Adalah diriwayatkan di dalam Al-'Atabiya karangan Imam Malik rah.'alaih, Ibnu Ameerul Haaj r.a telah meriwayatkan bahawa Umar Al-Khattab r.a suatu masa telah melawat sebuah pasar. Di pasar tersebut beliau telah melihat kebanyakan orang yang melibatkan diri dalam perniagaan adalah terdiri daripada orang 'ajam (bukan bangsa arab), malah ada sebahagiannya bukan dari golongan beriman. Keadaan ini telah menimbulkan rasa sedih di hati Umar r.a. Apabila beliau ditanya dari kalangan sahabat-sahabat yang lain, beliau telah berkata,
"Hendaklah kamu berniaga supaya bangsa bukan Arab tidak akan melontarkan kamu ke dalam fitnah yang berkaitan dengan hal ehwal dunia kamu"
Beberapa orang telah berkata kepadanya, "Tetapi ya Amirul Mukminin, Allah telah menewaskan untuk kita banyak negara dan harta-harta rampasan telah sampai di tangan kita dengan banyaknya. Ini menyebabkan kita tidak perlu lagi berniaga untuk memenuhi keperluan kita"
Umar r.a menjawab, "Jika kamu ingin melakukan sebegitu dan meninggalkan perniagaan sebagai satu tanggungjawab, kamu akan mendapati bahawa kaum lelaki kamu akan memerlukan kaum lelaki mereka, dan kaum wanita kamu akan memerlukan kaum wanita mereka"
Walaupun ini bukanlah dalil yang kuat, sebuah firman Allah ataupun hadith Nabi s.a.w, namun apa yang diperkatakan oleh Umar r.a telah terbukti pada zaman ini dan dapat dilihat oleh kita di Malaysia. Kesan daripada kurangnya penglibatan orang Melayu-Islam di Malaysia, akhirnya membawa kepada banyak fitnah kepada pelbagai sudut.
Secara umumnya, siapakah yang menguasai ekonomi negara kita sekarang ini? Adakah kita, orang Melayu-Islam, atau golongan mereka yang tidak menganut agama yang sama dengan kita? Siapa yang menguasai bidang perindustrian dan pembuatan? Tekstil? Perubatan? Pendidikan? yang menguasai gedung-gedung perniagaan? yang menguasai pertanian dan penternakan? Industri makanan?
Buktinya lihatlah sewaktu perayaan raya cina. Siapakah yang lebih menggelabah membeli barang-barang keperluan kerana khuatir kedai-kedai tidak akan dibuka sekiranya bekalan habis?
Abdul Hay Kuttani rah.a telah berkata,
"Kata-kata Umar r.a mengenai keadaan umat ini berkaitan dengan masa depan mereka telah dibuktikan kebenarannya. Oleh itu, apabila kaum muslim meninggalkan perniagaan berdasarkan syariat dan meninggalkan pekerjaan dalam lapangan perniagaan dan perdagangan, orang lain akan mengambil alihnya lalu mereka menguasai semua bidang perniagaan tersebut. Sehingga sampai ke satu peringkat di mana keseluruhan umat Islam akan memerlukan mereka yang bukan Islam dalam kehidupan mereka. Untuk setiap perkara, dari sekecil-kecilnya (perkara yang tidak penting), sehinggalah perkara-perkara yang penting, mereka tetap perlu bergantung kepada orang-orang kafir"
[Tarateeb-al-Idaariya]
Oleh itu, gesaan saya kepada semua muslimin untuk kita bersama-sama menyertai jihad ekonomi dalam memastikan keutuhan ummah terpelihara.
Doakan juga untuk saya dan rakan-rakan muslim yang lain yang baru nak mula menceburi bidang perniagaan. Semoga Allah permudahkan usaha kami bagi mencari rezeki yang halal dan pada masa yang sama menyumbang kepada agama dan umat.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment