama', buku-buku akademik mana-mana sarjana dan kitab-kitab pendita yang muktabar. Selagi Al-Quran dan Hadis tidak menjadi dasar negara secara bertulis, selagi itulah Malaysia bukan Negara Islam yang sebenar. Negara ini negara sekular. Semua rakyat dah tahu.Tak payah nak pusing.
Katakanlah, Dato' Seri Abdullah buntu sangat fikiran mengenai kaedah untuk mengislamkan negara ini, beliau boleh ajak kami untuk membentangkan versi negara Islam kami yang telah kami bukukan.Seminar? Muzakarah? Debat terbuka? Pilihlah, kami tidak ada masalah. Saya boleh jamin yang Presiden PAS termasuk saya boleh bersetuju untuk membuat penyertaan. Demikian juga dengan pemansuhan ISA. Kami bersedia untuk berdepan dan bersemuka; "any where, any place, any time"! Kami boleh bersetuju kerana setiap orang mukmin digesa oleh Allah S.W.T. agar bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menegakkan maaruf dan menentang kemungkaran.
Jika pemimpin Umno jujur, mereka boleh bawa dokumen Negara Islam yang dibukukan oleh PAS bersama-sama dengan deklarasi bertulis mengenai Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang ditetapkan sebagai tidak perlukan perubahan seperti yang diisytiharkan oleh bekas Perdana Menteri pada 29 September 2001 yang lalu.
Bawalah ke mana-mana pemimpin Yahudi, baik di Tel Aviv atau di New York. Agaknya mereka boleh bersetuju dengan versi PAS atau versi Umno. Ini yang saya cuba samakan pemimpin Melayu dalam Umno sebagai berkemungkinan menjadi proksi Yahudi. Bekas Perdana Menteri sebelum meletak jawatan semasa beliau berucap di majlis OIC, beliau menyebutkan yang Yahudi ini memerintah dunia melalui proksi.
Mengikut Tun Dr Mahathir, oleh kerana dunia ini diperintah oleh Yahudi maka salahkah saya untuk meragui kedudukan Malaysia yang berkemungkinan menjadi proksi kepada kuasa Yahudi itu.Saya tuju kepada pemimpin Melayu yang ada dalam Umno yang sedang berkuasa di Malaysia. Yahudi tidak setuju kepada Al Quran dan kepada Negara Islam.
Kita bagaimana? Saya ada alasan yang munasabah untuk mengatakan demikian.Kalau tidak, kenapa pula Umno boleh menentang dokumen Negara Islam yang menetapkan Al Quran dan Hadis sebagai sumber tertinggi. Umno mahu buat Negara Islam tanpa membuat apa-apa pindaan ke atas Perlembagaan.Islam jenis apa? Ini yang saya kata di Majlis Pelancaran Negara Islam di Stadium Darul Iman, Terengganu pada malam 12 Disember 2003.
Sekali lagi kenyataan saya diputar belit oleh Abdullah dan budak-budak di dalam kabinetnya. Saya hina orang Melayu lah. Fitnahlah, apa lagi. Biasalah.Jika tak percaya, cuba ambil sedutan 15 saat saja dari teks pidato saya secara penuh. Siarkan ke TV Malaysia. Tahulah siapa Yahudi dan Nasara yang saya maksudkan. Pendek kata, Umno tidak ada helah lagi untuk berselindung. Dato' Seri Abdullah cuma ghairah mengusik wayar-wayar kecil dalam pembaharuannya. Itu pun jika kita mahu sebut pembaharuan.
Beliau cuma mengusik perkara-perkara furu' dan cabang. Saya bercakap soal perubahan paksi. Rakyat Malaysia khususnya umat Islam sudah hampir muak dengan Umno kerana pemimpinnya tidak pernah jujur dengan Islam.Dia cuma mahu Islam secara lipstik. Inilah yang telah dibawa dan masih cuba diteruskan oleh Abdullah. Senyum-senyum sikit. Angkat-angkat tangan sikit. Jabat-jabat tangan sikit. Ambil gambar menjadi Imam.Kita kena faham yang Imam itu Khalifah sama ada dalam sembahyang atau di luar sembahyang. Allah perlu dibesarkan dalam semua keadaan.
Bagi pemerintah, dia kena letakkan segala hukum Allah menjadi besar yang mengatasi segala peraturan dan undang-undang ciptaan manusia.Mampukah Abdullah melakukan ini melalui Umno yang tidak 'berdasar'. Saya ingat benda ini tidak payah untuk difahami tetapi sengaja dibuat-buat payah. Islam ini, bukan susah sangat. Ikut saja apa yang telah Allah tetapkan.Jika Umno buat payah-payah sangat, maka marilah ke dalam PAS. Pilihan raya sudah tidak lama lagi. Pandai-pandailah.
Penulis adalah Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan.
p/s:
No comments:
Post a Comment