Friday, March 31, 2006

Cantik fizikal atau rohani?

Menjadikan faktor fizikal untuk mencari isteri melebihi faktor akhlak.

" Ana nak minta calon isteri yang cantik, putih, dan sebolehnya kurus.
Itu yang paling utama…"demikian permintaan yang diajukan kepada saya
selaku ajk yang terlibat.

Sepanjang pemerhatian ( saya tidak sempat membuat rekod secara
spesifik tentang data yang terperinci kerana kesuntukan masa dan beban
kerja). Secara keseluruhan, hampir 70% permintaan baitul muslim dari
pihak muslimin yang diajukan kepada saya adalah berdasarkan kepada
faktor fizikal melebihi faktor yang lain.

Saya ingin membawa pembaca ke alam anatomi tentang siapa sebenarnya
manusia di sebalik kulit ini? Sebenarnya, Allah telah menciptakan
manusia semua berasal dari tanah, "Dan sesungguhnya Kami telah
menciptakan manusia dari suatu saripati dari tanah, kemudian Kami
jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh
(rahim), kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu
segumpal darah itu kami jadikan daging, dan segumpal daging itu Kami
jadikan tulang-belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan
daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka
Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik."1.

Sekiranya kita mengoyakkan satu persatu lapisan kulit (dermis &
epidermis) kemudian kita akan menemui lemak (subcutaneous fat) dan
kemudian kita bertemu pula dengan otot, saraf dan pembuluh darah serta
noda limfa (muscles, nerves, veins, arteries & lymph nodes). Kemudian
kita pergi lagi mengembara lebih dalam dari lapisan tadi, kita akan
berjumpa dengan tulang-tulang (skeleton).

Jadi di manakah kecantikan yang sebenarnya? Kecantikan amat
superfisial. Jika berlaku kemalangan atau kecederaan disimbah asid
atau kebakaran kecantikan superfisial tadi akan hilang sekelip mata.
Sedar atau tidak kita semua hanyalah ruh yang ditutupi dengan tulang-
tulang yang melekat padanya daging dan diselaputi kulit? Yang paling
penting adalah ruh atau jiwa yang terdidik dengan akhlak Islam. Tapi
malang, ramai yang tidak sedar hakikat ini.

Memang amat tidak dapat dinafikan punca utama yang menjadi tarikan
seseorang ialah kerana faktor mukanya dan fizikalnya yang lain. Tetapi
sudah lupakah ahli-ahli gerakan Islam sekalian, dengan hadith
Rasulullah? "Janganlah kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya
kerana boleh jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu
mengahwini mereka kerana kekayaannya, kerana mungkin kekayaan itu
merosakkannya tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya.
Hamba perempuan yang rabik dan bodoh tetapi baik agamanya adalah lebih
utama".2

Ada satu lagi evidence base yang berlaku pada sahabat muslimat saya.
Dia merupakan seorang siswi yang memiliki fizikal dan paras rupa yang
menarik. Saya hairan, ramai muslimin yang ingin membantu muslimat tadi
mendapatkan calon suami. Mereka berpendapat, rugi sangat kiranya
muslimat tadi dimiliki oleh orang tidak faham Islam. Jadi tidak
rugikah kita jika muslimat yang memiliki suboptimal beauty dimiliki
oleh orang yang tidak faham islam? Adakah rugi itu hanya untuk wanita
cantik? Alangkah malangnya..

Tempoh masa kesuburan wanita sangat terhad.

Wanita akan memasuki umur tuanya apabila mencapai umur 35 tahun. Ini
bermakna ovum yang dihasilkan selepas itu tidak lagi berkualiti
seperti ovum-ovum yang dihasilkan sebelum 35 tahun. If the female
partner is 35 years or above, fertility is halved. Fertility declines
sharply after age of 37.4 (Jika pasangan wanita berumur 35 tahun atau
lebih, tahap kesuburan menjadi berkurang setengah dari asal. Kesuburan
akan menurun dengan amat mendadak setelah lebih 37 tahun). Dan 1/10
dari bayi yang dilahirkan oleh wanita berusia lebih 40 tahun mungkin
akan mempunyai sindrom Down's.

Saya sangat terkesan dengan maklumat yang diperolehi ini. Jika unit
baitul muslim tidak diutilisasikan dengan tahap yang optimum, saya
bimbang ramai di kalangan muslimat yang ditarbiyah akan lewat
mendirikan baitul muslim. Tambah bimbang lagi jika berkahwin pula
dengan lelaki yang tidak ditarbiyyah dan tiada fikrah. Ataupun tidak
berkahwin langsung pun. Alangkah membazirnya ovum-ovum yang berkualiti
itu. Mungkin ada yang sudah lupa atau belum habis membaca buku Fathi
Yakan; "Saya mestilah memilih wanita yang baik akhlak dan pegangan
agamanya sekalipun ia mungkin tidak punya harta kekayaan dan
kecantikan…"5

1. Al Quranul Karim, surah Al Mu'minun, ayat 12-14
2. Hadith riwayat Ibnu Majah
3. Najah Nadiah Amran, Isu mengenai wanita Islam dalam pemikiran MB
Kelantan,
Subur, hal 14.
4. Campbell & Monga, Gynaecology by Ten Teachers, Arnold, pg 83.
5. Fathi Yakan, Apa ertinya saya menganut Islam, DPF, hal 68.

1 comment:

Ibn Hussin said...

banyak betul bunga, susah nak cari huruf.. he.. he.. jgn mare