Tuesday, March 14, 2006

Berpegang Kepada Al-Quran Dan Sunnah.

Soalan:

Bolehkah kita bertaqlid kepada selain Imam-imam yang empat? Bolehkah kita berpegang terus kepada al-Quran dan sunnah tanpa bergantung kepada mana-mana mazhab?

Jawapan:

Ya, harus bertaqlid kepada selain Imam-imam yang empat.

Berpegang terus kepada al-Quran dan sunnah juga adalah harus bagi orang yang mampu berbuat demikian dari kalangan ahli Fiqh dan para pengkaji.

Mereka bolehlah mengkaji, berijtihad dan mengeluarkan hukum daripada al-Quran dan sunnah serta mencari hukum yang paling kuat berdasarkan dalil dan hujahnya.

Mereka juga boleh merujuk kepada ulama-ulama 'tarjih' dan ulama-ulama perbandingan mazhab yang membanding dan mencari hukum yang terkuat berdasarkan dalil dan hujah seperti Ibnu Daqiq al-'Eid, Ibnu Taimiah, Ibnu Qayyim, Ibnu Hajar al-'Asqalani, as-San'ani, asSyaukani dan lain-lain lagi.

Seterusnya bolehlah dia mengambil hukum yang paling diredhai, paling kuat pada pandangannya dan yang hatinya tenang untuk diamalkan dalam agamanya. Inilah tanggungjawabya. Allah tidak mewajibkan kepada manusia suatu tanggungjawab yang tidak mampu dipikulnya.

Pandangan yang tersebar di zaman kemunduran sekarang yang mengatakan bahawa pintu ijtihad telah tertutup adalah ditolak dan tidak mempunyai dalil sama ada daripada al-Quran, sunnah mahu pun ijmak.

Bahkan pengikut mazhab Hanbali dan lainnya telah berkata:

"Tidak harus wujud zaman yang tidak ada mujtahid yang berfatwa kepada manusia berdasarkan dalil-dalil. Bukanlah suatu yang sukar bagi Allah untuk memberikan kelebihan dan kemampuan kepada sebahagian hamba-Nya bagi membolehkan mereka berijtihad. Ijtihad bukanlah suatu yang mustahil. Bahkan, di zaman kita ini ijtihad lebih mudah dilaksanakan kerana adanya kemudahan jalan- jalan ilmiah yang tidak ada pada zaman sebelum kita seperti percetakan, fotostat, komputer dan sebagainya lagi.

Sementara orang yang tidak memahami ilmu bahasa (Arab) dan dalalahnya (petunjukkannya kepada sesuatu perkara), al-Quran dan sunnah serta ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kedua-duanya, tempat-tempat `khilaf (perselisihan) dan ijmak, Usul Fiqh, Qias, kaedah-kaedah `ta'arudh', `tarjih' dan sebagainya yang merupakan alat-alat asasi untuk berijtihad, adalah berkewajipan untuk merujuk kepada pakar-pakar ilmu sebagaimana manusia kebiasaannya merujuk dalam sesuatu masalah kepada pakarnya. Firman Allah:

"Maka bertanyalah kamu kepada "Ahli Zikir" jika kamu tidak mengetahui. Al-Anbiya': 7

Sangkaan sesetengah golongan yang mewajibkan semua manusia berijtihad adalah suatu yang tidak dapat diterima. Ianya adalah suatu yang tidak mungkin serta tidak mempunyai dalil.

No comments: