Tuesday, March 14, 2006

Hukum Mentaqlid Imam-Imam.

Hukum Mentaqlid Imam-Imam.

Soalan:

Apakah hukum mentaqlid Imam-imam?

Jawapan:

Terdapat golongan yang mengatakan wajib bertaqlid kepada Imam-imam yang empat. Inilah yang dikatakan oleh pengarang kitab tauhid, `al Jauharah'

Terdapat juga pendapat melampau yang menyatakan wajib bertaqlid kepada Imam yang tertentu sahaja:

Pengikut mazhab Syafie berkata wajib bertaqlid kepada Syafie: Pengikut mazhab Hanafi berkata wajib bertaqlid kepada Abu Hanifah. Begitulah seterusnya, pengikut mazhab Maliki dan Hanbali berkata wajib bertaqlid kepada imam mereka.

Pendapat ini adalah silap menurut para pengkaji. Bahkan mereka berkata:

"Pendapat yang mengatakan wajib bertaqlid kepada Imam tertentu, menerima pandangannya sahaja dan menolak pandangan yang lain adalah haram di sisi agama."



Lebih dari itu, Sheikhul Islam Ibnu Taimiah juga telah berkata:

"Orang yang berpendapat sebegini sekiranya tidak bertaubat hendaklah dibunuh."

Ini adalah kerana orang yang berkata wajib bertaqlid di dalam urusan agama kepada Imam yang tertentu, mengambil kata-katanya semata dan menolak kata-kata yang lain, seolah-olah telah menjadikan Imamnya pencipta undang-undang dan nabi yang maksum. Ini tidak dibenarkan di dalam Islam. Orang yang mengatakan kata-kata ini hendaklah bertaubat. Sekiranya dia berterusan begitu, dia telahpun terkeluar dari Islam pada pandangan Ibnu Taimiah.

Ibnu Qayyim juga telah berkata:

"Kita telah ketahui secara daruri, tidak terdapat di zaman sahabat mahu pun tabi'en seorang lelaki yang melebihkan seorang lelaki lain dari kalangan mereka; dia mentaqlid semua pandangan beliau tanpa meninggalkan satu pun daripadanya dan menolak semua pandangan selain daripada pandangan orang yang ditaqlid itu. Dustalah mereka yang berkata, terdapat lelaki sebegitu di kurun yang dimuliakan oleh Rasulullah ini iaitu tiga kurun pertama yang baginda muliakan di dalam hadis-hadisnya yang sahih. Bidaah ini hanyalah berlaku di kurun yang keempat yang dicela oleh Rasulullah (s.a.w).

Ibnu Qayyim telah menentang kata-kata ini (taqlid empat Imam sahaja dan taqlid salah seorang yang tertentu dari mereka) di dalam kitabnya "I'lam al-Muqi'en'. Dia telah menggunakan lebih kurang lima puluh hujah dalam menyalahkan pandangan ini. Beliau telah membuat perbincangan yang panjang dan bernilai. Sesiapa yang ingin mengetahuinya bolehlah merujuk kepada kitab tersebut.

Kesimpulan kata-kata beliau ialah, apabila sampai kepada seseorang yang bukan ahli ijtihad pandangan yang sahih dari mana-mana Imam yang empat atau Imam-imam sebelum dan selepas mereka haruslah baginya mentaqlid mereka.

Ahli ijtihad pula wajib berijtihad. Orang awam dan mereka yang tidak mampu berijtihad dibenarkan mengambil pandangan mana-mana Imam atau faqih yang sampai ke martabat ijtihad. Inilah apa yang diperintahkan Allah di dalam firmannya:

"Maka bertanyalah kamu kepada 'Ahli Zikir' jika kamu tidak mengetahui. AI-Anbiya': 7

Ini adalah jawapan bagi hukum taqlid.

No comments: