Thursday, July 23, 2009

Bank Rakyat untung RM668.5 juta

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM668.5 juta bagi tempoh enam bulan pertama 2009, peningkatan 29.6 peratus atau RM152.7 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan keuntungan itu hasil pertumbuhan pendapatan untung bersih dan pendapatan berasaskan fi.

Jumlah pendapatan kasar meningkat 22.8 peratus kepada RM1.889 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat, berkata demikian ketika mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama bank itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Sumber: Bharian

Sebelum itu,
Untung Bersih 2008 Bank Pembangunan Lepasi Aras RM1 Bilion Selepas 35 Tahun Operasi

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Keuntungan bersih Bank Pembangunan Malaysia Bhd (Bank Pembangunan) telah melepasi aras RM1 bilion buat pertama kali dalam sejarah 35 tahun operasinya.

Prestasi kukuh keuntungan bersih RM1,070.7 juta itu adalah berikutan peningkatan pendapatan operasi dan bukan operasi, pengurangan ke atas perbelanjaan dan pengurangan ke atas peruntukan pinjaman tidak berbayar, demikian menurut bank itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini Isnin.

Menurut kenyataan itu, Bank Pembangunan telah memperkenalkan beberapa langkah proaktif bagi mengukuhkan lagi kualiti asetnya termasuk memperkenalkan kajian semula tahunan dan klasifikasi "senarai perhatian" bagi memastikan langkah pencegahan di ambil perhatian terhadap pinjaman sedemikian.

Katanya proses kelulusan permohonan baharu juga telah ditingkatkan bagi mengenepikan permohonan tidak berdaya maju dan tidak produktif dan ini telah mengunjur kepada pengurangan kelulusan pinjaman pada 2008.

Penambahbaikan terhadap pengurusan kredit menghasilkan impak positif di mana bank telah mengurangkan kadar Pinjaman Tidak Berbayar (PTB) bersih kepada 0.8 peratus pada 31 Disember, 2008, walau pun portfolio pinjaman menurun 2.7 peratus, katanya.

Pada 2008, Bank Pembangunan berkata 24 pinjaman berjumlah RM2.6 bilion telah diluluskan untuk membiayai berbagai-bagai projek dalam sektor infrastruktur, maritim dan teknologi tinggi berbanding kelulusan RM4.7 bilion pada 2007, yang melibatkan 67 pinjaman.

Pengeluaran pinjaman kekal pada RM2.1 bilion manakala pembayaran balik termasuk pra-pembayaran berjumlah RM655.5 juta, di mana sebahagian besarnya dari akaun PTB.

Pendapatan bersih faedah yang dicatatkan oleh Bank Pembangunan meningkat RM236.0 juta daripada RM441.4 juta pada 2007 kepada RM677.3 pada 2008, disebabkan oleh pendapatan pemulihan lebih tinggi yang diterima.

Dalam waktu yang sama, katanya pendapatan bukan faedah meningkat dari RM134.5 juta pada 2007 kepada RM510.6 juta pada 2008, diperoleh daripada pengasingan SME Bank.

Bank Pembangunan berkata kedudukan modalnya pada akhir 2008 terus menjadi antara yang terkukuh di dalam industri perbankan di mana dana pemegang saham telah meningkat kepada RM965.3 juta pada 2008 menjadikan Nisbah Modal Berwajaran Risiko (RWCR) adalah 28.3 peratus berbanding purata 12.7 peratus pada sistem perbankan.

Kualiti aset terus kukuh dengan penurunan jumlah PTB pada RM205.6 juta.

Nisbah PTB adalah pada 0.8 peratus pada akhir 2008, satu penurunan daripada 2.0 peratus pada tahun lalu dan lebih rendah berbanding purata industri, iaitu 2.2 peratus.

Bank itu berkata ia akan terus berusaha untuk meningkatkan kecekapan dalam menyokong program pembangunan negara dan memastikan penjanaan keuntungan yang berterusan.

-- BERNAMA

No comments: